PETALING JAYA: Tiada kata-kata dapat menggambarkan kepayahan yang dialami oleh ramai rakyat Malaysia sejak setahun lalu.
Mereka yang dulunya hidup dengan selesa kini bergelut untuk meneruskan kehidupan setiap hari, bimbang terputus sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
Bagi sesetengah orang, tiada gunanya berharap pada masa depan yang lebih baik memandangkan betapa suramnya kenyataan yang perlu dihadapi kini.
Antara mereka yang sangat memerlukan sinar harapan itu adalah Endang Hyder, pemain biola profesional yang terjejas teruk akibat perintah kawalan pergerakan disebabkan pandemik.
Endang berusia 35 tahun merupakan ibu tunggal tiga anak yang tinggal bersama ibu bapanya di Kampar, Perak.
Mula bermain biola sejak berusia 10 tahun lagi, Endang pernah membuat persembahan di peringkat antarabangsa dan sering memuat naik persembahannya di YouTube dengan memainkan lagu-lagu saduran moden dan klasik popular.
Tahun lalu, kisahnya menjual salah satu biola kesayangan untuk membayar bil perubatan ayahnya yang kehilangan kedua-dua belah kaki akibat diabetes tersiar di media sosial dan akhbar.
Walaupun ramai dalam kalangan masyarakat yang bersimpati, kekangan kewangan Endang berteruskan akibat perintah kawalan pergerakan yang berlanjutan.
Namun, jelasnya kepada FMT, keadaan ekonomi semasa terus menyukarkan kehidupannya dan dia amat bimbang dengan masa depan keluarganya.
“Keluarga saya dulu hidup dengan selesa sebelum pkp pertama. Ketika itu, saya juga membuat persembahan secara terbuka dan setiap bulan, saya akan muncul di sekitar 10 hingga 12 acara,” katanya.
Punca pendapatan tetap itu semakin berkurangan pada pkp berikutnya, dan setelah itu, Endang mula menggunakan simpanan untuk memastikan keluarganya tetap bertahan.
Namun, Endang pada awalnya masih optimis dan menyangka dia bersedia berdepan situasi terburuk.
“Saya fikir perintah sekatan hanya akan berlangsung tiga hingga empat bulan saja. Saya sangat yakin semuanya kembali akan seperti sedia kala,” keluhnya.
Namun, dalam masa beberapa minggu saja, wang simpanannya habis kerana perlu membayar bil perubatan ibu bapa dan juga perbelanjaan harian isi rumah.
Lebih menyukarkan lagi keadaan, daripada 42 pelajar yang mengikuti kelas biolanya, hanya enam yang tinggal sementara selebihnya terpaksa berhenti akibat masalah ekonomi masing-masing.
Lama-kelamaan, keadaan bertambah buruk sehingga dia terpaksa menjual pakaian, komputer dan telefon bimbitnya.
Apabila keadaan semakin terdesak, dia memutuskan untuk menjual salah satu biolanya, walaupun mengenangkan terpaksa melakukan pelbagai kerja untuk membelinya pada tahun 2001.
Setelah mendengar kisah kepayahan Endang, ramai cuba menyumbang wang, tetapi dia menegaskan tidak mahu bergantung pada pemberian orang.
“Orang ramai sangat baik dan dalam e-mel, mereka meminta saya untuk tidak menjual biola itu dan menawarkan untuk membantu saya dengan apa cara sekalipun,” ujarnya.
Dalam tempoh yang singkat di antara perintah kawalan pergerakan itu, Endang menyangka kesengsaraannya berakhir, terutamanya apabila dia mula menerima undangan untuk membuat persembahan.
Kemudian, sinar harapan itu kembali kelam apabila perintah sekatan kembali dikuatkuasakan. “Saya tidak tahu apa yang harus dilakukan, atau apa yang akan berlaku,” katanya.
Ia sampai ke satu peringkat di mana dia terpaksa menjual iPhone miliknya, namun nasib menyebelahi wanita ini apabila seorang jiran bermurah hati yang hanya dikenali sebagai “Aunty” memberikan telefon baru.
Tanpa banyak pilihan, Endang mula membuat kek, menawarkan perkhidmatan sebagai pembersih rumah dan pemetik buah. “Apa saja pekerjaan yang ada, saya sanggup lakukan,” katanya.
Penderitaan yang dialaminya sedikit sebanyak menjejaskan semangatnya, malah lebih teruk lagi apabila ada NGO tertentu yang tergamak menggunakan kisahnya untuk kepentingan mereka sendiri, tanpa sebarang faedah buat Endang.
“Saya menghubungi NGO ini, menyarankan agar mereka mengupah orang yang menganggur seperti saya untuk menghiburkan orang ramai di pusat vaksinasi,” katanya.
“Ketika mereka berjanji untuk menolong kami, saya ternanti-nantikan janji mereka untuk meminta saya membuat persembahan di pusat vaksinasi.”
Malangnya, tiga hari sebelum Endang sepatutnya beraksi, persembahannya dibatalkan dan apa yang sangat mengejutkannya, pemuzik lain mendapat peluang itu tanpa sebarang masalah.
“Saya tidak marah, tetapi anda tidak sepatutnya memberitahu orang ramai tentang bantuan anda kepada saya sedangkan saya langsung tidak menerima sebarang bantuan dari anda,” keluh Endang.
Pengalaman malang ini membuat Endang lebih berwaspada, kerana ia bukan kali pertama bantuan yang dijanji gagal direalisasikan.
Memandangkan dia perlu menyara anak-anaknya yang masih kecil, Endang lebih banyak bergantung kepada ‘busking dalam talian’, dengan menyiarkan persembahan di YouTube di mana penonton dapat memberi tip atau upah kepadanya.
Pun begitu, sumber pendapatan ini tidak konsisten, dan kadang-kala harinya berakhir tanpa sebarang bayaran sama sekali.
Walaupun ekonomi sudah mula dibuka semula, Endang percaya masa yang lama diperlukan untuk keadaan kewangannya kembali stabil.
“Pandemik ini mengajar saya bahawa tidak mengapa jika pendapatan kita sedikit,” katanya, sambil menambah ramai yang alpa dengan hakikat itu.
Dia juga mengalami keletihan, sehingga terpaksa menghadkan jumlah lagu yang dimainkan dalam sehari.
“Saya benar-benar kekurangan idea bagaimana untuk menempuh hari esok,” jelasnya.
Masa depan kelihatan begitu suram bagi Endang, yang kini bergelut untuk membeli susu buat ketiga-tiga anaknya yang sedang membesar, walaupun cuba untuk mendapatkan bantuan Gerakan Bendera Putih.
Oleh itu, bagaimana orang ramai dapat membantu ketika dia amat memerlukan? Menonton video YouTube-nya, melanggan salurannya dan memberikan tips dari semasa ke semasa sudah cukup baik, katanya.
Apa yang lebih penting lagi, dia sangat memerlukan bantuan rasmi untuk mendapatkan izin pergi ke Indonesia di mana sebuah studio telah bersedia untuk merakam dua single untuknya.
“Saya berharap ada pihak yang dapat menolong melalui saluran yang tepat supaya saya dapat pergi ke Indonesia dan merakam lagu. Itulah yang cuba saya lakukan ketika ini.”
Sekiranya anda ingin membantu Endang, hubunginya melalui laman Twitter @EndangHyder. Sokonglah dia dengan mengikuti laman YouTube-nya juga!
FMT/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan