JERANTUT: Sepasang suami isteri dari generasi kedua peneroka Felda di sini membuktikan kesan Covid-19 bukan penghalang untuk kembali bangkit.
Muhammad Rozi Ismail, 41, dan Haslina Md. Jalil, 40, dari Felda Kota Gelanggi Dua di sini mula menikmati hasil gigih mereka mengusahakan tanaman terung sejak selepas pendapatan terjejas ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berpegang kepada prinsip ‘pertanian satu perniagaan’, mereka mengusahakan tanaman di kawasan seluas 0.4 hektar sejak beberapa bulan lalu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Muhammad Rozi berkata, pada peringkat awal dia tidak yakin dengan usaha itu, tetapi segalanya berubah apabila melihat tanaman berkenaan mengeluarkan hasil selepas dua bulan dan mendapat permintaan.
“Saya memulakan tanaman ini pada Oktober tahun lalu dengan mengeluarkan sedikit wang simpanan sebagai modal untuk membeli peralatan kebun, baja, biji benih dan menyemai sendiri 1,700 pokok di batas tanah yang dibantu isteri dan anak.
“Penjagaan tanaman ini agak mudah dengan hanya menggunakan baja organik yang dibeli daripada pembekal di Felda ini manakala peralatan pengairan pokok saya buat sendiri untuk menjimatkan perbelanjaan,” katanya di sini semalam.
Menurut Muhammad Rozi, dia memperoleh kira-kira 1,000 kilogram terung pada kali pertama dan sehingga bulan ini ia sudah melebihi satu pusingan.
Sementara itu, Haslina berkata, dia menjualnya RM6 sekilogram kepada pelanggan secara ‘pandu dan lalu’ di samping menguruskan jualan secara pesanan secara tunai (COD) memenuhi permintaan pelanggan di kawasan Felda ini.
“Sehingga kini purata hasil yang diperoleh antara 1,500 hingga 2,000 kilogram setiap dua minggu dipetik sudah memenuhi pasaran untuk pembeli dan pemborong di pasar raya Bandar Pusat Jengka, Jerantut dan kawasan Felda berdekatan,” katanya.
Ibu kepada lima anak berusia antara lima hingga 21 tahun itu berkata, pendapatan hasil tanaman itu cukup untuk keperluan dapur, persekolahan dan simpanan sebagai modal bagi tanaman lain dalam masa terdekat.
“Kami merancang untuk menanam cili kecil dan pisang,” katanya. – UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan