21 Jun 2021

Agong dan Raja-Raja perlu berwaspada

ABDUL HAMID MOHAMAD (kiri) dan SHAMRAHAYU A. AZIZ

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu diharap supaya berwaspada bagi mengelakkan daripada termasuk perangkap mana-mana pihak yang cuba mencemarkan institusi diraja.

Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pensyarah undang-undang, Prof. Datuk Dr. Shamrahayu A. Aziz dalam satu catatan mendapati, terlalu banyak pihak yang dilihat seolah-olah cuba memperguna institusi diraja hanya kerana tidak berpuas hati dengan kerajaan sedia ada ketika ini.

“Kita perhatikan, pada kebelakangan ini, banyak pihak di luar kerajaan yang tidak berpuas hati terhadap sesuatu tindakan kerajaan cuba melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk melakukan apa yang mereka mahu walaupun ia jelas di luar bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Perlembagaan.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap mereka. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang bijaksana perlu senantiasa waspada bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan di mana amanah yang baginda galas adalah diperuntukkan oleh perlembagaan,” katanya.

Tambah mereka, baginda semua tertakluk kepada kedaulatan undang-undang dan perlu patuh kepada peruntukan-peruntukan perlembagaan.

“Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat Perdana Menteri dan Peguam Negara yang berkuasa pada masa ini dan pada ketika-ketika tertentu baginda boleh menyampaikan pandangan kepada kerajaan.

“Sama ada sesuatu keputusan berdasarkan nasihat itu politically popular atau pun, tidak baginda perlu meletakkan ketepatan undang-undang yang utama dan bukan sekadar melihat kepada keselesaan penerimaan parti politik,” katanya.

Mereka juga berpendapat, adalah menjadi tanggungjawab parti yang memerintah untuk menangani aspek politik kepartian.

“Itulah sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen yang diamalkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: