HANOI: Vietnam meluluskan penggunaan vaksin COVID-19 Abdala, dibangunkan Cuba ketika negara Asia Tenggara itu berusaha memerangi wabak terburuk di negara itu.
Abdala menjadi vaksin COVID-19 yang kelapan diluluskan untuk kegunaan di Vietnam, antara negara yang kadar vaksinasinya terendah di rantau ini, dengan hanya 6.3 peratus daripada 98 juta penduduk menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksin.
Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas Presiden Nguyen Xuan Phuc meninggalkan Hanoi untuk lawatan rasmi ke Havana.
Vietnam mencatatkan 667,650 kes jangkitan coronavirus dan 16,637 kematian, sebahagian besar disebabkan varian Delta sejak akhir April lalu.
"Kementerian Kesihatan meluluskan vaksin Abdala, berdasarkan keperluan mendesak negara untuk memerangi COVID-19," menurut kerajaan dalam satu kenyataan.
Kementerian itu bulan lalu mengatakan Cuba akan membekalkan sejumlah besar Abdala ke Vietnam dan memindahkan teknologi pengeluaran pada akhir tahun ini.
Pada Jun lalu, Cuba menyatakan tiga dos vaksin Abdala terbukti 92.28 peratus berkesan dalam ujian klinikal peringkat terakhir. - AGENSI
Tiada ulasan:
Catat Ulasan