20 Jun 2021

Anda mungkin ada masalah obesiti jika berdepan 5 tanda ini, bahaya jika tak ubah gaya hidup

Terdapat pelbagai tanda obesiti yang boleh dikenal pasti.

KEGEMUKAN atau obesiti merupakan masalah di mana seseorang mengalami masalah lebihan berat badan yang meningkatkan pelbagai risiko penyakit.

Obesiti sering kali menjadi penyebab kepada penyakit kronik yang serius seperti jantung, angin ahmar dan diabetes.

Penting bagi kita mengetahui beberapa tanda bahawa kita telah mengalami obesiti kerana pencegahan dan rawatan awal dapat menyelamatkan nyawa serta menghindari pelbagai penyakit kronik.

1. Terpaksa beli pakaian baharu

Salah satu tanda jelas masalah obesiti adalah ketika pakaian mula terasa mengecil dan ia bukan perkara yang boleh diabaikan.

Daripada membeli pakaian baharu, sebaik-baiknya, kita perlu melihat kembali bentuk tubuh dan melakukan pemeriksaan kesihatan sama ada kita mempunyai masalah obesiti atau tidak.

Ini juga masanya untuk kita berfikir lebih serius seterusnya mengubah gaya hidup serta bersenam lebih kerap.

2. Kaki membengkak

Peningkatan berat badan dapat memberi tekanan pada sistem vena yang membawa darah ke seluruh badan termasuk dari kaki ke jantung.

Obesiti dapat menyebabkan pembuluh darah tersebut berhenti bekerja dengan baik dan menyebabkan kaki menjadi bengkak.

3. Kesukaran bernafas

Individu dengan masalah obesiti dapat mengembangkan lemak di sekitar bahagian dada sehingga membuatkan mereka sukar bernafas.

Ketika dalam posisi baring, pernafasan bertambah sukar kerana diafragma mereka tidak boleh bergerak bebas.

4. Keletihan

Obesiti juga dapat menyebabkan 'sleep apnea' iaitu lebihan lemak yang menghalang pernafasan ketika seseorang itu tidur.

Mereka yang tidur berdengakur dan terbangun secara mengejut biasanya disebabkan oksigen dalam darah berada pada tahap rendah dan situasi ini boleh berlaku secara berulang setiap malam.

Individu yang mengalami obesiti biasanya tidak mendapat kualiti tidur yang baik sehinggakan mereka berasa letih dah lesu pada waktu siang.

5. Sakit kepala

Sakit kepala boleh terjadi disebabkan lebihan berat badan terutamanya akibat obesiti. Obesiti juga dapat menimbulkan keadaan disebut sebagai hipertensi intrakranial yang mana tekanan meningkat pada otak dan menyebabkan rasa sakit kepala.

mstar/-

Tiada ulasan: