KUALA LUMPUR: Peruntukan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan jelas menunjukkan Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet.
"Semua pihak termasuk Raja-Raja Melayu dan rakyat perlu patuh serta menghormati perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan selaku undang-undang tertinggi dalam negara," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau sependapat dengan pandangan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad dan pakar Perlembagaan, Prof Datuk Dr Shamrahayu A Aziz, berhubung perkara itu.
Apandi berkata, tugasan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong jelas dinyatakan dalam Sumpah Jawatan seperti tercatat dalam Jadual ke-4, Perlembagaan Persekutuan.
"Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan tugas, berhak untuk mendapat pandangan serta penjelasan daripada pihak yang baginda fikirkan sesuai.
"Justeru, kerana itulah ditubuhkan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 mengikut Seksyen 2 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria," katanya.
Abdul Hamid dan Shamrahayu antara lain berpandangan, wujud sebab mengapa Yang di-Pertuan Agong perlu mendengar nasihat Perdana Menteri dan Kabinet seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Mereka berkata, pelanggaran peruntukan tertentu akan memberi kesan kepada baginda sendiri kerana Yang di-Pertuan Agong perlu bertindak atas nasihat Perdana Menteri dan Kabinet termasuk menteri-menteri, seperti mana peruntukan Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan