05 Oktober 2021

'Kemelut Melaka, pengumuman penting jam 3 petang ini'

 Istana Melaka. - Foto Bernama

Istana Melaka. - Foto Bernama

MELAKA: Yang di-Pertua Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dipercayai sudah mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak berkaitan kemelut politik negeri ini dan pengumuman mengenai hasil perbincangan itu akan dibuat petang ini.

Sumber Istana Melaka berkata, pengumuman berkenaan dijangka dibuat Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh kira-kira jam 3 petang.

Katanya, Mohd Ali yang kini menjalani kuarantin kendiri selama tujuh hari bermula 30 September lalu sudah mengadakan perbincangan menerusi panggilan telefon, malam tadi bersama beberapa pihak terbabit.

"Difahamkan Mohd Ali sudah membuat keputusan hasil perbincangan itu dan ia akan diumumkan hari ini.

Saya tidak pasti sama ada ia (pengumuman) akan dibuat Speaker DUN, Setiausaha Kerajaan Negeri atau Ketua Menteri. Tunggu saja jemputan untuk media nanti," katanya kepada BH, hari ini.

Mohd Ali menjadi kontak rapat kepada individu positif COVID-19 dan tempoh kuarantin kendiri itu akan berakhir pada Khamis ini.

Susulan itu, tiada sebarang kunjungan hormat ke atas Mohd Ali boleh dilakukan mana-mana wakil parti politik sehingga tempoh kuarantinnya berakhir.

Semalam, empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Bebas mengumumkan hilang kepercayaan, sekali gus menarik balik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Mereka ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (BERSATU-Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).

Perkembangan itu secara teknikal menyaksikan Kerajaan Melaka tumbang kerana hilang majoriti sokongan.

BH/-

Tiada ulasan: