05 Julai 2014

Sedekah bukan jenayah, Hanipa bidas Ku Nan

7 Ramadhan 1435. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin meminta agar Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar Tengku Adnan Tengku Mansor mempelajari undang-undang terlebih dahulu sebelum bercakap mengenai undang-undang.

Beliau merujuk kepada kenyataan Tengku Adnan yang bertegas ingin melaksanakan bayaran denda serta merta RM150 kepada pemberi sedekah dalam usaha membasmi gelandangan di Kuala Lumpur.

Hanipa yang juga seorang peguam berkata, seseorang itu tidak dianggap bersalah kecuali ia dibuktikan bersalah dan pelaksanaan denda serta-merta itu jelas bertentangan dengan prinsip undang-undang yang sedia ada.


"Kita tidak boleh terus menjatuhkan hukuman kepada pemberi sedekah ia amat bertentang dengan prinsip undang-undang sekarang.

"Seperti kita kena saman laju, ada bukti kesalahan itu tetapi mahkamah akan memutuskan kita bersalah atau tidak.

"Begitu juga dengan apa yang Tengku Adnan ini lakukan, kita beri sedekah bukan satu kesalahan jenayah dan tidak bertentangan dengan agama jadi tiada sebab untuk kita didenda serta merta," jelasnya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan kerajaan perlu meneliti semula dasar yang sedia ada kenapa angka pengemis ini terus meningkat setiap hari.

"Kita tidak boleh salahkan pengemis kenapa mereka mengemis, kerajaan perlu meneliti semula dasar mereka terutama dalam soal kebajikan rakyat miskin.

"Apa yang saya lihat selagi rakyat tertekan dengan keadaan ekonomi sekarang selagi itulah isu pengemis ini tidak akan dapat diselesaikan. Kerajaan jangan salahkan pengemis tetapi salahkan diri sendiri.

"Kerajaan perlu mencari alternatif untuk memastikan taraf hidup rakyat berada pada satu tahap yang lebih baik sehinggakan kadar kemiskinan ini dapat dihapuskan," kata beliau.

Beliau yakin cadangan Tengku Adnan itu bukan satu penyelesaian tetapi menimbulkan kesulitan pada masa akan datang. -HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: