MUAFAKAT Nasional (MN) Negeri Selangor melahirkan rasa kesal dan dukacita di atas tindakan Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Selangor yang telah meneruskan tindakan menyahwartakan tanah Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) seluas 536.7 hektar atau bersamaan 1,326.33 ekar tanah walaupun telah berjanji untuk menangguh dan menyemak semula ia di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini sebagaimana dinyatakan YB Hee Loy Sian Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar.
Untuk rekod penyahwartaan tanah Hutan Paya Gambut ini telah diluluskan dalam mesyuarat MMKN 17/2021 bertarikh 5 Mei 2021 dan dengan kelulusan itu nyahwarta ini direkodkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada tarikh 12 Ogos 2021 dan terus berkuatkuasa.
Tindakan mengenepikan protes serta bantahan awam dan suara Ahli-ahli Dewan Negeri kerajaan dan pembangkang yang lantang menolak tindakan ini cukup tidak bertanggungjawab dan mencerminkan betapa kerajaan pimpinan YAB Dato Seri Amiruddin Shari selaku Menteri Besar tidak lagi memiliki integriti sebagaimana diikrarkan oleh Manifesto Pakatan Harapan dulu.
MN Negeri Selangor mendesak agar kerajaan negeri akur serta menghormati suara rakyat dan langkah membatalkan penyahwartaan ini perlu dilakukan serta-merta tanpa berdolak-dalik dan bermain politik.
Kerajaan Negeri Selangor perlulah sentiasa mengamalkan tadbir urus yang baik dan penuh berintegriti demi memberikan kualiti hidup yang baik dan bermakna buat rakyat selain memelihara dan mempertahankan negeri tercinta ini.
Kenyataan ini dikeluarkan oleh Pengerusi Bersama Muafakat Nasional Negeri Selangor pada hari ini Khamis 2 September 2021 bersamaan 24 Muharam 1443.
DATO DR AHMAD YUNUS HAIRI
Pesuruhjaya
Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor
TAN SRI NOH OMAR
Pengerusi
Badan Perhubung Umno Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 3/9/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan