04 September 2021

LTSIP sedia jadi lapangan terbang antarabangsa 2024

 

Mustapa (tengah) mendengar taklimat mengenai naik taraf LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.

KOTA BHARU - Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa yang kini dalam proses pembesaran turut bersedia menjadi lapangan terbang antarabangsa selepas siap sepenuhnya 2024 nanti.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, lapangan terbang dengan kos RM440 juta itu mampu menampung sehingga empat juta penumpang setahun.

“Sebelum ini pun, kita ada penerbangan luar negara seperti ke Singapura dan Medan, namun disebabkan kurang permintaan, saya difahamkan operasinya terpaksa dihentikan dan laluan berkenaan ditutup.

“Maka untuk kali ini pun kita tiada masalah dan bersedia untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa sekali lagi. Kita juga ada penerbangan ke Kuching dan Kota Kinabalu. Alhamdulillah, ia banyak membantu memudahkan pergerakan pelajar dan mereka yang bekerja di sana,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Sebelum itu, Mustapa melawat tapak pembinaan naik taraf projek LTSIP di Pengkalan Chepa di sini.

Hadir sama, Exco Jawatankuasa Kerjaraya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Negeri Kelantan, Datuk Sr Azami Mohd Nor dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan, Ir Suhaili Ismail.

Sinar/-



Tiada ulasan: