14 September 2021

AirAsia tawar lebih 90 penerbangan ke Langkawi

 AirAsia menyediakan lebih 90 penerbangan mingguan ke Langkawi.

AirAsia menyediakan lebih 90 penerbangan mingguan ke Langkawi.

Kuala Lumpur: Air Asia Group menawarkan lebih 90 penerbangan mingguan ke Langkawi susulan pengumuman Prosedur Operasi Standard (SOP) gelembung perjalanan ke Langkawi oleh kerajaan, baru-baru ini.

Ia adalah berikutan permintaan yang tinggi dan menyokong usaha kerajaan serta Tourism Malaysia dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi menjayakan program ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, pihaknya melihat peningkatan penjualan tiket ke Langkawi, terutamanya melalui tawaran tambang serendah RM12 dan kombo SNAP bernilai RM99.

"Sebagai permulaan, AirAsia memulakan penerbangan semula ke Langkawi dengan keseluruhan 90 penerbangan dari Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Ipoh dan Kota Bharu.

"Malah, dari segi operasi, kami turut melaksanakan langkah kesihatan dan keselamatan lebih meluas dan komprehensif bagi memastikan tetamu dan kakitangan kami terbang dengan selamat," katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Superapp, Amanda Woo dan Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.

Katanya, AirAsia telah mencapai 200,000 jualan tiket susulan pembukaan semula pulau itu kepada pelancong domestik yang telah lengkap divaksinasi, bermula 16 September ini.

"Bagi (tempahan) hari pertama sahaja (9 September), kita telah menjual hampir 30,000 tiket.

"Malah, kekerapan penerbangan juga akan ditambah dengan 90 penerbangan mingguan ke Langkawi dan dari Langkawi iaitu berlepas dari Kuala Lumpur (63 kali seminggu), Pulau Pinang (14 kali seminggu), Johor Bahru (tujuh kali), Ipoh (tiga kali) dan Kota Bharu (tiga kali)," katanya.

Menurutnya tiket penerbangan AirAsia Malaysia bagi September dan Oktober laris dijual, menyebabkan syarikat penerbangan itu yakin momentum tersebut akan berterusan.

Antara langkah kesihatan yang diambil adalah inovasi terbaru sistem daftar masuk kendiri Superapp yang dapat mengintegrasikan data dari penyedia perkhidmatan kesihatan yang diperakui bagi mengesahkan kelayakan perjalanan berdasarkan sijil vaksinasi pelanggan.

Dalam perkembangan lain, AirAsia Superapp turut bekerjasama dengan LADA bagi menawarkan perkhidmatan beli-belah bebas cukai secara digital di seluruh pulau berserta pekhidmatan penghantaran pada hari sama di seluruh Langkawi menjelang akhir September ini.

Sementara itu, Nasaruddin berkata, Langkawi mencatatkan 285 penerbangan seminggu pada 2019.

"Bagaimanapun, apabila dilanda pandemik pada 2020, kekerapan penerbangan merosot kepada 195 seminggu. Oleh itu, pada masa akan datang, kami berharap untuk bekerjasama secara strategik dengan AirAsia bagi menarik kunjungan lebih ramai pelancong ke pulau ini.

"Menerusi sokongan daripada kerajaan Persekutuan, diharap usaha ini akan segera membuka peluang kepada lebih banyak perjalanan domestik dan antarabangsa yang baharu ke Langkawi," katanya.

Nasaruddin berkata, menurut data Persatuan Hotel Malaysia, hotel empat dan lima bintang mencatatkan kadar purata penghunian sebanyak 50 peratus.

Manakala, kadar penghunian bagi hotel tiga bintang ke bawah masih rendah iaitu kira-kira 20 hingga 30 peratus.

Seiring dengan pembukaan semula Langkawi kepada pelancong domestik, LADA bekerjasama dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya untuk menyediakan SOP yang komprehensif bagi pasaran antarabangsa.

"Perancangannya adalah untuk kali pertama membuka pulau ini melalui pengaturan penerbangan carter menjelang akhir tahun ini.

"Ini bagi membolehkan persekitaran bercuti yang lebih lestari dan mudah diurus, yang mana pelancong perlu membeli pakej percutian sebelum melancong ke Langkawi," katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: