02 Disember 2021

Kerajaan perkasakan Angkatan Pertahanan Awam

 

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terus diperkasakan dan dilengkapkan dalam pelbagai aspek supaya mempunyai tahap kesiapsiagaan tinggi dan mampu mengurangkan risiko bencana.


Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Dato’ Dr Abd Latiff Ahmad, berkata kerajaan sedang mempertimbangkan beberapa inisiatif berpandukan matlamat dan strategi yang digariskan oleh APM dalam Pelan Strategik 2021-2025 APM dan di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tahun 2022.

Katanya, inisiatif pertama ialah memastikan APM berada di setiap daerah seluruh negara dengan pembangunan premis bangunan milik sendiri secara berperingkat.

“Kedua ialah perolehan aset di darat jenis kenderaan pacuan empat roda, aset di udara jenis kenderaan tanpa pemandu (UAV) dan aset di air jenis sistem sonar (termasuk di Wilayah Sabah dan Sarawak) bagi khidmat pemantauan serta mencari dan menyelamat.

“Seterusnya, perolehan kelengkapan perlindungan diri (PPE) bagi anggota dan pegawai APM untuk mendepani situasi bencana, krisis mahu pun kecemasan dan kemudahan latihan serta fasiliti simulator secara berperingkat di empat buah Institusi Latihan Pertahanan Awam (ILPA).

“Begitu juga dengan penyelenggaraan dan perolehan baharu peranti serta beberapa kelengkapan untuk Sistem Amaran Awam APM di seluruh negara dan pembangunan berfasa sistem pengurusan bencana secara digital kepada rakyat yang dikenali sebagai TRAC APM,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PAS-Kuala Krai) yang meminta menyatakan inisiatif kerajaan untuk memastikan APM dilengkapi kelengkapan dan fasiliti lengkap supaya lebih bersiap siaga dalam pengurusan bencana seperti banjir.

Melalui inisiatif itu, katanya ini membuktikan bahawa kerajaan memandang serius berhubung keperluan APM dalam pengurusan bencana dan khidmat kemanusiaan bagi melindungi nyawa serta harta benda berdasarkan tugas dan peranan yang termaktub dalam Akta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia 1951 (Akta 221).

Menjawab soalan tambahan Kuala Krai berhubung pelan strategi kerajaan bagi memastikan kekuatan anggota APM, katanya petugas sedia ada telah melalui semua modul kursus kemahiran serta fasa latihan secara berskala di kawasan masing-masing atau di institut latihan APM.

Katanya, anggota menjalani latihan secara berfasa di institut latihan APM bermula daripada modul asas sehingga ke peringkat kejurulatihan,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/12/2021

Tiada ulasan: