05 July 2014

Piala Dunia: Neymar terlepas aksi temu Jerman, retak tulang belakang

7 Ramadhan 1435. [MOD] -
Piala Dunia: Neymar terlepas aksi temu Jerman, retak tulang belakang NEYMAR disahkan tidak dapat beraksi lagi dalam baki perlawanan Piala Dunia selepas doktor mendapati dia mengalami keretakan pada segmen tulang belakang (vertebra).
FORTALEZA: Brazil menerima tamparan hebat selepas layak ke separuh akhir, pagi tadi apabila penyerang utama, Neymar disahkan tidak dapat beraksi lagi dalam baki perlawanan Piala Dunia selepas doktor mendapati dia mengalami keretakan pada segmen tulang belakang (vertebra). 

Bintang Barcelona itu dilanda kecederaan pada lewat babak permainan dengan saingan suku akhir menentang Colombia yang berakhir kemenangan 2-1 kepada tuan rumah untuk layak bertemu Jerman memburu tiket ke final edisi kali ini. 

Berita terbaru itu hanya mengundang rasa pilu kepada pasukan dan penyokong serta rakyat negara tuan rumah itu yang mengharapkan ayam tambatan pasukan dapat memacu pasukan memburu mahkota kejuaraan buat kali keenam.
 


Doktor perubatan skuad itu, Rodrigo Lasmar yang mengesahkan perkara itu berkata apa yang dialaminya bukan serius dalam erti kata bahawa ia tidak memerlukan pembedahan, namun memerlukan masa untuk pulih. 

“Malangnya, dia tidak akan dapat bermain,” kata beliau sambil memaklumkan tempoh pemulihan pemain itu dijangka mengambil masa beberapa minggu.” 

Neymar yang sudah menjaringkan empat gol sepanjang kejohanan Piala Dunia kali ini kelihatan kesakitan dan terbaring diatas padang selepas menerima asakan dari bahagian belakang oleh pemain Colombia, Juan Zuniga pada minit ke-88. 

Pemain berusia 22 itu kemudian terpaksa diusung keluar padang dan terus dibawa ke hospital. Tempat beliau digantikan pemain pertahanan, Henrique pada minit akhir permainan. 
Skuadnya akan bertemu Jerman pada saingan separuh akhir di Belo Horizonte, Selasa ini dan ketiadaan tonggak Brazil itu sedikit meresahkan penyokong tuan rumah. 

  “Kami kehilangan Neymar pada permainan itu (aksi separuh akhir). Berdasarkan apa yang saya lihat, saya fikir ia akan menjadi sukar bagi dia untuk terus bermain,” kata jurulatih Brazil, Luiz Felipe Scolari kepada pemberita. 

  Sementara itu, di perkarangan hospital Fortaleza, ratusan peminat Brazil berkumpul menjerit “tabah Neymar” ketika pemain itu sedang menerima rawatan. 

Brazil juga akan beraksi tanpa kapten, Thiago Silva pada pertemuan menentang Jerman selepas dia digantung perlawanan. 


Presiden Brazil, Dilma Rousseff, turut memberi sokongan pada Neymar. Dia menulis di tweetnya: “Sama seperti penyokong Brazil lain, saya salah seorang yang bersorak mahukan bintang kami supaya berada dalam keadaan baik.” - Agensi. 

No comments: