27 Ogos 2021

Harapan Kabinet baharu bawa semangat 'Keluarga Malaysia'

 Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri. - Foto hiasan

Bangunan Perdana Putra menempatkan pejabat Perdana Menteri. - Foto hiasan

Oleh Dr Mohd Izani Mohd Zain

SEMINGGU berlalu selepas pengumuman Perdana Menteri kesembilan, masih belum ada khabar sahih mengenai pembentukan Kabinet baharu.

Namun, Pejabat Perdana Menteri (PMO) semalam memaklumkan pengumuman mengenai Kabinet baharu akan dibuat pada jam 11 pagi ini.

Perkembangan ini sudah tentu mengakhiri teka-teki banyak pihak yang terus menebak dan membuat percaturan sendiri mengenai Kabinet bayangan mereka. Anggota Kabinet baharu dijadualkan mengangkat sumpah Isnin depan.

Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebelum ini mengambil masa lapan hari sebelum mengumumkan senarai Kabinet beliau. Jika dilihat tempoh ini, esok adalah hari sesuai untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai pasukan Kabinetnya kepada umum.

Sebelum itu, beliau sudah pun mengadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Abdulaziz di Kuantan bagi mendapatkan perkenan.

Tempoh seminggu adalah jangka waktu munasabah untuk Perdana Menteri mengumumkan anggota Kabinetnya. Beliau tentu memerlukan masa mencukupi sebelum mengumumkan senarai ahli Kabinet.

Lebih-lebih lagi, banyak pihak menyuarakan hasrat supaya Kabinet baharu ini diisi mereka yang berkaliber, mempunyai merit dan tidak dibebani isu integriti.

Bukan itu sahaja, saiz Kabinet yang lebih kecil juga dicadangkan bersesuaian dengan fokus utama kerajaan untuk menangani impak penularan pandemik COVID-19 dan ekonomi. Justeru, mungkin kita boleh menjangkakan jumlah anggota Kabinet yang lebih mengecil dengan pemantapan portfolio tertentu.

Selain calon dalam kalangan ahli Parlimen, ahli profesional dan teknokrat juga dilihat boleh mengisi barisan Kabinet kali ini, yang dapat menggunakan kepakaran mereka dalam konteks pembuatan dasar. Sehingga kini, Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan pernah diisi ahli profesional.

Sebagai contoh, Tan Sri Musa Mohamad, iaitu mantan Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) pernah dilantik sebagai Menteri Pendidikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bagaimanapun, Musa masih dianggap calon yang mempunyai hubungan politik dengan parti tertentu apabila turut dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO pada masa sama.

Menteri Kewangan adalah jawatan yang seringkali diisi ahli profesional. Malah, untuk Kabinet baharu ini, banyak pihak mencadangkan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dikekalkan bagi mengelakkan politiking.

Sebelum ini Perdana Menteri sering menggalas amanah sebagai Menteri Kewangan, namun tradisi itu nampaknya tidak diteruskan sejak beberapa tahun lalu bagi mengurangkan dominasi Perdana Menteri.

Selain pembentukan Kabinet, isu jawatan nombor dua iaitu Timbalan Perdana Menteri juga timbul. Meskipun jawatan ini tidak ada dalam Perlembagaan Persekutuan, secara tradisinya ia diwujudkan sebagai gandingan kepada Perdana Menteri.

Cuma, jawatan Timbalan Perdana Menteri ini dimansuhkan dalam Kabinet lalu dan digantikan dengan empat jawatan Menteri Kanan.

Ketiadaan jawatan Timbalan Perdana Menteri menimbulkan polemik apabila ia sepatutnya diberikan kepada UMNO sebagai parti yang mempunyai perwakilan terbesar dalam kerjasama penubuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN). Namun, jawatan Timbalan Perdana Menteri kembali diwujudkan 5 Julai lalu disandang wakil UMNO, iaitu Perdana Menteri sekarang.

Kini, jawatan nombor dua ini diuar-uarkan menjadi milik BERSATU. Siapakah dalam kalangan pemimpin BERSATU yang bakal dilantik ke jawatan keramat ini? Atau mungkin akan ada wakil daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Hakikatnya, sistem Kabinet yang menjadi sebahagian daripada badan eksekutif negara mempunyai peranan sangat penting dalam amalan demokrasi.

Kabinet berfungsi melaksanakan empat perkara utama, iaitu menentukan arahan utama untuk dilaksanakan oleh jentera pentadbiran Kerajaan Persekutuan, memperincikan dasar pemerintahan kepada rakyat, memastikan pentadbiran negara berjalan lancar dan efektif dan mentadbir Kerajaan Persekutuan melalui bidang kuasa diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Demi keutuhan Kabinet, anggotanya terikat dengan prinsip kebertanggungjawaban bersama. Mereka perlu mempunyai pemikiran sama dan akur dengan keputusan kerajaan.

Ini juga dilema besar kepada anggota Kabinet apabila mereka juga terikat dengan keputusan parti politik, terutama dalam keadaan kerajaan yang majoritinya amat tipis.

Anggota Kabinet yang bakal dilantik mempunyai cabaran besar ketika negara masih bergelut dengan krisis kesihatan terburuk pernah berlaku di negara.

Mereka perlu tangkas dalam membuat keputusan yang memberi impak kepada rakyat terbanyak. Inilah cabaran utama barisan menteri untuk membuat keputusan dalam kadar segera, tetapi mengambil kira input sedia ada.

Setiap menteri juga akan dibantu pasukan masing-masing terdiri daripada setiausaha politik, setiausaha sulit, setiausaha akhbar dan pegawai tugas-tugas khas. Mereka ini bolehlah dianggap sebagai pasukan menteri atau 'orang menteri'.

Imej seorang menteri sering dikaitkan dengan keupayaan pasukan ini, sama ada berkhidmat dengan baik atau sebaliknya.

Seiring konsep 'Keluarga Malaysia' yang digagaskan Perdana Menteri dalam ucapan sulungnya minggu lalu, sudah tentu Kabinet baharu ini mencerminkan semangat itu. Ia mesti inklusif dan mewakili kepentingan semua pihak.

Secara tuntas, Kabinet baharu ini sudah tentu menjadi cerminan kepemimpinan Perdana Menteri dan hala tuju yang mahu dibawanya selepas ini.

Kabinet baharu ini sekurang-kurangnya mesti boleh memenuhi jangkaan rakyat kalau pun bukan parti politik.

Sudah tentu Kabinet yang diumumkan hari ini tidak dapat memuaskan hati semua pihak dan akan ada suara yang mempertikaikan. Kita juga pastinya mahu mendengar apa reaksi parti pembangkang.

Bak kata pepatah, rumah sudah siap, pahat masih berbunyi. Namun, Kabinet baharu ini menggambarkan kebijaksanaan Perdana Menteri.

Sebagai ahli akademik, pengumuman hari ini dinanti penuh debar untuk melihat siapakah Menteri Pengajian Tinggi yang baharu.

Tidak kurang penting, siapakah yang bakal menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Kesihatan yang sudah tentu bakal terdedah dengan kritikan apabila kes COVID-19 masih tinggi.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)


Tiada ulasan: