PETALING JAYA: Sarang burung layang-layang bernilai RM134,895 berjaya dirampas Pasukan Polis Marin Sibu dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) dalam serbuan Op Khazanah di sebuah rumah berhampiran Blacksmith Road, Sibu, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak Zulfikar Mohd Ghazali, berkata susulan serbuan, mereka menahan seorang lelaki dan tiga wanita tempatan berusia antara 28 hingga 41 tahun kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998.
“Hasil serbuan itu, kita berjaya menemui sarang burung layang-layang yang dianggarkan seberat 44.954 kilogram (kg) yang disimpan dalam rumah terbabit,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Zulfikar berkata, kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 dan penjara tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.
Katanya, dalam operasi sama, dua lelaki tempatan berusia 33 dan 59 tahun turut ditahan di premis lorong Permai Barat, atas kesalahan tidak mempunyai permit daripada Kontroler Hidupan Liar untuk menjalankan premis rumah sarang burung.
“Suspek turut melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perlindungan hidupan Liar 1998. Mereka ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu manakala barangan rampasan dibawa ke SFC di Wisma Sanyan untuk tindakan lanjut,” katanya.
fmt/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan