KUALA LUMPUR: Malaysia komited memulihkan semula industri halal di negara ini yang terkesan akibat pandemik COVID-19, dengan turut menjadikannya antara agenda penting dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini kerana industri halal adalah pemangkin kepada ketahanan ekonomi pasca COVID-19, bukan saja kepada Malaysia tetapi juga negara Muslim secara keseluruhan.
Malah, Perdana Menteri berkata, Malaysia berhasrat dikenali sebagai pusat kecemerlangan terkemuka bagi sektor profesional dan latihan halal pada peringkat global, dalam membangunkan industri itu berasaskan pengetahuan.
"Malaysia secara beransur-ansur pulih daripada pandemik yang memberi kesan buruk terhadap masyarakat, dengan komited melaksanakan PPN bawah semangat 'Keluarga Malaysia' di mana industri halal adalah ciri utama dalam pelan itu.
"Saya juga ingin menyeru pihak berkepentingan halal global untuk bekerja bersama-sama dan bertekad meningkatkan perdagangan antarabangsa serta hubungan pelaburan melalui platform global bagi pembangunan pasaran baharu industri itu," katanya.
Beliau berkata dalam ucapan merasmikan Persidangan Perniagaan Halal Dunia (WHBC) dan Platform Bersepadu Halal (HIP), hari ini.
Teks ucapan Perdana Menteri pada WHBC yang bertema 'Halal - Pemangkin untuk Pemulihan Ekonomi Sejagat' itu dibacakan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Dalam pada itu, Ismail Sabri menegaskan, penggunaan piawaian halal harus dilihat sebagai syor nilai tambah dan bukannya halangan perdagangan bagi mereka yang menceburi sumber pertumbuhan ekonomi baharu melalui industri halal. BH/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan