Petugas barisan hadapan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut mengangkat peralatan untuk vaksinasi selepas mengharungi sungai dengan menaiki bot untuk ke Kampung Orang Asli Sungai Kucing pada program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli Ulu Tembeling, pada Rabu. - Foto Bernama
JERANTUT - Mengangkat bebanan berat, menempuh jalan darat yang berliku dan mengharungi sungai bukan rutin biasa buat Pegawai Farmasi Gan Siew Pei dan Hadiatul Ain Hasanuddin namun semuanya ditempuhi mereka demi memastikan masyakat orang asli menerima suntikan vaksin Covid-19.
Bagi mereka, pengalaman bersama petugas Pejabat Kesihatan Daerah Jerantut yang lain dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) untuk turun padang serta memberi vaksinasi kepada penduduk luar bandar merupakan kenangan manis yang tidak akan dilupakan seumur hidup.
Menurut Siew Pei, 26, beliau dan Hadiatul Ain, 29, diberi tanggungjawab menyediakan dan memastikan vaksin sentiasa berada dalam keadaan yang baik sebelum dibawa ke pusat vaksinasi Kampung Orang Asli Sungai Kucing, Ulu Tembeling di sini.
"Cabaran bermula apabila kami terpaksa melalui jalan darat yang berlubang dan berlopak lebih sejam, sebelum mengharungi sungai dengan bot sekitar 10 minit dan mendaki bukit kecil bersama bekas khas yang mengandungi vaksin yang berkemampuan mengekalkan suhu kandungan antara dua ke lapan darjah Celsius.
"Bekas khas yang mengandungi pek ais dan vaksin jenis Sinovac itu saya terpaksa angkat berdua dengan Hadiatul kerana beratnya hampir 20kg di samping memastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan mematuhi suhu ditetapkan," katanya kepada Bernama di sini pada Selasa.
Kata anak kedua daripada tiga beradik itu, persiapan telah bermula pada Jumaat lepas yang bekalan vaksin berkenaan diambil di Klinik Kesihatan Tanjung Lalang, Temerloh dan dibawa ke Klinik Desa Kuala Sat di sini, untuk disimpan terlebih dahulu sebelum dibawa ke lokasi suntikan vaksin itu semalam.
Anak jati Pahang itu berkata, beliau yang pada mulanya ragu-ragu dengan penerimaan vaksin oleh Orang Asli akhirnya lega selepas majoriti masyarakat itu memahami dengan mudah penerangan yang diberikan berkaitan kesan sampingan selepas suntikan.
Petugas barisan hadapan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Jerantut mengharungi sungai dengan menaiki bot untuk ke Kampung Orang Asli Sungai Kucing pada program Vaksinasi Masyarakat Orang Asli Ulu Tembeling. - Foto Bernama
Hadiatul Ain yang kelihatan bersemangat ketika menjalankan tugas itu menganggap cabaran yang ditempuhi sebagai penat yang berbaloi kerana bukan semua individu dapat menikmati pengalaman seumpama itu lebih-lebih lagi berkunjung ke penempatan Orang Asli melalui jalan darat dan air.
"Rutin harian kami sebelum ini hanya memberi ubat kepada pesakit di klinik, tetapi kali ini kami keluar sedikit daripada tanggungjawab hakiki untuk sama-sama membantu jururawat dan barisan doktor membuat penyediaan untuk memberikan suntikan vaksin yang 150 dos vaksin disediakan untuk penduduk kampung ini.
"Selepas menguruskan vaksin dan memastikan ia selamat sampai di pusat vaksinasi, saya dan Gan memainkan peranan di stesen terakhir iaitu memberi penerangan mengenai kesan sampingan dan tarikh temu janji bagi suntikan dos kedua," katanya yang telah hampir lima tahun berkhidmat sebagai pegawai farmasi.
Sementara itu, peranan petugas kesihatan dalam kalangan orang asli turut membantu memudahkan urusan pemberian vaksin Covid-19 kepada masyarakat terbabit.
Antaranya, Pembantu Perawatan Kesihatan Bahari Kalang yang turut memainkan peranan dalam 'memujuk' masyarakat orang asli yang enggan menerima suntikan vaksin selain membantu dari segi pendaftaran ketika proses vaksinasi bermula.
"Macam hari ini (semalam) ada seorang dua yang tidak mahu vaksin,Tok Batin cakap pun mereka enggan, jadi saya berjumpa mereka cakap dengan berhemah dan terangkan dengan lebih jelas mengenai kebaikan vaksinasi dan akhirnya mereka akur," katanya yang telah bertugas hampir 20 tahun sebagai petugas kesihatan.
Bahari mengakui penyertaannya dalam Pasukan Bergerak Orang Asli, yang sering kali menemui masyarakat kampung berkenaan memudahkan tugasan 'memujuk' itu. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan