14 November 2021

Pertanian moden tarik minat generasi muda

 Sektor pertanian dianggap sebagai salah satu industri yang kalis kemelesetan dan terus menarik minat generasi muda - Foto fail NSTP

Sektor pertanian dianggap sebagai salah satu industri yang kalis kemelesetan dan terus menarik minat generasi muda - Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Malaysia terus mengimport makanan pertanian bernilai RM50 bilion merangkumi gandum dan jagung, 'pekerjaan 3D' (kotor, bahaya dan sukar) itu kini dilihat mula menarik minat lebih ramai golongan muda yang sebelum ini mengelak daripada menceburinya, kata Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Bhd, Khadijah Iskandar.

"Ini benar terutama semasa COVID-19 apabila kami mendapati sektor ini dianggap sebagai salah satu industri yang kalis kemelesetan dan terus menarik minat kumpulan ini (generasi muda).

"Tatkala negara gigih berusaha untuk memperkukuh keselamatan makanannya, kami sangat teruja melihat sektor yang sebelum ini kelihatan kurang menarik kepada generasi muda, terutama disebabkan sifatnya yang kotor, bahaya dan sukar selain pendapatan dan pulangan yang lebih rendah berbanding industri lain, ia kini bertukar menjadi sebaliknya," katanya kepada Bernama.

Khadijah berpendapat idea untuk lebih ramai anak muda menceburkan diri dalam industri ini sebagai petanda yang baik ketika negara melangkah ke arah status negara menua menjelang 2030.

Berkongsi data, beliau berkata seramai 1,159 usahawan tani muda menerima geran dan pembiayaan berjumlah RM23 juta di bawah program Agropreneur Muda (PAM) Agrobank tahun lalu berbanding 764 berjumlah RM13.7 juta pada 2019.

Program PAM membantu usahawan tani muda bukan sahaja dalam pembiayaan dan modal untuk memulakan perniagaan, tetapi juga menggabungkan nasihat teknikal, perundingan, latihan, serta kemahiran lain yang berkaitan.

Ini dilakukan selepas menilai risiko pembiayaan yang berkait dengan mereka seperti pengetahuan yang tidak mencukupi, kemahiran dan pengalaman perniagaan yang relevan, selain daripada tidak mempunyai sejarah kredit sebagai jaminan utama.

Dalam pada itu, Khadijah berkata bank itu juga berharap dapat memajukan industri pertanian melalui Revolusi Industri 4.0 (IR4.0), menjadikan perniagaan tani satu kerjaya yang lebih menarik, muda dengan 'trend terkini' sebagai usaha memupuk minat bertani dalam kalangan generasi muda atau menjadikannya satu kerjaya atau profesion yang dipandang tinggi.

"Kami mempunyai pemilik perniagaan yang sudah pun menerima pakai konsep pertanian moden, memanfaatkan sepenuhnya Internet Pelbagai Benda (IoT) sebagai petani moden dan mereka berjaya melakukannya dengan sangat baik," katanya.

Beliau berkata, pertanian moden pastinya akan menarik minat golongan muda, kerana mereka akan dapat menguruskan ladang bermula daripada penyediaan tanah untuk penanaman sehingga menuai secara tepat dengan hanya meleret telefon pintar.

"Kami percaya trend ini dalam kalangan golongan muda akan meningkat tidak lama lagi, menjadikan pertanian sebagai kerjaya pilihan mereka, atau perniagaan keluarga yang diturunkan dari generasi ke generasi. Cumanya, generasi baharu menyesuaikan diri dan mengambil pendekatan secara berbeza," katanya.

Agrobank akan menandatangani memorandum dengan lapan syarikat pemula niaga tahun ini, menyediakan peluang kepada mereka untuk 'melontar' idea sebelum diperkenalkan ke pasaran, kata beliau sambil menambah bank itu sedang dalam proses merangka perjanjian berkenaan.

Menyentuh mengenai cabaran, Khadijah berkata kekurangan komitmen nampaknya menjadi isu utama apabila berhadapan dengan kumpulan pelanggan ini.

"Kami melihat situasi ini dalam program sebelum ini yang mana golongan belia menyatakan keinginan untuk mendaftar dalam program tertentu (yang dikendalikan oleh Agrobank) tetapi pada masa yang sama mereka juga sedang mencari pekerjaan lain. Pada asasnya, bertani ini seperti perkara sementara bagi mereka," katanya.

Walaupun faktor usia yang muda menyebabkan mereka teragak-agak untuk menyertai industri, Khadijah berkata golongan belia harus sedar bahawa memanfaatkan teknologi bukanlah sesuatu yang murah dan menasihatkan mereka untuk memberikan komitmen 100 peratus dalam bidang pertanian.

Seperti yang diketengahkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), sektor pertanian masih berhadapan pendedahan yang rendah mengenai penggunaan teknologi pertanian, terutama dalam pelaksanaan IoT di bawah IR4.0.

Inisiatif pertanian yang bijak dan moden boleh menjadi pemangkin kepada sektor pertanian untuk berkembang dan mampu melakukan peralihan yang lancar kepada transformasi digital.

Menerusi Pelan Perniagaan Strategik (SBP) 2021-2025, Agrobank akan membolehkan pemangkin inovatif dalam pendigitalan dan automasi di bawah inisiatif 'sandboxing', iaitu platform/hab untuk Agropreneur Muda menghasilkan model perniagaan inovatif yang menerapkan teknologi pertanian dan inisiatif pendigitalan dalam aktiviti.

Di bawah RMK-12, Agropreneur Muda menerima RM126 juta geran yang diluluskan, dengan sejumlah RM76 juta diperuntukkan bagi automasi dan mekanisasi.

"Pada masa yang sama, kami turut menggalakkan Agropreneur Muda untuk diperakui di bawah Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) sebagai sebahagian daripada menyampai dan melaksanakan aktiviti perladangan yang bertanggungjawab yang akan menyumbang kepada pemeliharaan alam sekitar dan perubahan iklim", kata Khadijah.

Menurut beliau, Agrobank juga mula memantau faktor persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) pelanggannya.

"Itulah yang diperkatakan ramai orang pada masa ini, kemampanan. Walaupun kami masih di peringkat awal pemantauan ESG, iaitu pada 5.0 peratus, sambutannya amat menggalakkan dan kami berharap dapat memperbaikinya lagi," ujar beliau.

Ditanya sama ada bank itu berminat bergabung dengan bank lain untuk menjadi lebih kukuh, beliau berkata: "Cita-cita kami adalah untuk menyatukan kaum petani, terutama warga emas ... untuk tarik mereka turut serta melalui platform digital."

-BERNAMA

Tiada ulasan: