Pasport vaksin dipertimbang untuk dilaksanakan bagi membenarkan rakyat merentas negara, negeri dan daerah selepas lebih ramai penduduk mendapat suntikan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kaedah masih terlalu awal untuk dilaksanakan memandangkan jumlah rakyat yang divaksinasi belum mencapai 10 peratus.
"Kalau dilaksanakan sekarang, contohnya mesti sudah divaksinasi untuk pergi ke masjid, buat aktiviti rentas negeri dan sebagainya, sedangkan masih ramai yang belum menerimanya. Tentu orang akan marah.
"Masih ada yang dalam proses menunggu (giliran mendapat suntikan vaksin). Kita akan lihat, kalau ramai yang sudah divaksinasi, kaedah ini boleh digunakan untuk merentas negeri. Tidak perlu patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) dan sebagainya," katanya dalam Webinar Islam dan Isu Semasa bertajuk Sosialisasi Agamawan dalam Menangani COVID-19 yang disiarkan secara langsung di Facebook Pertubuhan Intelektual Negara (PINTAR) dan Persatuan Ulama' Malaysia (PUM), hari ini.
Anggota Jabatan Amal Malaysia membantu mengangkat warga emas, Che Minah Embong, 64, yang berkerusi roda ke bilik suntikan vaksin COVID-19 di PPV Masjid At-Taqwa Durian Burung, Kuala Terengganu, hari ini. - Foto BERNAMA
Dr Noor Hisham berkata, pasport vaksin sudah dilaksanakan di negara lain seperti Arab Saudi yang meletakkan syarat wajib vaksinasi, bagi jemaah yang ingin masuk ke negara itu, bagi menjalani ibadat umrah.
Katanya, tidak ada cara lain untuk membolehkan pasport vaksin diperkenal, selain memperluas vaksinasi kepada seluruh penduduk Malaysia secepat mungkin.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, sebagai langkah untuk meningkatkan proses vaksinasi, Pusat Pemberian Vaksin (PPV) diperluas dengan mengambil kira beberapa faktor, terutama kesesuaian tempat dan dibuat di kawasan lapang.
"Sekarang ini kita bukan hanya gunakan masjid, tetapi dewan orang ramai dan sebagainya.
"Ini akan diperluas lagi jika ada tempat bersesuaian, termasuk di tempat awam dengan memastikan penjarakan, dan kepatuhan kepada SOP. Ini boleh dilaksanakan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) turut menggunakan unit bergerak yang masuk ke pedalaman bagi memastikan semua rakyat dapat divaksinasi secepat mungkin.
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN), Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim (tiga, kanan) memberikan penerangan berkaitan dengan operasi PPV Bergerak di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) FELCRA Bukit Kepong, Muar, hari ini. - Foto BERNAMA
"Kumpulan bergerak ini akan mendaftarkan semua penduduk di kampung bagi proses vaksinasi.
"KKM melihat penggunaan vaksin CanSino dan Johnson & Johnson (J&J) yang hanya memerlukan satu suntikan dos, penting kerana kita tidak perlu lagi mencari siapa yang sudah mendapat dos kedua, individu mana yang belum divaksinasi dan sebagainya," katanya.
Webinar yang membincangkan isu semasa COVID-19 itu turut menampilkan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
BH/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan