05 Oktober 2021

Kecap kemanisan tanam nanas

 WAN Lokman berjaya mengusahakan nanas jenis madu kaca dan MD2 di tanah seluas 0.4 hektar sejak tiga tahun lalu.

WAN Lokman berjaya mengusahakan nanas jenis madu kaca dan MD2 di tanah seluas 0.4 hektar sejak tiga tahun lalu.

Berbudi pada tanah bukan saja membuahkan hasil yang lumayan, malah menjadikan seorang alumni Universiti Malaysia Kelantan (UMK) ini sebagai petani yang berjaya.

Bermula sekadar ingin mencuba nasib dalam bidang pertanian, tanpa disangka bidang itu kini menjadi kerjaya buatnya selain mampu mengupah empat pekerja.

Penat lelahnya itu juga berbaloi apabila hasil tanaman diusahakan mampu meraih pendapatan lumayan.

Wan Lokman Wan Haron, 33, yang mengusahakan tanaman nanas di Kampung Chuchuh Puteri, Kuala Krai, Kelantan mengakui dia mula terbabit dengan bidang pertanian sebagai pengusaha ladang nanas sejak tiga tahun lalu.

Katanya, dia bermula pada 2018 dengan menanam tanaman itu di atas tanah seluas 0.4 hektar.

"Pada awalnya, saya hanya mahu mencuba nasib dengan mengusahakan tanaman nanas dan ia membuahkan hasil yang mampu menjana pendapatan sehingga lima angka bagi setiap musim.

"Selepas tiga tahun berpanas, berhujan dan bermain lumpur, saya tidak sangka tanaman yang diusahakan ini mampu menghasilkan kira-kira tujuh tan nanas semusim.

"Buah ini saya jual dengan harga borong di pasaran tempatan iaitu RM2.50 sekilogram bagi nanas madu kaca, manakala nanas varieti MD2 dijual pada RM4 sekilogram.

"Untuk jualan secara runcit harga sekilogram nanas madu kaca dijual sekitar RM3.50 hingga RM5 dan nanas MD2 mencecah RM5 hingga RM8 sekilogram, bergantung kepada pasaran semasa," katanya ketika dihubungi.

Menurut anak ketiga daripada 10 beradik itu, nanas MD2 antara yang menjadi rebutan dan mendapat permintaan tinggi kerana rasanya yang manis, lebih berjus serta serat yang bagus untuk kesihatan.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Keusahawan Teknologi Pertanian daripada Fakulti Agroindustri dan Sumber Asli (FASA) itu berkata, madu kaca juga mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli kerana rasanya rasanya yang manis.

WAN Lokman bersama pekerjanya memetik buah nanas.
WAN Lokman bersama pekerjanya memetik buah nanas.

"Alhamdulillah, hasil tanaman saya ini mendapat permintaan yang tinggi sama ada secara runcit mahupun borong.

"Bagi jualan runcit, kebanyakan datang dari kawasan kampung ini dan yang terdekat, manakala pemborong mereka datang dari luar daerah untuk dipasarkan di lokasi mereka," katanya.

Katanya, daripada sebelum menanam, dia perlu memilih anak pokok yang sesuai dan bermutu bagi memastikan tumbesaran pokok tidak terbantut dan menghasilkan buah mengikut spesifikasi dikehendaki.

Menurutnya, nanas memerlukan penjagaan rapi dengan melakukan kerja penyelenggaraan termasuk menggembur tanah dan membuang rumput setiap hari bagi memastikan proses tumbesarannya tidak terjejas.

Jelas Wan Lokman, selain itu, dia perlu mengawasi tanaman itu supaya tidak menjadi sasaran makhluk perosak dengan menggunakan racun yang sesuai.

Mengimbau bagaimana boleh terbabit dengan tanaman nanas, Wan Lokman berkata, pada awalnya dia mendapat galakan dan sokongan daripada keluarga terutama bapa yang sentiasa memberi semangat serta motivasi untuknya mengusahakan nanas di kawasan tanah pertanian terbiar.

"Berbekalkan modal sekitar RM30,000 yang diperoleh daripada wang simpanan keluarga, saya memulakan projek tanaman nanas tanpa memohon bantuan daripada mana-mana agensi kerajaan mahupun swasta.

ANTARA hasil nanas berkualiti yang dihasilkan.
ANTARA hasil nanas berkualiti yang dihasilkan.

"Saya mengusahakan kawasan tanaman secara berperingkat dengan permulaan modal yang kecil dan memperoleh anak benih nanas dibeli di pasaran.

"Malah saya bersyukur kerana semua urusan dipermudahkan Allah. Pengalaman belajar ketika menuntut di UMK banyak membantu saya untuk menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan dan kerjaya.

"Ketika di universiti, pensyarah sentiasa berpesan untuk menjadi usahawan yang berjaya perlu sentiasa mementingkan produk berkualiti. Jadi, saya amat mementingkan hasil pengeluaran tanaman yang bermutu bagi menjamin kepuasan pelanggan atau pemborong," katanya.

Wan Lokman yang masih bujang berkata, pada awal pembabitannya dalam bidang itu, banyak cabaran yang terpaksa ditempuhi.

Menurutnya, cabaran itu memberi pengalaman serta mengajarnya untuk bangkit dan berusaha dengan lebih gigih.

"Untuk meceburi apa-apa bidang sekalipun kita kena usaha tanpa jemu dan komited melakukan yang terbaik. Begitu juga dengan bidang pertanian yang perlu kesungguhan untuk berjaya.

"Alhamdulillah, hasil usaha, sokongan dan semangat daripada ibu bapa serta keluarga, saya mampu mengusahakan tanaman ini.

"Walaupun orang anggap bidang pertanian satu kerjaya yang tidak glamor, bidang itu memberi hasil yang lumayan jika diusaha bersungguh-sungguh.

"Saya juga merancang mempelbagaikan lagi hasil pertanian pada masa hadapan dengan mengusahakan kebun durian, sayur-sayuran dan tanaman lain.

"Saya turut menaruh harapan tinggi untuk menjadikan kawasan Kampung Chuchuh Puteri antara lokasi pengeluaran nanas premium di Kuala Krai sekiranya kawasan ini terus dimajukan dengan tanaman nanas secara komersial," katanya.

hmetro/-

Tiada ulasan: