23 Jun 2009

Usrah PAS Bagan Datoh turut dihadiri oleh orang bukan Islam

Oleh Misbahul Munir Masduki

Penyokong-penyokong PAS dari kalangan bukan Islam turut serta dalam program Usrah Mingguan PAS Kawasan Bagan Datoh yang diadakan di markaz PAS Kawasan Selekoh baru-baru ini. Jarang-jarang sekali, dalam program dalaman PAS yang bebentuk pengisian dalaman dihadiri oleh orang-orang bukan Islam.

Tetapi di Bagan Datoh, markaz PAS yang dijadikan pusat kegiatan parti termasuk Usrah Mingguan turut juga dihadiri oleh penyokong-penyokong PAS dari kalangan Cina dan India.

Biasanya program usrah bermula dengan solat berjamaah, bacaan ma'athurat, pembentangan teks usrah menggunakan buku-buku tertentu atau kertas-kertas kerja tertentu, dibentang oleh naqib dan diperbincangkan, mengulas isu-isu semasa dan membincangkan program-program semasa. Ia dihadiri oleh pimpinan dan ahli-ahli PAS.

Kali ini, penyokong PAS dari masyarakat Cina dan India turut hadir, mereka duduk bersila, mendengar kupasan-kupasan ayat-ayat al Quran dan Hadis oleh YDP Kawasan Bagan Datoh yang memimpin usrah pada malam itu. YDP menggubah sedikit pendekatan agar ia lebih kepada bentuk dakwah. Mereka mendengar dengan penuh minat.

Dalam usrah tersebut, persoalan Kerajaan Perpaduan turut disentuh kerana ramai yang ingin mengetahuinya. Alhamdulillah penjelasan yang diberikan oleh YDP melegakan semua yang hadir termasuk penyokong-penyokong PAS dari masyarakat Cina dan India. Mereka berpuas hati dengan penjelasan tersebut.

Program Usrah Mingguan PAS yang dihadiri oleh bukan Islam turut dilaporkan oleh wartawan Sinar Harian dalam keluaran hari Jumaat semalam. Kebetulan beliau yang juga penyokong PAS hadir dalam program Usrah tersebut. Mereka cukup tertarik dengan program usrah dan pengisiannya malam itu, dan mereka berhasrat ingin mengikuti setiap kali ada usrah.

Ini adalah satu perkembangan yang baik, mudah-mudahan dengan penyertaan mereka dalam usrah PAS, bukan sahaja semangat untuk bersama PAS bertambah kuat, bahkan semuga mereka akan mendapat hidayah untuk beriman dengan aqqedah kita. Insya Allah.

Majlis Hi Tea dan Dialog.




Nik Aziz tarik balik minta Nasha keluar PAS

Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat petang ini mengumumkan menarik balik kenyataannya menggesa Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan ahli parlimen Bachok jika menyokong cadangan kerajaan perpaduan dengan Umno.

Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan menegaskan demikian dalam satu kenyataan yang dibaca selepas satu perjumpaan khas hampir dua jam, mulai 5 petang tadi di pejabat agung PAS di ibunegara.


Berikut adalah kenyataan penuh Nik Aziz:

"Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di pejabat agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalahan dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesar-besarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan prihal salah tanggapan antara pimpinan atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bangunan Parlimen jam 2.30 tadi yang menolak sepenuhnya polimek kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Mursyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Perjumpaan khas itu turut dihadiri oleh Nasharuddin, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr Haron Din; Naib Presiden - Tuan Ibrahim Tuan Man, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar - Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, bekas naib presiden, Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda, Nasruddin Hassan dan Ketua Muslimat Nurida Salleh.

Berita Asal Malaysiakini/ dengan sedikit edit.

Husam, Mat Sabu terima anggota jawatankuasa pusat PAS

Dua bekas naib presiden PAS - Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu - menerima pelantikan sebagai anggota jawatankuasa PAS pusat.

Jawatankuasa tersebut yang bermesyuarat pada 11 Jun lalu bersetuju melantik Husam dan Mohamad sebagai anggota AJK dengan tugas-tugas khas perancangan dan strategi parti.

Ketika ditemui malam ini, Mohamad mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa beliau menerima pelantikan tersebut.

"Sebab itulah saya hadir mesyuarat jawatankuasa pusat malam ini," katanya.

Manakala pegawai di pejabat agung PAS di ibunegara pula mengesahkan bahawa Husam turut menghadiri mesyuarat malam ini.

Husam dan Mohamad tewas dalam perebutan jawatan timbalan presiden PAS dalam muktamar parti itu baru-baru ini.

Dalam pertandingan tersebut, Nasharuddin Mat Isa berjaya mengekalkan jawatan berkenaan.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Aziz Nik Mat dikatakan telah menasihat kedua-duanya agar menerima tawaran tersebut. Malaysiakini.

Adab Menyambut Kelahiran Dalam Islam

Oleh : anuarani

Beberapa perkara telah disyariatkan oleh Islam ketika menyambut bayi di antaranya:

Disunatkan mengucapkan tahniah

Orang-orang Islam adalah digalakkan supaya bersegera mengucapkan tahniah kepada saudaranya atau sahabat-handainya yang baharu sahaja menerima cahaya mata. Amalan ini disuruh kerana menghibur saudaranya selain itu amalan ini dapat mengeratkan silaturrahim sesama Muslim.
Sekiranya seseorang itu tidak sempat untuk mengucapkan tahniah adalah digalakkan untuk mendoakan kesejahteraan kepada saudaranya dan anak yang baharu dilahirkan oleh isterinya. Antara doanya ialah:


Semoga Allah memberkati kurnianNya, syukurilah atas pemberian ini, penuhilah keperluannya dan rezekikanlah masa hadapannya

Kemudian apabila doa ini diucapkan maka disunatkan pula kita menyahutnya dengan ucapan


“ mudah-mudahan engkau juga diberkati Allah serta dilimpahi keberkatan ke atas engkau.

Disunatkan azan dan Iqamah
Rasulullah SAW sabdanya yang bermaksud: Sesiapa yang memperolehi cahaya mata (anak) maka hendaklah diazankan di telinga kanan dan diiqmahkan di telinga kiri, nescaya terlepaslah darinya angin tiupan syaitan”

Melakukan azan dan iqamah ini mempunyai hikmah tertentu, selain dari usaha untuk memohon perlindungan daripada gangguan syaitan, azan juga merupakan laungan dan seruan kepada Allah, kepada agamaNya dan beribadah kepadaNya. Dengan itu jika lakukan seruan ini akan mendahului seruan syaitan. Azan juga adalah seruan kepada fitrah manusia yang asal sebelum digoda oleh syaitan yang ingin mengalih haluan kepada jalan jalan yang terkutuk dan dilaknati oleh Allah.

Melakukan Tahnik atau membelah mulut
Tahnik ini dilakukan dengan meletakkan sedikit isi tamar di atas jari telunjuk dan dimasukkan ke dalam mulut bayi serta dengan perlahan- perlahan digerakkan jari itu ke kanan dan kiri mulut bayi. Ini dilakukan sehingga isi buah tamar tadi menyentuh pada keseluruhan mulut bayi berkenaan dan tamar tersebut akan masuk ke dalam rongga tekaknya. Jika tidak ada tamar maka boleh digantikan dengan manisan lainnya seperti gula dan sebagainya. Adalah lebih afdhal kalau tamar itu dikuyah oleh orang alim atau orang soleh untuk mendapatkan keberkatannya. Dalam satu hadis diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari Abi Musa r.a. katanya: “ Telah dikurnikan kepadaku seorang anak, aku membawanya menemui baginda Rasulullah s.a.w. baginda menamakannya Ibrahim, lalu baginda mentahnikkannya dengan tamar dan mendoakan keberkatan untuknya, kemudian baginda menyerahkan kembali anak itu kepadaku” amalan tahnik ini adalah untuk menguatkan anggota mulut bayi supaya lebih mampu untuk menghisap susu ibunya.

Mencukur rambut
Ini dilakukan sebaik-baiknya pada hari ketujuh kelahiranya, kemudian rambut itu ditimbang seberat emas atau perak dan disedekahkan pada fakir miskin, jika tidak mampu maka ditukarkan atas kadar wang atau sebagainya. Amalan bercukur ini mengandungi hikmah yang tertentu iaitu: dari sudut kesihatan, ia boleh menguatkan tenaga pertumbuhannya, menghilangkan selaput kulit kepala (iaitu sejenis cecair beku yang meliputi kulit kepala) dan juga dapat memberikan daya kekuatan dan ketajaman pada penglihatan mata, bau dan pendengaran. Dari sudut kemasyarakatan bercukur mengalakkan umatnya bersedekah disamping menunjukkan kesyukuran kepada Allah di atas kurniaan-Nya. Walaupun disunatkan bercukur bagi orang Islam tetapi dilarang daripada melakukan Qaza’ iatu mencukur sebahagian kepala kanak-kanak dan meninggalkan sebahagian yang lain. Larangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri, ini untuk menunjukkkan sifat keadilan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w. di mana manusia diperintahkan supaya berlaku adil walaupun terhadap dirinya sendiri. Larangan mencukur sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian kepala dan meninggalkan sebahagian yang lain merupakan suatu perbuatan yang zalim kepada kepala kerana hal sedemikian menyebabkan sebahagian kepala akan ditutupi dan sebahagian yang lain terdedah tanpa rambut.

Berkhatan
berkhatan ialah memotong selaput kulit yang menutupi kepala zakar lelaki atau memotong sedikit hujung daging yang tumbuh dalam faraj perempuan. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: “ kebersihan itu lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, menggunting misai, memotong kuku dan mencabut bulu ketiak” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Hukum berkhatan: terdapat perbezaan pendapat,
a) menurut Imam Abu Hanifah dan Imam Hasan al-Basri bahawa berkhatan itu sunat hukumnya.
b) Manakala menurut Imam Syafie, Imam Malik dan setengahnya yang lain mengatakan khatan hukumnya adalah wajib. Mereka mengeluarkan hukum berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“ sesiapa yang menganut Islam, hendaklah ia berkhatan sekalipun ia dari golongan dewasa”

Manakala waktu berkhatan pula, kebanyakan ulama berpendapat bahawa berkhatan itu mula diwajibkan bilamana umur kanak-kanak hampir usia baligh. Ini kerana memudahkan bagi mereka menunaikan tanggungjawab hukum syarak yang ditetapkan ke atas mereka apabila baligh kelak. Tetapi berkhatan adalah lebih afdhal dilakukan pada hari pertama dilahirkan. Ini bersesuaian dengan hadis Rasulullah s.a.w.. yang bermaksud: “ Baginda Rasulullah s.a.w melaksanakan aqiqah untuk Hasan dan Husin serta mengkhatankan keduanya dalam tempuh tujuh hari ( dari hari kelahiran)”.
(Riwayat Al-Baihaqi).

Menamakan anak

Islam mengalakkan umatnya memilih nama yang baik untuk dinamakan kepada anak-anak kita sebagai tanda pengenalan dan perbezaan antara orang Islam dan Orang yang bukan Islam. Nama yang baik juga sangat mustahak kerana panggilan yang sering dipanggil adalah doa yang dapat mempergaruhi keperibadian anak tersebut.

Stadium Runtuh - Kenyataan Media MAMPAT 22.6.09

MAJLIS PERMUAFAKATAN RAKYAT TERENGGANU (MAMPAT)
KENYATAAN MEDIA
22 JUN 2009 / ISNIN


Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Majlis Permuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) terpanggil untuk mengadakan sidang akhbar pada hari ini kerana merasakan perlu dibuat suatu gesaan berkenaan isu bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh secara tiba-tiba pada 2 Jun 2009 lalu.

Pertamanya, MAMPAT menyatakan sokongan penuh terhadap YAB Menteri Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said berkenaan penubuhan suatu badan bebas bagi menyiasat punca sebenar terjadinya runtuhan bumbung stadium berkenaan. Ini mengambil kira JKR adalah pihak yang sepatutnya bertanggungjawab penuh terhadap projek berkenaan kerana ianya adalah projek di bawah selenggaraan JKR.

MAMPAT ragu sekiranya siasatan tersebut dijalankan oleh JKR sendiri, kerana merasakan siasatan tersebut tiada ketelusan dan akan dipertikaikan banyak pihak.

PENGAWASAN DAN PEMANTAUAN

Apa yang menarik untuk MAMPAT dedahkan pada hari ini adalah bagaimana sebuah projek yang bernilai ratusan juta ringgit ini sepatutnya dipantau dan diawasi olrh JKR. Sejauh manakah penglibatan oleh pihak-pihak Perunding yang dilantik di dalam proses Pengawasan Harian sepenuh masa bagi memastikan kerja-kerja dijalankan dan dilaksanakan mengikut spesifikasi yang diluluskan dan mengikut terma-termanya. Yang dimaksudkan adalah samada dari skop strukturnya atau dari skop Arkiteknya. Memandangkan banggunan Stadium tersebut adalah sebuah banggunan yang bercirikan “Kehebatan dan Kecanggihan” bidang pembinaan, adalah suatu kewajipan sepatutnya keterlibatan sekumpulan Penyeliaan dan Pembuatan yang sangat pakar dan berpengalaman diperlukan. Namun ianya tidak terjadi. Dari segi Pengawasan, apa yang sepatutnya berlaku adalah ;

Pengawasan projek stadium tersebut adalah di bawah Pengarah JKR Negeri. Kebiasaannya JKR akan melantik Site Officer (SO). Dalam kes ini Pengarah JKR sendiri adalah SO. Selain SO,
biasanya dilantik pula wakil SO. Bagaimanapun, dalam kes ini tiada wakil SO yang dilantik.
Terdapat ketidakcekapan dari segi struktur pengurusan.

Untuk Itu, MAMPAT ;
 Memohon pihak JKR untuk menyerahkan Carta Organisasi Pengawasan dan Pengurusan yang lengkap. Senarai tersebut juga haruslah lengkap dengan bidang kuasa-bidang kuasa yang telah dibenarkan.

PEMILIHAN KONTRAKTOR PAKAR

Dalam konteks Pemilihan Kontraktor Pakar, MAMPAT berasa amat dukacita kerana JKR sekali lagi dilihat tidak teliti dan professional. Selain JKR dilihat gagal menjalankan kerja-kerja pemantauan dan pengawasan, MAMPAT juga hairan bagaimana JKR telah menyerahkan kerja-kerja pemasangan bumbung kepada “Kontraktor Utama” sedangkan kontraktor terbabit tidak mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

Bagi kerja-kerja pemasangan bumbung, peruntukan yang digunakan adalah daripada “ Wang Peruntukan Sementara “. Pada kebiasaannya, kerja-kerja ini sepatutnya melibatkan tenaga pakar dan akan dibuat secara ‘open tender’ yang berasingan. Namun, pihak JKR didapati telah menyerahkan kerja-kerja pemasangan bumbung tersebut kepada kontraktor Utama secara terus sedangkan Kontraktor Utama tidak mempunyai kepakaran untuk melakukannya apatah lagi dengan konsep “bumbung Canggih”. MAMPAT juga mendapati bahawa, semua kerja-kerja seperti Mekanikal, Elektrikel dan C&S yang diberi secara “open tender” tidak menghadapi sebarang masalah.

Untuk Itu MAMPAT ;
 Menggesa pihak JKR untuk menjelaskan kenapakah kerja-kerja pembinaan dan pemasangan bumbung canggih ini di beri secara terus kepada kontraktor utama ?

SIKAP JKR DALAM MENANGANI PERMASALAHAN

MAMPAT juga melahirkan rasa dukacita terhadap JKR bilamana pelbagai teguran, pandangan yang diberikan pelbagai pihak terhadap permasalahan pada bumbung stadium tersebut, namun pihak JKR tidak mengambil tindakan yang sewajarnya. MAMPAT difahamkan bahawa teguran untuk membaiki bumbung juga pernah disuarakan oleh Dato’ MB sendiri, namun tiada tindakan yang diambil. MAMPAT berasa sangat kesal dan kecewa kerana JKR yang selama ini yang terkenal dengan slogan ‘Jasa Kepada Rakyat’ telah mengabaikan amanah dan tanggungjawabnya dan lebih malang lagi apabila mendedahkan nyawa rakyat kepada bahaya.

MOHON SIASATAN BEBAS

MAMPAT sekali lagi menyeru supaya diwujudkan “Satu Badan Bebas” bagi menjalankan siasatan ini bagi memastikan ketelusan, seterusnya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap jentera kerajaan.

Atas semangat 1Malaysia juga, MAMPAT meminta badan-badan berkaitan seperti SPRM turut telus dan menjalankan siasatan sewajarnya bagi memastikan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.”

“Dari Rakyat Kepada Rakyat “

Wallahua’lam.

MOHAMAD FAUZI ABU SAMAH
PENGERUSI
MAJLIS PERMUAFAKATAN RAKYAT TERENGGANU
(MAMPAT)

MAT SABU : NANTI MAGHRIB INI SAYA BUAT KEPUTUSAN

oleh FAUZI IRWAN SHAH
bypass308.blogspot.com

Selepas dua minggu ditawar sebagai AJK Pusat PAS, nampaknya bayangan kekalahan masih mengganggu ilusi bekas Naib Presiden PAS Mohamad Sabu kerana belum mahu membuat keputusan sama ada menerima atai menolak pelantikan tersebut.

Bekas Presiden Pas, Husam Musa yang turut ditawar sebagai AJK Pusat juga tidak memberikan reaksi terhadap tawaran itu setakat ini.


Walau bagaimanapun, Mat Sabu dilaporkan bakal membuat "penyelesaian" terhadap tawaran tersebut hari ini iaitu pada Maghrib nanti. Sama ada terima atau tolak ia adalah muktamad. Beliau berkata demikian kepada malaysiakini sebentar tadi.

Mat Sabu dan Husam merupakan dua pemimpin yang tewas kepada Nasharuddin mat Isa dalam merebut jawatan nombor dua parti tersebut pada muktamar Pas baru-baru ini.

Semoga Mat Sabu akan melakukan keputusan kembali ke dalam jawatankuasa pusat sebagai satu langkah mengembalikan perpaduan yang agak "kecoh" berikutan isu kerajaan perpaduan membabitkan Umno.

Keputusannya dijangka mempengaruhi ketetapan Husam yang mungkin menuruti langkah Mat Sabu kerana sebelum ini Husam pernah menyuarakan untuk melihat keputusan Mat Sabu terlebih dahulu sebelum memutuskan terima atau menolak tawaran sebagai AJK Pusat.

Kelantan tuntut royalti RM1 bilion

KOTA BHARU, 22 Jun :- Slogan 1 Malaysia sebenarnya hanya retorik Umno-BN. Jelas rakyat Malaysia, khususnya di negeri Serambi Mekah, Kelantan dinafikan hak mendapat royalti petroleum.

Sedangkan anggaran pengeluaran petroleum di Kelantan dalam satu tahun kira-kira RM2.5bilion.

Sehubungan itu kerajaan Kelantan akan membuat tuntutan sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat sebagai royalti minyak yang tertunggak sejak tahun 2004.


Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa berkata, Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak wajar menimbangkan tuntutan tersebut selaras dengan konsep '1 Malaysia' yang diperkenalkannya.

"Kerajaan negeri bersetuju supaya Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut," katanya selepas mesyuarat Exco Rabu lalu.

Menurutnya berdasar kepada laporan Jabatan Perdana Menteri yang diedarkan kepada pegawai kerajaan negeri, pengeluaran petroleum di perairan Kelantan sebanyak RM2.5 bilion setahun.

Kata beliau Kelantan antara negeri yang disenaraikan sebagai pengeluar petroleum sejak 2004 dan sepatutnya turut mendapat royalti seperti Sabah, Sarawak dan Terengganu.

Katanya, menurut Jabatan Perangkaan empat negeri terbabit disenaraikan sebagai pengeluar petroleum melalui buletin jabatan tersebut bermula 2004 sehingga sekarang.

"Tahun 2009 merupakan tahun keenam kerajaan pusat tidak membayar royalti kepada kerajaan dan rakyat Kelantan sedangkan hasil yang diperolehi setiap tahun bernilai antara RM2.5 hingga RM2.7 bilion.

"Adalah satu perkara yang sangat memalukan jika kerajaan pusat tidak dapat membayar wang royalti itu lebih-lebih lagi kerajaan kini mengutamakan rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengapa mengambil tempoh lama untuk membuat tuntutan tersebut beliau berkata, kerajaan negeri baru menerima maklumat Mac lalu dalam mesyuarat di Jabatan Perdana Menteri.Harakahdaily/-

Tidak ada lagi bincang kerajaan perpaduan - Presiden PAS

KUALA LUMPUR, 22 Jun : - Majlis Presiden Pakatan Rakyat hari ini menegaskan pihaknya menolak sebarang usaha membentuk kerajaan perpaduan dengan Umno.

Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendieri menyatakan, dalam isu Kerajaan Perpaduan, Umno telah menjalankan fitnah yang jahat dan dengan itu pihaknya bertegas tidak lagi mahu membincangkan pembentukan kerajaan tersebut.


Apa yang diusahakan sebelum ini disalah tafsir oleh kepimpinan Umno-BN untuk memfitnah PAS dan Pakatan Rakyat semata-mata memecahbelahkan hubungan pakatan, katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang media bersama Sekretariat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Bilik Ketua Pembangkang, Bangunan Parlimen hari ini.

Turut hadir ialah, Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim; Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub; Setiausaha Agung PAS, Dato' Mustafa Ali dan Dato' Seri Nizar Jamaluddin.

Sementara di pihak KeADILan, Presiden, Dato' Seri Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan, Dr Syed Husin Ali; Naib Presiden, Azmin Ali dan Sivarasa Rasiah; anggota MT KeADILan, Saifuddin Nasution, dan di pihak DAP pula, Setiausaha Agungnya, Lim Guang Eng; Dato' Ngeh Ko Ham.

Sementara itu, Anwar yang membacakan kenyataan mewakili Pakatan Rakyat menyebut, Pakatan Rakyat menolak pengwujudan kerajaan perpaduan.

"Semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk kerajaan persekutuan akan datang," katanya.

Majlis pimpinan Pakatan Rakyat menolak idea penubuhan kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN, yang merupakan suatu fitnah dan tohmahan serta tindakan terdesak Umno mengugat kekuatan Pakatan Rakyat yang semakin mendapat dukungan rakyat, tegas Anwar.

Menyokong pandangan itu, Salahuddin Ayub pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermaka tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno.

Malah Salahuddin kelihatan gembira dengan perkembangan itu yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno kelemasan.

Seorang lagi Naib Presiden PAS, Mahfuz pula memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen' apabila isu kerajaan perpaduan ini telah ditamatkan dengan kenyataan pimpinan pakatan.

Kenyataan itu juga sebagai satu usaha menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini mengucarkacirkan pakatan dnegan penyelewengan isu kerajaan perpaduan, ujarnya. Harakahdaily/

Kes bomoh : Saya dipanggil beri keterangan di IPD Ipoh hari ini.

Saya telah dipanggil melalui satu surat rasmi yang dihantar melalui fax oleh IPD Ipoh dengan ditandatangani oleh Ketua Bahagian Siasatan Jenayahnya, DSP Glenn Sinnapah. Tajuk surat " Siasatan bersabit Kg. R$apat RPT 2088/09" bertarikh 17 Jun 2009.

Jam 10.00 pagi ini saya telah membuat temujanji dengan pegawai penyaiasat yang ditugaskan untuk mengambil keterangan saya bagi membantu siasatan dibawah seksen 112 Kanunu Prosuder Jenayah (KPJ). Saya juga dimaklumkan kes ini ada kaitan dengan Akta 500(Fitnah).

Insya Allah saya akan bertanggung jawab dengan segala kenyataan saya sebelum dari ini berkaitan kes bomoh tersebut dan saya akan memberikan keterangan yang sewajarnya bagi membantu pihak keselamatan dalam kes ini.

22 Jun 2009

Menghapuskan lipas di rumah

anuarani

Membunuh lipas dengan cara yang tidak bijak:
Memijak atau memukul lipas dgn kasut atau suratkhabar atau penyapu.
Lipas betina ada ribuan telur halus dalam perutnya. Telur ini tidak pecah kerana sangat kuat. Ia akan bertaburan merata-rata tempat. Jika dah terbuat jugak, pastikan tempat terbenyeknya lipas itu dibersihkan dan di-lap betul-betul dgn air dan sabun.

Membunuh lipas dgn cara natural tanpa insecticide dan tanpa racun:
Sediakan bottle yang ada kepala spray. Masukkan air yang telah dicampurkan dengan sabun mandi. Bila nampak aje lipas, spray ke atasnya. Lipas akan mati cepat sebab tidak dapat bernafas kerana ia bernafas dari kulit kepala sehingga ke kulit badan. Air dan sabun akan menutup lubang nafas mereka.
Dapatlah jimat duit sikit daripada dok memperkayakan pembuat Baygon dan Ridsect. Gunakan duit tu untuk bersedekah.

Memerangkap lipas dgn cara natural tanpa insecticide dan tanpa racun:
Sediakan botol kaca yang terbuka mulutnya seperti botol jam dan madu. Letakkan sedikit serbok kopi atau koko dalam botol.
Letak berhampiran dinding atau tempat yang biasa nampak lipas. Biasanya lipas boleh panjat masuk botol tapi tak dapat nak keluar.
Bila dah terperangkap, spay dgn air sabun.

Mengurangkan peluang lipas cari makan dan bertelur:
MENJAGA KEBERSIHAN ADALAH SEBAHAGIAN DARIPADA IMAN.
Jangan biarkan sampah sarap di rumah
Selalu cuci bilik air
Sinki rumah perlu sentiasa bersih, di dalam, di bawah dan sekelilingnya
Buang baju buruk, kasut buruk, buku buruk dan kertas buruk. Lipas suka makan kertas
Seperti nasihat Nabi, makan perlu alas supaya makanan tidak bertaburan ke atas lantai.
Seperti nasihat Nabi, makan biar beradab, iaitu sedang duduk. Kalau biar anak-anak makan nasi atau biskut atau cokelat merata-rata rumah sambil berjalan atau berlari atau berpindah-pindah, memanglah nak jemput lipas, kuman, cacing dan macam-macam lagi.
2 atau 3 minggu sekali, angkat pakaian keluar dari almari dan bersihkan dgn vacuum. Juga buat yang sama di dalam laci-laci di rumah.
Jangan biarkan pakaian kotor di belakang pintu atau sangkut di sana-sini. Terus masukkan dalam bakul standby utk basuh. Lipas seronok bau peluh.
Jangan simpan pasu bunga palsu atau bunga betul dalam rumah. Hiasi rumah tanpa kedua-dua ini.

Mengurangkan lebuhraya lipas
Tutup retakan atau rekahan di dinding atau di lantai atau tingkap dgn silicon atau kapur.
Pastikan lubang saluran air kumbahan tertutup dgn grill yang rapat.
Begitu juga di ceiling.

Jika lipas merangkak-rangkak dan berterbangan macam filem ngeri Omputih, maka terpaksalah menggunakan racun untuk mengurangkannya.
Buat racun buatan sendiri yang tidak sebahaya spray insecticide baygon, ridsect dan sebagainya. Namun racun buatan sendiri ini tetap berbahaya, maka jauhkan daripada kanak-kanak.
Bahan-bahan untuk racun buatan sendiri:
Satu bahagian serbuk borik acid ( ini yang pembuat mee kuning dok kasik kita makan tu walaupun dah diharamkan oleh kerajaan )
Dua bahagian tepung gandum
Satu bahagian koko
Gaulkan dan letak di di dalam kotak kertas yang kecil. Jangan terhidu tau. Sebelum start process, ikat sapu tangan atau singlet kat muka supaya hidung tertutup.
Letakkan di tempat-tempat gelap seperti bawah kabinet dapur dan belakang almari dan sebagainya.
BASUH TANGAN ANDA !!!!!!!!
Bahan-bahan ini menarik perhatian lipas. Lipas makan dan suapkan pula pada anak-anaknya yang dok lepak dalam telur warna cokelat. Anak-anaknya akan mati dan tak sempat membesar dan membiak.

Semoga info ini membawa manfaat pada yang mempunyai masalah lipas.

TERBUKTI TEE KEAT PENAKUT UMNO

oleh 1Utama 1Ismud-Semarak
bypass308.blogspot.com

akhirnya, at last, tee keat penakut Umno turut bersuara selepas "dipaksa" secara tidak langsung oleh Chua Soi Lek kelmarin, apabila Soi lek ketika berada di kelantan membuat kenyataan bahawa MCA juga boleh berunding dengan DAP atau Pas.

maka, dengan tak reti malu dan akibat terdesak dengan keberanian yang ditunjukkan timbalannya itu, Tee Keat Penakut Umno menciplak kata-kata Soi Lek hari ini, baca seperti mana dilaporkan Bernama - KUALA LUMPUR: MCA hari ini mengulangi kesanggupannya untuk berdialog dengan mana-mana parti politik termasuk DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), demi kepentingan rakyat dan negara.


Presidennya Datuk Seri Ong Tee Keat berkata ia bukan perkara baru, malah tahun lepas lagi semasa menyandang jawatan Naib Presiden MCA lagi beliau sudah menyatakan perkara itu.

Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata peluang berdialog akan memberi ruang kepada MCA serta rakyat untuk mengetahui sama ada DAP masih bersekongkol dengan PAS atau sebaliknya.

"Orang ramai hendak tahu juga bila berdialog nanti, setakat mana DAP ini sanggup maklumkan kepada rakyat bahawa yang ia (DAP) tidak lagi sekongkol dengan PAS, nak tahu juga setakat mana dia sanggup sekongkol atau tidak," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Hari Keluarga Pandan Perdana 2009 di sini, hari ini.


Beginilah sikap Tee Keat Penakut Umno yang dikenali selama ini oleh kaum Cina,berani dengan anak-beranak Cina, berani hanya berdepan Soi Lek yang telah dicantas tangan kanan dan kirinya. bila bercakap mula pula lebih-lebih.

dia kata perbincangan akan membolehkan rakyat tahu sama ada DAP masih bersekongkol dengan Pas. apa punya otak umno ni, dia tidak pula tanya diri, sama ada MCA akan beritahu rakyat sejauh mana dia sanggup bercerai dari BN. Ini dok tanya soalan bongok, DAP sebantal dengan Pas tak boleh, tapi MCA sekatil dengan Umno tak apa?

pokoknya, orang tak peduli apa awak nak tanya DAP masa berunding sebab soalan yang sama juga akan terkena kepala sendiri. yang semua kaum cina, rakyat dan ahli MCA perhatikan sekarang ialah, Tee Keat Penakut Umno hanya singa bertaring palsu.

apa saja yang Soi Lek buat dia nak sental, nak jugak biar kelihatan dia lebih pandai daripada Soi Lek. kalau kamu berani dan benar-benar berjuang bukan atas anggukan bawah ketiak umno,patutnya awaklah orang pertama kena ketok kepala umno yang sibuk nak sunting Pas tanpa pedulikan perasaan bini tuanya MCA, bini keduanya MIC, bini ketiganya Gerakan dan bakal jandanya PPP....

Tee Keat...Tee Keat...kau memang keramruk kuasa sehingga tenggelam dalam keangkuhan amat sangat. angkuh tapi angguk bila jumpa umno. memang layak nama baru Tee Keat Penakut Umno.

DAP BUAT JAMUAN MAKAN ATAU LELONG SENJATA API ?

dari blog bypass308.blogspot.com

KISAH PERTAMA:
oleh Nik Hassan Azmi
Polis mengepung tapak majlis makan malam anjuran DAP dan merampas peralatan pembesar suara di Klang.

Puluhan anggota polis ditempatkan di luar pejabat ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago di Bayu Tinggi, dimana sebuah jamuan makan malam dianjurkan bagi mengutip dana untuk parti berkenaan. Lebih 3,000 dijadulkan hadir.

Turut kelihatan ialah trak Unit Simpanan Persekutuan (FRU), termasuk trak meriam air.

Menurut blog Charles Santiago, polis Selangor telah membatalkan permit yang sebelumkan diluluskan oleh ibu pejabat polis Klang.

"Pada jam 4.45 petang, tujuh trak FRU dan dua trak meriam air kelihatan di kawasan tersebut dan polis menutup jalan masuk ke kawasan majlis makan malam DAP itu akan diadakan," kata beliau.

Menurut Charles pihak polis telah merampas peralatan pembesar suara pada jam 6.20 petang tadi. Exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu juga hadir dan cuba berunding dengan pihak polis.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menulis dalam twitter, yang menyifatkan kawasan sebagai "zon perang".

"Bayu Tinggi Klang jadi zon perang, trak FRU dan meriam air. Polis bersenjata M16. Kawasan ditutup.

"Serangan pengganas? Tidak. Cuma kerana majlis makan malam DAP," tulisnya.

KISAH KEDUA:
oleh Pendikar Gunung Kriang
Anehnya undang-undang 1Malaysia ni....makan pun menjadi satu kesalahan! Sudahlah berhimpun tak boleh, memberi ceramah tak boleh, memberi pendapat menyanggah keyakinan pemimpin tak boleh, berpiket tak boleh, itu tak boleh, ini tak boleh, sampai makan pun tak boleh?

Sampai bila hanya melakukan maksiat boleh,hanya berjudi boleh, hanya meminum arak boleh, hanya menerima rasuah boleh, hanya memberi rasuah boleh, hanya berdusta boleh....hanya membuat benda-benda buruk saja yang boleh? Aduhai 1Malaysiaku!

`RAJA KATAK' KATA PAS PENAKUT?

Oleh: WFAUZDIN NS

IBRAHIM Ali `Al-Kataki' seorang-seorangnya Ahli Parlimen yang menjadi Wakil Rakyat atas ihsan Pas yang menang atas tiket Bebas. Sebaik sahaja beliau diumumkan sebagai pemenang pada Pilihanraya Umum ke 12 yang lalu, bergema dewan tempat pengumuman dengan laungan Takbir dan Ibrahim Ali ini tersenyum lebar sambil memakai baju Melayu yang berlencanakan lambang Pas. Memang wajar beliau tersenyum megah kerana sebelum ini telah beberapa kali beliau bertanding sebagai Calon Bebas di Parlimen Pasir Mas dan juga di Dun tetapi undi yang beliau perolehi amat memalukan.

Kini, Ibrahim seperti melukut di tepi gantang dalam politik. Pas tidak pelawa, malahan Pas mendesaknya meletakkan jawatan sebagai MP Pasir Mas kerana beliau telah mengkhianati kepercayaan pengundi di Pasir Mas. PKR sudah semestinya tidak akan berselera dengan Ibrahim ini kerana kebanyakan pemimpin di dalam PKR adalah bekas-bekas ahli Umno dan mereka kenal siapa `Raja Katak' tersebut. Maka, Ibrahim Ali hanya mengharapkan kalau-kalau Umno berselera atau kepingin untuk menerimanya kembali setelah beliau terperosok tersembam di dalam tong setelah ditendang keluar dari Umno secara amat memalukan. Nasib baik selepas itu, beliau di`pelihara' oleh Pas dan beliau berkata bahawa beliau sanggup duduk di tangga Pas. Itu cara `Raja Katak' menagih simpati.

Baru-baru ini ketika isu Kerajaan Perpaduan hangat diperkatakan, Ibrahim Ali menyatakan bahawa Mursyidul Am serta mereka-mereka yang menolak Kerajaan Perpaduan dengan Umno ini adalah kerana takut kepada PKR dan DAP. Beliau berkata Pas takut akan kehilangan sokongan dari PKR dan DAP. Ibrahim berhujah, apalah salahnya Pas menerima untuk berunding dan bekerjasama dengan Umno kerana Pas nanti boleh menyuarakan apa jua kepentingan agama atau negara kepada Umno. Lucu sungguh hujah `Raja Katak' ini.

Lupakah Ibrahim Ali apa yang Umno lakukan terhadap beliau? Apa salah beliau sehingga Umno menendangnya keluar sedemikian rupa? Jika Ibrahim Ali sebagai pemimpin Umno yang mengetuai Bahagian Umno, malahan bekas seorang Menteri di dalam Kerajaan Umno/Bn boleh dikhianati sebegitu rupa, apa jaminan Pas pula? Mengapa Ibrahim Ali tidak berunding dan berbincang dengan pemimpin Umno ketika itu? Bolehkah agaknya jika beliau berunding dengan pemimpin Umno ketika itu, jawatan beliau dan kedudukan beliau di dalam politik Umno boleh diselamatkan? Sebenarnya, `Raja Katak' ini pun tahu siapa Umno sebenarnya kerana beliau sendiri sudah kena akibat bermain dengan Umno.

Oleh yang demikian, memang wajar kita menolak Umno sebulat-bulatnya. Janganlah dicari mana-mana dalil atau nas untuk `membersihkan' Umno kerana hanya dengan satu cara sahaja untuk kita menghapuskan kezaliman Umno/Bn di muka bumi ini iaitu dengan melalui pilihanraya umum akan datang. Beberapa langkah yang telah PR lakukan sudah tepat membuatkan beberapa `batu nisan' Umno telah kita tanamkan. Satu lagi `batu nisan' bakal akan kita sediakan untuk Umno di Manek Urai. Kita sediakan `batu nisan' ini sudah terlalu lama buat Umno/Bn, jangan `batu nisan' memakan tuan sudahlah./ wfauzdin.blogspot.com

Polis tutup kawasan majlis jamuan DAP

Polis hari ini campurtangan dalam majlis makan malam dan ceramah DAP - kali ini di Klang - dengan menarik balik permit bagi mengadakan majlis itu pada saat-saat akhir.

Selepas beberapa rundingan dengan pihak polis, majlis itu dibenar diteruskan pada kira-kira jam 8.15 malam, tetapi ceramah tidak dapat diadakan kerana pihak polis telah merampas peralatan pembesar suara.

Sebelum itu, pihak polis telah meluluskan permit untuk majlis tersebut, tetapi tidak membenarkan ceramah diadakan.

Sejak awal petang tadi, tujuh trak meriam air ditempatkan di kawasan Bayu Tinggi, tempat majlis jamuan itu dijadual diadakankan.

Jamuan tersebut dianjurkan oleh ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago, yang menulis dalam blognya bahawa pihak polis telah menutup kawasan tempat jamuan itu hendak diadakan pada jam 4.45 petang.

Santiago berkata, beliau tidak dapat menghubungi Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar untuk mendapatkan penjelasannya.

Ketika dihubungi, seorang pembantu Santiago memberitahu Malaysiakini bahawa polis mahu majlis makan malam itu diadakan di kawasan tertutup.

Kemah-kemah telah didirikan di luar pejabat tersebut.

Sementara itu, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang menulis dalam twitter, yang menyifatkan kawasan sebagai "zon perang".

"Bayu Tinggi Klang jadi zon perang, trak FRU dan meriam air. Polis bersenjata M16. Kawasan ditutup.

"Serang pengganas? Tidak. Kerana majlis makan malam DAP," tulisnya.

Kejadian hari ini mempunyai persamaan dengan tindakan polis terhadap majlis makan malam DAP di Sitiawan pada 16 Mei lalu di mana polis melarang tayangan DAP mengenai kekecohan yang berlaku sewaktu sidang DUN Perak yang lalu.Malaysiakini.