02 Disember 2021

Royalti: Kelantan kunjung hormat lagi kepada PM

 

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KOTA BHARU: Kelantan akan membuat sekali lagi kunjung hormat kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob mengenai kemelut royalti petroleum.

Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, ia berhubung kenyataan Menteri Kewangan pada sidang Dewan Rakyat pada 24 November lalu.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedang menetapkan tarikh malah berharap pertemuan yang bakal diketuai Menteri Besar itu mampu memberi manfaat.

“Mengenai royalti Pejabat Menteri Besar sudah membuat kenyataan, insya-Allah mungkin akan ada perbincangan lanjut dengan Perdana Menteri sebagai susulan.

“Kita harap boleh memberi hasil yang baik kepada negeri, bila pertemuan itu akan diadakan saya tidak tahulah, tetapi kita kena dapatkan tarikh tu,” katanya selepas persidangan Dewan Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Tengku Dato’ Seri Zafrul berkata, Petronas tidak akan membuat bayaran royalti tunai kepada mana-mana negeri di Semenanjung termasuk Kelantan.

Menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat pada 24 November lalu beliau berkata, ia disebabkan kedudukan medan pengeluaran petroleum yang beroperasi adalah di luar perairan negeri Kelantan. – HARAKAHDAILY 2/12/2021

Tiada ulasan: