14 November 2021

'PAS tidak bersetuju jualan arak, tidak kira jenama' - Idris

 Idris (dua dari kanan) menyampaikan replika pakej bantuan kelestarian perniagaan berjumlah RM5,000 kepada peniaga pisang goreng Azidi Sudin (tiga, kiri) pada Program Inspirasiku MyHAUS anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Seri Aman Menglembu hari ini

Idris (dua dari kanan) menyampaikan replika pakej bantuan kelestarian perniagaan berjumlah RM5,000 kepada peniaga pisang goreng Azidi Sudin (tiga, kiri) pada Program Inspirasiku MyHAUS anjuran Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Seri Aman Menglembu hari ini

IPOH: PAS menegaskan, pendirian parti itu adalah jelas iaitu tidak bersetuju dengan penjualan arak atas apa jua jenama digunakan pengeluarnya.

Naib Presiden PAS, Senator Idris Ahmad, berkata pendirian parti itu adalah jelas tidak bersetuju daripada awal lagi.

"Atas nama apa (sekalipun) Timah, Dollah atau Wahab ke..kita tidak bersetuju. Itu jelas kepada kita (tidak pernah bersetuju) daripada awal lagi," katanya.

Beliau mengulas pertanyaan media berhubung arak jenama Timah yang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan rakyat dan pelbagai pihak sebelum ini.

Bagaimanapun, Kabinet dalam keputusannya membenarkan pengeluar arak terbabit mengekalkan jenama berkenaan.

Idris berkata, setakat ini beliau tidak melihat mana-mana pemimpin PAS bersetuju dalam isu membabitkan arak terbabit.

"Geng PAN (Parti Amanah Negara) nampaknya sembunyi bab (arak) Timah ini, apabila ada dalam kalangan pimpinan DAP yang kata nak bantu kalau ada berlaku saman-menyaman.

"Kita (PAS) jelas tidak bersetuju bab arak ini, pesta arak pun kita lawan, sedangkan DAP menyokong pesta arak," katanya.

Semalam, media melaporkan kerajaan membuat keputusan membenarkan syarikat pengeluar arak, Winepak Corpration (M) Sdn Bhd untuk terus menggunakan jenama Timah di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, dilaporkan berkata, syarikat pengeluar itu dikehendaki memasukkan label tambahan pada botol wiski terbabit untuk menjelaskan bahawa nama itu sebenarnya merujuk kepada bijih timah, seperti diusulkan syarikat itu sendiri.

Terdahulu, Idris hadir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyerahkan sumbangan bagi Program Inspirasiku MyHAUS kepada keluarga Azidi Sudin, 53, di rumahnya dekat Kampung Sri Aman, Menglembu

Program MyHAUS Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) mengambil inisiatif membantu keluarga Azidi yang hidup dalam serba kekurangan dengan menyerahkan sumbangan keseluruhan sejumlah RM50,000.

BHARIAN.

Tiada ulasan: