19 September 2021

Harapan bakal jemaah haji

 Masjidil Haram.

Masjidil Haram.

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah haji berharap kenaikan kos haji tidak membebankan dan sekiranya ada pertambahan bayaran, ia dikenakan pada kadar berpatutan.

Penjawat awam, Nur Azmah Zakaria, 35, berkata besar harapannya dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci bersama ibunya pada tahun depan, dengan kos yang sama seperti ditetapkan Lembaga Tabung Haji (TH) pada 2020.

"Saya membuat rayuan untuk menemani ibu menunaikan haji tahun lalu, tetapi agak sedih juga selepas semua persiapan dilakukan termasuk kursus haji, impian itu terpaksa ditangguhkan akibat penularan COVID-19.

"Memandangkan kos naik selepas pasca pandemik ini, saya amat berharap TH meningkatkan kadar subsidi mengikut kadar kos semasa, supaya bakal jemaah yang sudah dua tahun menunggu tidak terlepas peluang hanya kerana tidak berkemampuan membuat bayaran tambahan," katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata kerajaan akan terus menanggung subsidi haji walaupun kosnya dijangka meningkat susulan perubahan prosedur operasi standard (SOP) ibadat itu yang dilaksanakan dalam norma baharu akibat penularan COVID-19.

Ahmad Marzuk dilaporkan berkata kerajaan akan memastikan peningkatan kos haji tidak membebankan jemaah, walaupun dijangka ia meningkat kepada lebih RM30,000 berbanding RM24,000 sebelum ini dengan jemaah hanya perlu membayar RM9,900.

Nur Azmah berkata, sekiranya berlaku kenaikan dan jemaah perlu membuat bayaran tambahan, diharapkan ia tidak terlalu tinggi dan membebankan.

"Semua jemaah yang sepatutnya terbang ke Tanah Suci tahun lalu sudah cukup simpanan seperti ditetapkan TH, jadi jika ada bayaran tambahan dengan kadar tinggi, mungkin ada yang terpaksa menangguhkan hajat menunaikan haji.

"Jika naik sekalipun dalam lingkungan RM12,000, ia masih dalam kemampuan saya dan keluarga," katanya yang memberitahu ibunya, Nurul Ain Zakaria, 59, sangat berharap dan setiap hari berdoa dapat menunaikan haji pada tahun depan memandangkan usianya yang semakin lanjut.

Seorang lagi bakal jemaah yang sepatutnya menunaikan ibadat haji tahun lalu, Ahmad Maricar Hameed Maricar, 59, berkata beliau akur dengan kenaikan kos haji dan faham ia kesan COVID-19.

"Dalam keadaan sekarang, kenaikan kos sememangnya tidak dapat dielakkan. Bukan sahaja haji, bahkan kos barangan dalam negara juga turut naik kesan daripada pandemik ini.

"Kenaikan kos haji ini diharap tidak menjejaskan jemaah, jika naik sekitar RM3,000 rasanya masih ramai yang mampu.

"Saya sendiri pesara dan tidak ada sumber pendapatan tetap. Saya juga percaya bukan semua jemaah mampu, ada yang sudah kumpul duit sejak bertahun-tahun untuk pergi dan jika ada tambahan bayaran, sudah tentu ramai lagi turut terkesan," katanya.

Ahmad Maricar berkata, disebabkan sudah dua tahun haji tertangguh, tentunya wang simpanan terkumpul bersama dividen dalam akaun TH bertambah dan ia secara tidak langsung meringankan beban membayar kos tambahan jika diumumkan kelak.

Beliau bagaimanapun yakin TH akan mengambil langkah proaktif untuk membantu jemaah sebaik mungkin.

"Setakat ini, saya belum menerima sebarang makluman daripada TH mengenai kenaikan kos," katanya.

BH/-

Tiada ulasan: