09 September 2021

Ben Amir belajar budaya Orang Asli

 Drama Anak Sena lakonan Ben sarat dengan pengajaran dan kisah hidup masyarakat minoriti bukan sahaja tular dalam media sosial, malah memberikan cerita yang segar kepada penonton. - Foto Ihsan Kembara Sufi Production

Drama Anak Sena lakonan Ben sarat dengan pengajaran dan kisah hidup masyarakat minoriti bukan sahaja tular dalam media sosial, malah memberikan cerita yang segar kepada penonton. - Foto Ihsan Kembara Sufi Production

KUALA LUMPUR: Mahu lari daripada paparan kisah klise, syarikat produksi, Kembara Sufi Production memilih mengangkat tema kehidupan komuniti Orang Asli menjadi intipati utama kepada drama terbaharu, Anak Sena yang sedang bersiaran di kaca TV3.

Ia mengisahkan seorang guru yang terpaksa berpindah ke kawasan pedalaman dan berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mendidik anak bangsa. Menambahkan kekuatan, drama Anak Sena yang diterajui oleh aktor popular, Ben Amir sebagai Cikgu Amir itu menjalani penggambaran di Taman Negara, Pahang.

Penerbit, Jaja Ishak berkata, drama yang sarat dengan pengajaran dan kisah hidup masyarakat minoriti itu bukan sahaja tular dalam media sosial, malah memberikan cerita yang segar kepada penonton.

Katanya, dia bersyukur sambutan diterima dan menganggap itu adalah tuah buat mereka yang berani mempertaruhkan tema yang lain daripada lain.

"Saya berterima kasih kepada TV3 kerana percaya dengan karya Anak Sena memandangkan ia agak berbeza daripada tema yang biasa menjadi perhatian ramai.

"Kembara Sufi Production mengangkat tema ini untuk disesuaikan sempena bulan kemerdekaan dan sambutan Hari Malaysia.

"Saya terharu membacakan komen positif yang ditinggalkan penonton. Ada yang suka kisah guru yang terpaksa berpindah ke kawasan pedalaman, selain rindukan Taman Negara. Kami hargai apa sahaja yang positif," katanya kepada BH Online.

Penerbit, Jaja Ishak. - Foto Ihsan Kembara Sufi Production
Penerbit, Jaja Ishak. - Foto Ihsan Kembara Sufi Production

Drama Anak Sena memaparkan kisah Sena yang juga adalah tok batin daripada suku Bateq yang mahukan perubahan berlaku kepada anak orang Asli melalui pendidikan.

Namun, pelbagai dugaan terpaksa dihadapinya termasuklah halangan orang sekeliling yang masih menganggap pendidikan tidak penting berbanding ilmu hidup dalam hutan.

Cikgu Amir berhadapan pelbagai konflik dalam mendidik anak bangsa sehinggakan terpaksa melalui pelbagai dugaan untuk menyelamatkan anak muridnya untuk terus menghabiskan pelajaran di sekolah.

"Banyak kisah menarik yang digarap melalui drama ini. Pelbagai suka duka yang tidak pernah diketahui umum divisualkan untuk tatapan penonton. Konflik demi konflik yang berlaku memberikan nilai tambah kepada drama Anak Sena.

"Setidaknya kisah mereka memberikan pengajaran yang berguna. Apa yang dilihat berbeza dengan apa yang dilalui sebahagian masyarakat," katanya.

Dalam pada itu, Jaja mendedahkan pelbagai cabaran yang terpaksa dilalui oleh kru produksi sepanjang penggambaran berlangsung. Disebabkan lokasi agak jauh dari Kuantan, sudah pasti mereka perlu bersedia dengan pelbagai kemungkinan, sejak awal lagi.

Drama Anak Sena yang diterajui oleh aktor popular, Ben sebagai Cikgu Amir menjalani penggambaran di Taman Negara, Pahang. - Foto Ihsan Kembara Sufi Production
Drama Anak Sena yang diterajui oleh aktor popular, Ben sebagai Cikgu Amir menjalani penggambaran di Taman Negara, Pahang. - Foto Ihsan Kembara Sufi Production

Mengakui produksi kali ini memberikan cabaran berbeza, Jaja berkata, dia bersyukur pelakon dan kru yang terbabit tidak berhadapan dengan masalah besar sehingga menyebabkan penggambaran ditangguhkan.

"Ini adalah sumbangan kecil kami untuk masyarakat dengan memaparkan kisah yang jarang mendapat perhatian. Setidaknya kita boleh memperbanyakkan lagi naskhah sebegini untuk menyemai semangat cintakan negara dan meraikan kepelbagaian.

"Paling menggembirakan apabila ada yang mula belajar banyak perkara mengenai masyarakat Orang Asli yang jarang didedahkan kepada umum. Itu cukup memberikan kepuasan kepada pengkarya seperti kami," katanya yang berpengalaman luas dalam bidang penerbitan drama dan travelog.

Sebanyak lapan episod drama Anak Sena ditayangkan setiap Rabu hingga Sabtu menerusi slot Lestary TV3.

Selain Ben, pelakon lain yang membintangi drama Anak Sena termasuklah Ruzaidi Abdul Rahman, Sasha Abedul, Hadi Putera, Nadia Aqilah, Farah Ahmad, Danish Iskandar dan ramai lagi. Turut serta, penampilan istimewa, Azwan Ali.

bharian/-

Tiada ulasan: