25 Jun 2021

Parlimen dijangka bersidang selewat-lewatnya minggu pertama September


KUALA LUMPUR: Persidangan Parlimen secara hibrid dijangka boleh diadakan akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September.

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun dalam kenyataan bersama berkata, tarikh itu bagaimanapun tertakluk kepada kelulusan semua aspek perundangan di peringkat Jawatankuasa Dewan dan Jawatankuasa Peraturan-Peraturan Mesyuarat terlebih dahulu, dijangka pada akhir Julai.

Katanya, dengan andaian itu, dicadangkan satu Sidang Khas Parlimen diadakan awal Ogos tertakluk prosedur operasi standard (SOP) ketat dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan.

"Sesi sidang khas ini penting untuk memastikan semua Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perincian mengenai hal-hal resolusi yang diperlukan untuk diterima pakai berkaitan perancangan mengadakan sidang Parlimen secara hibrid merangkumi beberapa pindaan ke atas Peraturan Mesyuarat, takrif-takrif persidangan maya, penyelarasan tanggungjawab Ahli Parlimen serta perkara-perkara teknikal yang berkaitan.

"Sekiranya cadangan ini diterima oleh kedua-dua Dewan, sedikit masa lagi diperlukan oleh Parlimen untuk memperoleh bekalan, mengintegrasikan sistem persidangan hibrid dengan sistem sedia ada, ujian, pentauliahan dan juga latihan kepada petugas dan Ahli-ahli Parlimen.

"Mengambil kira perkara-perkara ini dan tertakluk kepada keperluan di atas, dijangka persidangan Parlimen secara hibrid boleh diadakan sekitar akhir Ogos atau selewat-lewatnya minggu pertama September 2021," menurut kenyataan itu. BH/-

Tiada ulasan: