06 Februari 2022

Tidak dapat tunai umrah, kerajaan bayar 60 peratus pampasan

 

Oleh AIN MANAF

KOTA BHARU:
 Kerajaan akan menanggung sebanyak 50 hingga 60 peratus kerugian ditanggung jemaah umrah yang terkesan akibat penangguhan sementara sebelum ini berikutan penularan virus Omicron, Januari lalu.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, tuntutan kerugian itu boleh dilakukan jemaah yang terlibat memandangkan proses pemurnian senarai jemaah terlibat dilakukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Katanya, pampasan itu akan dibayar terus oleh Lembaga Tabung Haji (TH) kepada bakal jemaah yang terlibat.

Bagaimabapun kata beliau jemaah perlu ambil inisiatif datang ke cawangan Tabung Haji (TH) berdekatan dengan membawa dokumen berkaitan seperti kad pengenalan, visa termasuk butiran umrah untuk menuntut kerugian yang ditanggung mereka.

“Kerajaan akan menanggung kerugian yang ditanggung jemaah yang terlibat dan Tabung Haji dengan kerjasama MOTAC serta persatuan umrah akan memurnikan senarai jemaah yang benar-benar menanggung kerugian dalam tempoh tersebut.

“Kalau mereka ada akaun bank Tabung Haji lagi senang sebab pembayaran akan dimasukkan terus kepada akaun jemaah. Melalui urusan Tabung Haji sebanyak 50 hingga 60 peratus akan tanggung daripada jumlah kerugian.

“Oleh itu, jemaah perlu ambil inisiatif untuk ke cawangan Tabung Haji serta membawa dokumen berkaitan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan food bank kepada nelayan yang terkesan pada majlis santuni nelayan Dun Kijang di Kompleks Lebaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kuala Besar, di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau turut mengingatkan semua bakal jemaah yang akan menjalankan ibadah umrah bermula Selasa ini sentiasa menjaga prosedur operasi standard (SOP) memandangkan kebelakangan ini berlaku peningkatan kes Covid-19 secara mendadak.

“Memandangkan bermula Selasa ini jemaah dibolehkan untuk menjalankan ibadah umah dan suka saya ingatkan supaya mereka menjaga SOP yang ditetapkan bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dengan memakai pelitup muka dan mengamalkan sanitasi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, kerajaan akan membayar pampasan kepada jemaah umrah yang terpaksa menangguhkan ibadat itu sepanjang penutupan sementara selama sebulan bermula 8 Januari lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad, dilaporkan berkata walaupun tidak dapat memberikan pampasan penuh, namun kerajaan berharap ia sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan. – HARAKAHDAILY 6/2/2022

Tiada ulasan: