24 Julai 2014

Ahli politik Jerman gesa hak tuan rumah Piala Dunia Russia ditarik balik

26 Ramadhan 1435. [MOD] -

BERLIN: Ahli politik di Jerman menggesa hak penganjuran Russia selaku tuan rumah Piala Dunia 2018 ditarik akibat konflik di Ukraine sekalipun ia pantas ditolak pegawai rasmi Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Berang dengan tragedi pesawat komersial Malaysia MH17 yang didakwa ditembak jatuh di Ukraine, ramai ahli politik di Jerman selain Britain dan Sweden mencadangkan negara lain diberikan hak untuk menganjurkan kejohanan sukan global itu. 



Peter Beuth, Menteri Sukan di salah sebuah negeri di Jerman, Hesse berkata Presiden Russia, Vladimir Putin tidak “terbabit secara aktif dalam siasatan kemalangan pesawat itu dan tidak dapat membayangkan Piala Dunia untuk dianjurkan di Russia” dan menggesa FIFA meneliti kembali pilihan mereka. 

Seorang ahli politik senoir di Jerman, Michael Fuchs pula berkata Jerman bersama Perancis dan Itali dengan mudah mampu menganjurkan kejohanan itu.

“Kami memiliki stadium yang sudah bersedia untuk Piala Dunia,” katanya yang mengakui boikot seperti itu akan lebih memberi kesan kepada Russia berbanding sekatan ekonomi. 

Seorang lagi ahli parlimen, Stephan Mayer, berkata jika Putin “terus berdiam diri dengan krisis terbabit, idea untuk menarik hak penganjuran Piala Dunia dari Russia bukanlah idea yang tidak munasabah.”

Begitupun, Ahli Jawatankuasa Eksekutif FIFA, Theo Zwanziger yang juga bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Jerman (DFB) menolak idea itu. 
“Gesaan untuk campur tangan FIFA sentiasa hadir dengan amat pantas. Boikot dalam sukan selalunya tidak mencapai apa-apa dan itulah yang saya fikir mengenai cadangan ini. Hak penganjuran sudah diberikan kepada Russia, kontrak sudah pun ditandatangani,” katanya.

Jurucakap daripada kerajaan Jerman juga menolak isu itu dan berkata Piala Dunia “Akan berlangsung empat tahun dari sekarang. Saya fikir kami mempunyai masalah lebih besar.” - AFP

Tiada ulasan: