JOHANNESBURG: Peningkatan kes harian COVID-19 di Afrika Selatan memuncak secara ketara dalam beberapa minggu ini sehingga mencecah 1,500 peratus berbanding April lalu, kata Presidennya, Cyril Ramaphosa.
Bagaimanapun program vaksinasi di negara itu dikesan masih perlahan ketika ini dan Ramaphosa berkata, peningkatan kes baharu berlaku sangat cepat dan terus bertambah sejak beberapa minggu ini.
Beliau berkata, kes baharu meningkat dari kurang 800 kes awal April lalu kepada 13,000 kes minggu lalu.
"Dalam erti kata lain, ia meningkat 15 kali ganda dari jumlah terendah sebelum ini," katanya.
Afrika Selatan adalah negara di benua yang paling teruk terjejas dengan 35 peratus dari jumlah keseluruhan kes dan Gauteng, negeri paling popular dan hab komersial, menjadi pusat wabak itu.
Jangkitan baharu ketika ini dikesan melebihi kemuncak dua gelombang sebelumnya.
Minggu lalu, kerajaan mengerahkan pasukan perubatan tentera membantu pekerja kesihatan bagi membendung penularan di Gauteng.
Ramaphosa menjelaskan, hospital kini sudah mencecah kapasiti maksimum manakala pekerja kesihatan pula semakin penat.
Gelombang jangkitan ketiga menyerang ketika Afrika Selatan bergelut dengan program vaksinasi penduduknya, di mana sejak Februari lalu, hanya dua juta daripada 59 juta penduduk disuntik.
Rabu ini, Afrika Selatan akan memulakan program vaksinasi kepada guru sekolah, namun setakat ini hanya pekerja kesihatan dan mereka yang berusia 60an saja divaksinasi.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada minggu lalu menyatakan kebimbangan ekoran peningkatan kes di seluruh benua Afrika, malah terdapat varian baharu yang lebih mudah dijangkiti. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan