09 September 2021

Puasa rahsia sihat sehingga usia lebih 100 tahun

 

Pah Yunus (kanan) dan kakaknya, Munah Yunus (kiri) tidak mempunyai penyakit kronik walaupun masing-masing sudah berusia lebih satu abad. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi

Pah Yunus (kanan) dan kakaknya, Munah Yunus (kiri) tidak mempunyai penyakit kronik walaupun masing-masing sudah berusia lebih satu abad. - Foto NSTP/Hazira Ahmad Zaidi


MACHANG: Berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan menjadi amalan dan rahsia dikongsi dua beradik dari Kampung Rengas,Tok Bok, yang kini usia mereka sudah lebih satu abad.

Dua beradik berkenaan, Munah Yunus, 115, dan Pah Yunus, 111, yang masing-masing sudah kematian suami hanya mampu mengengsot selepas terjatuh dalam kejadian berasingan sejak 10 tahun lalu sehingga menyebabkan tulang belakang mereka terjejas.

Pah berkata, secara rasmi usianya dan kakaknya yang berdaftar masing-masing 97 dan 101 tahun, namun jika diikutkan usia mereka sebenarnya sudah lebih satu abad berdasarkan tanda pada hujung nombor kad pengenalan.

"Kami bersyukur kerana dikurniakan umur yang panjang dan pada masa sama, sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat, Pulai Chondong pada awal Ogos lalu sebagai usaha menjaga kesihatan diri dan orang sekeliling daripada dijangkiti wabak COVID-19.

"Dari segi kesihatan, saya hanya menghidap penyakit darah tinggi dan parkinson, begitu juga kakak tidak menghidap sebarang penyakit kronik namun disebabkan usia semakin lanjut, pendengaran kami kurang jelas selain penglihatan kakak juga sudah kabur serta nyanyuk," katanya ketika ditemui di Kampung Rengas, Tok Bok, di sini, hari ini.

Ibu kepada lima anak, 18 cucu serta 36 cicit ini berkata, rahisa dia kekal sihat adalah disebabkan amalan berpuasa berterusan selama tiga bulan sehingga Ramadan selain puasa sunat setiap hari Isnin dan Khamis ketika masih muda yang masih diamalkan sehingga ke hari ini.

"Bagaimanapun, sejak beberapa tahun kebelakangan ini kakak saya sudah tidak lagi mampu untuk berpuasa berterusan selama tiga bulan dan hanya berpuasa penuh pada bulan Ramadan saja kerana mudah mengalami keletihan.

"Walaupun mengalami beberapa kekangan termasuk fizikal sudah tidak seperti sediakala, kami berdua tidak pernah meninggalkan amalan wajib iaitu solat fardu lima waktu meskipun terpaksa menunaikannya secara duduk," katanya yang kini menetap di rumah anak masing-masing.

Sementara itu, anak ketiganya, Mohd Ramli Ismail, 63, berkata, selain berpuasa, ibunya juga sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat serta mengamalkan makan ulam-ulaman.

"Saya bersyukur kerana ibu dan ibu saudara (Munah) dikurniakan kesihatan yang baik dan dalam usia mereka yang sudah lebih satu abad mampu melihat cucu serta cicit membesar di depan mata.

"Hubungan ibu dan kakaknya sangat akrab kerana selepas ibu dan ayah mereka meninggal dunia, hanya tinggal mereka dua beradik sahaja memandangkan tidak mempunyai adik-beradik lain," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: