06 Februari 2022

Wartawan cilik teruja dapat temu bual PM

 

TANGKAP layar daripada video memaparkan Ismail Sabri Yaakob ditemu ramah oleh Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, dalam satu pertemuan khas di sebuah hotel di Alor Setar, Kedah, hari ini.

ALOR SETAR: Wartawan cilik, Muhammad Haziq Mohd. Asyraf, 12, berpeluang menemu bual Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu pertemuan khas di sebuah hotel di sini hari ini.

Temu bual selama kira-kira empat minit 30 saat itu dilakukan secara langsung menerusi akaun Facebook kanak-kanak terbabit iaitu Haziq Atan pada petang ini.

Muhammad Haziq pada sesi temu bual secara santai itu mengenakan uniform anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).

Ads by Kiosked

Antara soalan yang diajukan Muhammad Haziq berkaitan makanan dan minuman kegemaran, umur, rutin harian serta perancangan kepada Malaysia jika diberi peluang untuk menjadi Perdana Menteri 10 tahun lagi.

Rakaman secara langsung tersebut menerima komen positif daripada netizen antaranya ‘tahniah Haziq, “terbaik berpeluang jumpa PM’, ‘hebat Haziq Atan’ dan ‘bangga kami orang Bukit Selambau’.

Terdahulu, Muhammad Haziq dibawa menaiki jentera bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Amanjaya Sungai Petani dekat sini. Dia yang merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Selambau gembira apabila impiannya untuk menaiki jentera tersebut akhirnya terlaksana.

“Alhamdulillah, saya rasa seronok sangat kerana akhirnya dapat naik jentera bomba yang mana sebelum ini saya hanya tengok di video sahaja,” katanya.

Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, selain mempunyai cita-cita untuk menjadi seorang cef, dia juga meminati kerjaya sebagai anggota bomba. Kanak-kanak terbabit juga merupakan penghidap talasemia dan memerlukan rawatan berkala di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani. – UTUSAN ONLINE 

Tiada ulasan: