KUALA LUMPUR: AirAsia sudah menerima kelulusan rasmi daripada Kementerian Pengangkutan Sarawak (MOTS) dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC) untuk tambahan 42 penerbangan mingguan dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak bagi tempoh terhad dari 11 Disember 2021 hingga 5 Januari 2022.
AirAsia dalam satu kenyataan berkata, ia secara langsung menurunkan harga tiket Kuala Lumpur-Kuching dari sekitar RM1,000 sebelumnya kepada kurang RM200 sehala dan ia sudah pun hampir habis terjual sebaik jualan dibuka.
Syarikat penerbangan tambang rendah itu turut memberikan penjelasan mengenai isu di media sosial berhubung harga tiket yang mahal untuk penerbangan antara Semenanjung dan Sarawak menjelang perayaan Krismas serta musim cuti dan pilihan raya negeri Sarawak yang dijadualkan pada 18 Disember 2021.
Katanya pihaknya sentiasa berbincang dengan MOTS dan telah beberapa kali menyerahkan permohonan untuk penambahan kekal kekerapan penerbangan berjadual dari Semenanjung dan Sabah ke Sarawak sejak awal tahun ini, termasuk yang terakhir dikemukakan pada minggu lepas yang meliputi permohonan untuk penerbangan tambahan bagi musim cuti Krismas dan Tahun Baru Cina.
"Sebagai penerbangan kos rendah, kami memerlukan jumlah inventori yang tinggi untuk membolehkan kami menawarkan harga tiket yang rendah kepada penumpang.
"Operasi kami adalah berlandaskan kecekapan ekonomi iaitu dengan mendapatkan jumlah penumpang yang tinggi dan seterusnya membahagikan penjimatan kos kepada mereka. Ini membolehkan penumpang menikmati tambang rendah dan banyak penjimatan," kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat.
Beliau berkata harga purata untuk tambang penerbangan AirAsia antara Sarawak dan Semenanjung sebelum ini hanya sekitar RM160 sehala setiap penumpang.
"Harga purata ini mengambil kira harga tertinggi dan terendah termasuk semasa kami menawarkan jualan promosi tambang percuma," katanya.
Katanya model penetapan harga AirAsia adalah berdasarkan permintaan dan penawaran dan ia serupa dengan yang diguna pakai oleh syarikat penerbangan lain di seluruh dunia.
"Pematuhan terhadap kekerapan penerbangan yang dihadkan oleh SDMC telah menyebabkan pengurangan inventori tiket penerbangan yang ditawarkan dan seterusnya menyebabkan mekanisme penetapan harga dinamik kami menghasilkan harga yang tinggi apabila tiket pada harga rendah telah habis terjual.
"Ini juga adalah mekanisme sama yang diguna pakai untuk menawarkan harga promosi termasuk tiket serendah RM99 sehala pada Oktober lalu," katanya.
Beliau berkata secara umumnya, harga tiket akan meningkat semakin hampir kepada tarikh penerbangan dan juga semasa musim cuti, apabila hampir semua penerbangan kami hampir penuh sehingga 90 peratus.
"Jumlah kekerapan penerbangan yang dihadkan adalah faktor utama yang melonjakkan harga tiket bagi semua syarikat penerbangan," katanya.
Untuk rekod, AirAsia mengendalikan lebih 300 penerbangan mingguan ke Sarawak bagi tempoh sebelum pandemik, menghubungkan Kuching, Sibu, Miri dan Bintulu dengan Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kota Kinabalu dan pelbagai destinasi di Malaysia.
"Bagi laluan Kuala Lumpur-Kuching sahaja, AirAsia mengendalikan sebanyak 12 hingga 15 penerbangan sehari sebelum tempoh pandemik, tetapi dengan kelulusan terbaru daripada MOTS, kami hanya dibenarkan mengendalikan lima penerbangan harian bagi laluan popular ini dan ini merupakan pengurangan 67 peratus dalam kapasiti kami disebabkan sekatan oleh SDMC.
"Ramai telah mendapatkan tiket kami pada harga rendah semasa jualan promosi pada Oktober lepas dengan harga tiket antara Kuala Lumpur dan Sarawak hanya serendah RM99 sehala.
"Amat jelas bahawa permintaan sememangnya tinggi tetapi buat masa ini kami tidak dapat memenuhinya sehinggalah kelulusan diberikan untuk lebih banyak penerbangan," kata Riad.
Oleh itu, katanya AirAsia merayu kepada MOTS dan SDMC untuk meluluskan permohonan penerbangan tambahan untuk Tahun Baru Cina, dan seterusnya menghapuskan sepenuhnya sekatan atas kekerapan bagi penerbangan yang telah diluluskan.
"Ini akan membolehkan kami menguruskan kos dengan lebih baik dan cekap seterusnya menurunkan tambang untuk manfaat semua penumpang," katanya. - BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan