SUNGAI PETANI: Impian wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau di sini, yang mahu menaiki jentera bomba akhirnya terlaksana hari ini.
Muhammad Haziq yang membuat laporan secara langsung melalui Facebook miliknya mengenai penemuan ular sawa di Pasar Bukit Selambau pada 24 Januari lalu, berpeluang menaiki kenderaan tersebut di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya di sini.
Katanya, dia seronok kerana impiannya selama ini untuk menaiki jentera bomba warna merah tersebut tercapai.
Hari ini, saya sangat gembira. Sebelum ini saya hanya tengok video anggota bomba menjalankan tugas masing-masing. Ia menjadi satu kenangan yang amat menarik dan sukar dilupakan apabila duduk di atas pelbagai jentera bomba kerana cita-cita awal saya adalah ingin menjadi ahli bomba,” katanya ketika ditemui selepas Program Merealisasikan Hajat Adik Haziq ingin menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya, Sungai Petani, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kedah, Sayani Saidon berkata, program itu diadakan bagi memenuhi impian kanak-kanak berkenaan yang mahu menaiki jentera milik pasukan bomba serta melakukan aktiviti melibatkan kebombaan.
Beliau memberitahu, Muhammad Haziq sentiasa meminta bapanya untuk berhenti sebentar di balai bomba berkenaan setiap kali berulang alik melalui kawasan itu dari Bukit Selambau ke pekan Sungai Petani.
“Kami adakan program ini bagi memberi kesempatan Haziq, merasai dan menjiwai kerjaya sebagai seorang pegawai bomba, dia (diberi peluang) naik jentera bomba, kemudian bersama dengan kru bomba turun daripada jentera dan membuat (proses) pemadaman.
“(Program ini) memberikan dia satu pengalaman bagaimana kerjaya sebagai ahli bomba yang buat kerja pemadaman dan adik haziq tengok gerak kerja (selain tahu mengenai) peralatan yang ada dalam EMRS itu,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan