PETUGAS kesihatan memeriksa keadaan pesakit baharu di hospital awam Bekasi, Jakarta.-AFP
JAKARTA: Bilangan kes jangkitan Covid-19 di Indonesia menyaksikan peningkatan mendadak apabila 32,211 kes dilaporkan Jumaat lalu, berbanding 10,185 kes, 31 Januari lalu.
Jumlah tersebut sekali gus menjadikan angka keseluruhan jangkitan Covid-19 sebanyak 4.4 juta kes, dengan kematian keseluruhan 144,453 kes.
Peningkatan itu dipercayai berpunca akibat penularan varian Omicron.
Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta dan Jawa Timur merupakan dua wilayah penyumbang harian tertinggi di Indonesia sejak Jumaat lalu.
Hal ini berikutan pertambahan kes baharu di dua wilayah itu melebihi 7,000 kes dalam tempoh 24 jam.
Jakarta merekodkan 13,378 kes, manakala, Jabar 7,690 kes.
Tiga wilayah lain yang mencatatkan lebih 1,000 kes sehari adalah Banten (4,370), Bali (1,789) dan Jawa Timur (1,679).
Sementara itu, 11 wilayah lain merekodkan pertambahan kes antara 100 hingga 900 kes, 13 wilayah antara 10 hingga 99 kes serta lima wilayah lain di bawah 10 kes sehari.
AKAD NIKAH DIKETATKAN
Susulan peningkatan kes jangkitan itu, pihak pejabat agama (KUA) menetapkan syarat proses akad nikah hanya boleh dihadiri maksimum enam orang sahaja.
Akad nikah dalam premis bangunan pula hanya dihadkan kepada 20 peratus jemputan mengikut kapasiti ruang tersebut.
Pengarah Bina KUA dan Keluarga Sakinah, Kementerian Agama, Muhammad Adi berkata, pelaksanaan akad nikah wajib menerapkan proses secara ketat dan penyelarasan dengan Pasukan Tugas Khas Covid-19 di daerah masing-masing.
Jelasnya, bakal pengantin, wali dan dua saksi dalam proses akad nikah wajib berada dalam keadaan sihat dengan menjalani ujian calitan Covid-19, 24 jam sebelum majlis berlangsung.
“Kes jangkitan Covid-19 melalui akad nikah didapati berkurangan selepas peraturan tersebut dilaksanakan.
“Tiada lagi masyarakat dan penghulu yang dijangkiti virus melalui kluster akad nikah,” katanya.
REKOD VAKSIN
Sehingga Khamis lalu, seramai 185 juta orang atau bersamaan 89 peratus sudah menerima suntikan dos pertama vaksin, manakala, 129 juta individu atau 62 peratus menerima suntikan dua dos vaksin Covid-19 di Indonesia.
Dalam pada itu, Pejabat Kejaksaan Tinggi DKI Jakarta memutuskan menghentikan operasi bekerja di pejabat dan melaksanakan sistem kerja dari rumah berkuatkuasa Jumaat lalu.
Ketua Pejabat Peguam Negara Jakarta, Ashari Syam berkata, keputusan itu diambil selepas 19 pekerja disahkan positif Covid-19.
Jelasnya, perkhidmatan awam yang bersifat mendesak akan tetap dilaksanakan oleh pejabat peguam.
UTUSAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan