07 Oktober 2021

Tidak perlu wujud satu lagi Timbalan Speaker


KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengambil keputusan tiada keperluan mewujudkan satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, pada masa ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kewujudan dua Timbalan Dipertua Dewan Rakyat sepertimana yang termaktub dalam Perkara 57 (1)(B) Perlembagaan Persekutuan sudah memadai bagi tujuan menjamin kelicinan perjalanan mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, peruntukan Perkara 57 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan Ahli Dewan Rakyat mempengerusikan mesyuarat Dewan Rakyat pada masa ketiadaan Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua juga memadai, bagi tujuan menjamin kesempurnaan perjalanan mesyuarat.

Katanya, tiada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menambah satu lagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

"Cadangan pindaan Perlembagaan ini memerlukan sokongan majoriti dua pertiga ahli Dewan Rakyat.

"Atas dasar ini, PN berpendirian untuk tidak menyokong sebarang cadangan pindaan Perlembagaan bagi tujuan berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 13 September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dilaporkan berkata, kerajaan akan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi menambah seorang lagi Timbalan Speaker Dewan Rakyat kepada tiga, yang mungkin seorang daripadanya daripada pembangkang.

Beliau berkata, pindaan itu akan membabitkan Perkara 57 (1) (b) bagi menambah jumlah Timbalan Speaker daripada dua kepada tiga.

Beliau berkata walaupun Perlembagaan tidak menetapkan siapa yang layak menjadi Timbalan Speaker kerana ia dipilih oleh ahli Dewan Rakyat, mungkin peraturan boleh dibuat supaya seorang Timbalan Speaker berkenaan dicadangkan dari pihak pembangkang.

Muhyiddin berkata, PN berpendirian persefahaman di antara kerajaan dan pembangkang di Parlimen terhad kepada perkara yang dipersetujui bersama dan termaktub secara jelas dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani di antara Perdana Menteri dan pimpinan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September.

Katanya, pindaaan Perlembagaan Persekutuan untuk menambah jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak termaktub dalam MoU berkenaan.

Katanya adalah tidak wajar bagi mana-mana pihak menuntut pelaksanaannya

Tiada ulasan: