22 Jun 2021

Hospital, doktor swasta beri 1 juta suntikan vaksin dalam 2 minggu

Kira-kira 100 hospital swasta dan 700 pengamal perubatan am di seluruh negara turut serta dalam PICK setakat ini, menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Hospital dan doktor swasta telah memberikan sejuta dos vaksin Covid-19 dalam tempoh dua minggu sejak mereka mula melibatkan diri dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia Dr Kuljit Singh berkata, kapasiti setakat 21 Jun adalah 90,000 suntikan sehari tetapi jumlahnya akan meningkat dalam beberapa minggu akan datang.

Tambahnya, kira-kira 100 hospital swasta dan 700 pengamal perubatan am di seluruh negara turut serta dalam PICK setakat ini, menurut ProtectHealth Corporation Sdn Bhd.

Hospital swasta mula memberikan vaksin pada 7 Jun, setelah dilibatkan kerajaan untuk merangsang pelaksanaan PICK.

“Sebilangan besar hospital swasta mempunyai pusat vaksinasi yang dikendalikan sepenuhnya oleh jururawat, doktor dan kakitangan pentadbiran mereka sendiri.

“Masyarakat memberi respons baik terhadap vaksinasi di hospital swasta dalam fasa kedua atas unsur-unsur keselesaan dan kemudahan tetapi berdasarkan janji temu yang ditetapkan melalui MySejahtera,” kata Kuljit dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, hospital swasta telah menggerakkan ratusan kakitangan ke pelbagai pusat vaksinasi mega, sementara lebih ramai lagi akan dikerahkan di negeri lain untuk meningkatkan kadar vaksinasi.

“Ini adalah langkah terbaik untuk membantu kerajaan dan masyarakat kerana tiada petunjuk segera mengenai pembelian (vaksin) sendiri oleh hospital swasta akan dibenarkan,” katanya.

Menteri penyelaras PICK, Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata, pengamal perubatan am swasta dijangka memberi 145,000 dos vaksin sehari menjelang Julai.

FMT/-

Tiada ulasan: