Dalam satu catatan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pensyarah undang-undang, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz berpendapat, pelanggaran beberapa peruntukan tertentu akan memberi kesan kepada Yang di-Pertuan Agong sendiri.
“Yang di-Pertuan Agong hendaklah bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet termasuk menteri-menteri menurut Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan.
“Nasihat tersebut mestilah diikuti dalam Perkara 40(1A)). Melanggar peruntukan itu mungkin akan menyebabkan Peguam Negara tidak dapat membela sekiranya sesuatu cabaran terhadap keputusan atau tindakan Agong dibawa ke hadapan mahkamah dan mungkin keputusan atau tindakan itu diisytiharkan tak sah,” katanya.
Pada masa sama, Agong juga perlu membuat keputusan atas nasihat Peguam Negara seperti diperuntukkan dalam Perkara 145(2) Perlembagaan.
“Jika Yang di-Pertuan Agong membelakangkan nasihat Peguam Negara dan sekiranya berlaku cabaran terhadap sesuatu keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong di mahkamah, Peguam Negara sukar untuk mengambil tanggungjawab pembelaan.
“Kami berpendapat orang-orang lain yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ada, sukar untuk dijamin locus standi bagi mencelah atau membela dalam sesuatu prosiding di mahkamah,” katanya.
Justeru, katanya, Yang di-Pertuan Agong hendaklah menerima nasihat Perdana Menteri, kabinet dan Peguam Negara dalam urusan rasmi yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan.
“Mungkin nasihat itu tidak disenangi oleh baginda, tetapi selagi ia bukan mengenai perkara yang baginda mempunyai budi bicara, baginda kenalah menerimanya dengan mengambil kira peranan baginda untuk mendapatkan maklumat secukupnya sebagaimana dibenarkan dalam Perkara 40(1) Perlembagaan,” katanya.
Katanya lagi, tindakan yang berbangkit daripada nasihat-nasihat itu juga mungkin tidak disukai oleh pemimpin-pemimpin parti politik pembangkang atau yang dalam kerajaan atau orang ramai, tetapi yang bertanggungjawab terhadapnya adalah kerajaan.
“Pihak-pihak ini tidak boleh mengharapkan, apatah lagi cuba menyebabkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu tidak mengikut nasihat Perdana Menteri, Kabinet atau Peguam Negara.
“Remedy mereka adalah di peti undi. Mereka boleh mengkritik kerajaan dan parti memerintah sekuat-kuatnya, tetapi bukan mengkritik Yang di-Pertuan Agong kerana bertindak atas nasihat Perdana Menteri atau Kabinet atau Peguam Negara. Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan