Oleh: AIN MANAF
PASIR MAS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menjangkakan tiada kejadian banjir besar melanda Kelantan memandangkan purata taburan hujan berbaki dicatatkan hanya 32 peratus.
Bagaimanapun, Menterinya, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, masyarakat sebaliknya dinasihatkan agar membuat persiapan sekiranya berlaku sebarang bencana banjir di samping berusaha mengelak berlaku kerosakan besar.
“Melihat kepada taburan hujan tahun ini kita menjangkakan, insya-Allah tidak berlaku banjir besar di Kelantan, dan melihat dari segi rekod purata taburan hujan di negeri Kelantan yang masih berbaki adalah sebanyak 32 peratus.
“Bila berlaku peralihan monsun maka memang Kelantan, Pahang, Johor akan terima taburan hujan yang lebih banyak dari bulan-bulan biasa dan ia adalah normal,” katanya kepada pemberita selepas meninjau tapak pembinaan tebing sungai di Pohon Celagi, Pasir Mas, di sini hari ini.
Mengulas lanjut katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga akan terus memberi fokus dan meningkatkan pemantauan khususnya di lokasi titik panas kawasan banjir di seluruh negara.
Berhubung dengan banjir temenung yang berlaku katanya, secara keseluruhan pihaknya akan berbincang dan melihat jalan penyelesaian bagi jangka masa panjang seperti melihat kembali sistem peparitan bukan sahaja di Kelantan bahkan seluruh negara.
“Dari segi JPS kita telah sediakan satu pelan pembangunan lembam sungai di seluruh Malaysia supaya mana-mana PBT atau kerajaan sebelum melakukan pembangunan perlu mengambil kira perkara yang ditetapkan,” katanya. – HARAKAHDAILY 28/11/2021
Tiada ulasan:
Catat Ulasan