23 Jun 2021

Keputusan PKP 3.0 diumum sebelum tarikh akhir


Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman beramah mesra bersama penerima vaksin ketika meninjau PPV Dewan Serbaguna Pagoh, Muar, Johor. - Foto NSTP/ Nur Aisyah Mazalan

TANGKAK: Kerajaan hanya akan mengumumkan sama ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 disambung atau beralih ke fasa seterusnya, tiga atau dua hari sebelum sebelum tarikh akhir penguatkuasaannya pada 28 Jun ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata pengumuman mengenai isu berkenaan tidak akan dibuat dalam masa terdekat, berikutan perlu menunggu lebih banyak data dianalisa Kementerian Kesihatan (KKM).

Walaupun kerajaan menetapkan indikator tertentu termasuk jumlah kes, proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU), situasi sebenar kes di negara ini sentiasa berubah.

"Kita ada beberapa hari lagi sahaja (sebelum 28 Jun). Jika sekiranya kadar (kes positif) itu boleh turun lagi, bermakna ia ikut jadual yang kita harapkan, maka negara akan mampu beralih ke fasa kedua.

"Jadi disebabkan itu, kita tidak akan buat pengumuman sekarang. Biasanya kita akan bagi ruang dua tiga hari lagi (sebelum tarikh akhir PKP) sama ada kita nak sambung atau kita akan beralih (ke fasa seterusnya) sebelum pengumuman rasmi dibuat.

"Perkara itu (PKP diteruskan atau tidak) akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang saya pengerusikan untuk menilai keadaan semasa pandemik negara," katanya selepas meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, hari ini.

Turut hadir, isterinya, Puan Sri Norainee Abdul Rahman; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Terdahulu, Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh dan ADUN Gambir, turut mengadakan lawatan rasmi ke PPV Dewan Serbaguna Pagoh, di sini dan menghabiskan masa kira-kira 30 minit bertanya khabar penerima vaksin daripada golongan Orang Asli.

Muhyiddin turut meluangkan masa selama kira-kira 30 minit meninjau PPV Dewan Muafakat Bukit Gambir, di sini.

Sementara itu,Muhyiddin memaklumkan kerajaan sudah membeli dan membayar bekalan vaksin COVID- 19 bagi menampung keperluan rakyat di negara ini, namun masih belum menerima bekalan.

Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengarahkan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, supaya meminta pembekal menghantar bekalan vaksin COVID-19 dengan segera.

Katanya, beliau sudah meninjau beberapa PPV di beberapa lokasi yang sudah dibuka dan diuruskan dengan baik,namun menghadapi masalah yang sama iaitu bekalan vaksin yang tidak mencukupi dan perlu ditambah.

"Beberapa PPV juga bersedia meningkatkan kapasiti pemberian vaksin namun tidak dapat berbuat demikian kerana jumlah vaksin yang tidak cukup.

"Kerajaan sudah beli dan bayar namun bekalan vaksin yang di tempah itu belum sampai apatah lagi seluruh dunia sekarang perlukan vaksin.

"Saya sudah arahkan menteri bertanggungjawab supaya minta pembekal dapat membekalkan vaksin dalam tempoh lebih cepat.

"Jika pengilang sudah keluarkan lebih banyak vaksin, kerajaan harap bekalan vaksin lebih banyak akan dihantar ke negara ini dengan segera," katanya.. BH/-


Tiada ulasan: