04 September 2021

Penyelewengan ajaran PMYT disiasat

 

AHMAD Marzuk Shaary menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pejabag Pusat Khidmat ADUN Kampung Landak, Pengkalan Chepa di Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ULHANIFA SIDEK

KOTA BHARU: Kerajaan merujuk kepada Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi meneliti sejauh mana gerakan Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) dikatakan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, PMYT dibawa wanita dikenali sebagai Sittah Annur itu juga sudah berada dalam radar Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan polis.

“Siasatan perlu dijalankan dengan memanggil pihak terlibat kerana ia melibatkan akidah umat. Ajaran seperti ini wujud tidak kira tempat dan zaman, namun penyelewengannya diolah mengikut cara tertentu.

“Berdasarkan laporan dan penelitian kandungan ajaran itu, kita sudah tahu ia akan mempengaruhi ramai pihak sama seperti ajaran Ayah Pin dahulu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Cemerlang secara pandu lalu di Pejabat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kampung Landak, Pengkalan Chepa.

Marzuk berkata, berdasarkan siasatan awal, pemikiran diterapkan Sittah Annur melibatkan dua isu utama iaitu ajaran sesat yang menyeleweng dari ajaran Islam serta ancaman terhadap keselamatan negara.

“Bagaimanapun, aspek agama adalah enakmen di negeri masing-masing, perkara ini perlu diperhalusi dengan teliti,” katanya.

Terdahulu tular dalam media sosial seorang wanita berusia 39 tahun menggelarkan diri Sittah Annur meramalkan Perang Dunia Ketiga kononnya bakal berlaku di Sabah selepas bermimpikan perkara itu.

Difahamkan, gerakan PMYT bermula sejak enam bulan lalu melalui medium media sosial seperti Facebook, YouTube dan Telegram untuk berkongsi pelbagai ramalan, selain dikatakan mempunyai ribuan pengikut. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: