10 Ogos 2010

TUDUH PAS - CHUA SOI LEK TOLAK AGAMA ?

28 Syaaban 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

KENYATAAN Presiden MCA yang pernah terlibat di dalam skandal seks, Chua Soi Lek di dalam Malaysiakini hari ini yang menuduh Umno dan PAS menggunakan Islam untuk meraih sokongan orang-orang Melayu memperlihatkan Presiden MCA itu seperti tidak percaya kepada agama.

Mungkin sebab itu, beliau memandang remeh perbuatan seks tanpa nikah yang pernah beliau lakukan.

Jika beliau menuding jari kepada Umno, mungkin ada lojiknya kerana Umno sebuah parti sekular yang bukan sahaja tidak berjuang untuk mendaulatkan Islam, bahkan gagal membela nasib Melayu.

Tetapi PAS, sebuah parti yang memperjuangkan Islam bukan parti yang ekstrim terhadap Melayu, telah menunjukkan rekod bahawa dengan Islam maka keadilan semua kaum dapat ditegakkan.

Chua Soi Lek boleh bertanya kepada kaum Cina di Kelantan di bawah pentadbiran PAS selama 20 tahun. Mengapa majoriti kaum Cina di Kelantan masih kekal menyokong PAS tidak MCA jauh sekali Umno?

Presiden MCA itu patut menilai mengapa MCA gagal memberi keadilan kepada kaum Cina selama beliau bersekutu dengan Umno.

Mengapa kaum Cina tidak lagi percaya kepada MCA mahu pun gerakan, sebaliknya mereka lebih yakin kepada PR termasuk PAS? Adakah kerana PAS menggunakan agama maka sekarang ini kaum Cina mulai yakin dengan PAS?

Sewajarnya MCA dan Gerakan mendekati PAS dan memahami tujuan perjuangannya. Chua Soi Lek jangan cuba untuk melindungi kelemahan MCA dengan menuding jari kepada PAS.

Beliau juga jangan mengajar rakyat melupakan agama sekiranya beliau tidak berugama. Chua Soi Lek patut berasa beruntung kerana MCA masih mahukan pemimpin yang `berzina' untuk memimpin parti terbesar kaum Cina itu.

MUHYIDDIN PUJI PRESIDEN PAS - ADA UDANG BALIK BATU ?

28 Syaaban 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

BENARKAH Presiden PAS telah beri peluru kepada Umno? Benarkah Presiden PAS juga turut bersetuju dengan Umno menentang langkah Kerajaan PR Selangor yang bercadang untuk menghapuskan diskaun Bumiputera dalam pemilikan hartanah komersial dan mewah?

Atau, memang Muhyiddin `menyokong' pendapat Presiden PAS yang beliau sendiri tidak faham apa pendirian Presiden PAS sebenarnya semata-mata untuk mengaut untung kepada Umno?

Apa yang saya faham Presiden PAS mempertahankan hak keistimewaan orang-orang Melayu seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan. Pendirian ini selari juga dengan pendirian PKR dan DAP yang tidak pernah menyanggah hak keistimewaan itu.

Jadi, apa yang bezanya pendirian Presiden PAS itu dengan PKR dan DAP? Presiden PAS turut menyebut bahawa hak ini tidak menafikan juga hak lain-lain kaum yang menetap di negara ini.

Maksudnya, keadilan kepada semua mesti dilaksanakan kerana itu adalah ajaran Islam. Itu yang tiada dalam kamus Umno.

Benarkah Presiden PAS ada menyebut bahawa diskaun mesti diberikan kepada Bumiputera untuk memiliki hartanah komersial dan mewah di Selangor?

Benarkah Presiden PAS tidak menyokong langkah Kerajaan PR Selangor untuk menghapuskan diskaun untuk Bumiputera yang kaya itu untuk diserahkan kepada rakyat yang miskin?

Ini bererti, orang kaya Bumiputera diberi diskaun untuk membeli emas dan barang berharga. Jika begini keadaannya, adakah ini adil iaitu mengkayakan orang yang sudah sedia kaya?

Inikah yang Presiden PAS setuju? Saya fikir Muhyiddin silap orang untuk menuduh Presiden PAS sedemikian.

Sebenarnya, Muhyiddin ingin menunjukkan betapa Umno dan PAS itu sama dari segi perjuangan untuk orang-orang Melayu.

Maka, hajatnya yang besar untuk Umno dan PAS bersatu akan terhasil dengan cara memuji Presiden PAS tersebut. Sampai begitu sekali Muhyiddin ingin memancing PAS untuk bersama Umno yang sudah reput itu.

Kita pun sedar sudah beberapa kali kenyataan Presiden PAS diselewengkan untuk kepentingan mereka.

Saya secara peribadi amat bersetuju sekiranya orang-orang kaya samada Bumiputera atau tidak, tidak perlu diberi diskaun atau keistimewaan memiliki hartanah berharga.

Ini bukan intipati atau objektif yang terkandung di dalam hak keistimewaan orang-orang Melayu yang termaktub di dalam Perlembagaan itu.

Ini merupakan satu kerugian kepada rakyat bawahan yang semakin terhimpit dengan kesusahan akibat kenaikan harga barang sekarang ini. Mereka yang sudah kaya tidak perlu dididik dengan sifat kedekut dan tamak.

Mereka mesti dididik dengan sifat suka bersedekah dan bersyukur dengan nikmat kekayaan mereka.

Masih ramai yang miskin dan susah terutamanya orang-orang Melayu. Kerajaan PR Selangor mesti tumpukan kepada golongan ini daripada memikirkan samada perlu si kaya dibantu untuk lebih kaya.

HARUSSANI - HASSAN ALI, SIAPA BELIT SIAPA ?

28 Syaaban 1431 H
Oleh: Mandor

MULA-MULA elok kita baca di sini. Mufti Perak sudah tidak mahu mengulas tentang pertemuannya dengan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Hassan Ali.

Alasannya, Dr Hassan Ali sudah tidak mahu mengaku bahawa pertemuan yang berlaku antara beliau dengan Dr Hassan adalah membincangkan perpaduam Umno - PAS.

Ini bermaksud, Harussani menuduh Dr Hassan Ali menipu apabila Dr Hassan bertegas menyatakan tiada pertemuan yang membincangkan perpaduan Umno - PAS bersama Mufti Perak itu.

Kedua-duanya tokoh agama dan masing-masing punyai jawatan penting. Di dalam isu ini, mestilah salah seorang kedua tokoh ini penipu.

Penipu itu salah satu sifat orang Munafik. Masakan Mufti Perak bersikap Munafik, dan mustahil juga Pesuruhjaya PAS pun Munafik. Pening juga kan?

Apa pun, yang untung adalah Umno juga. Terhasilnya pertemuan itu memang menguntungkan Umno samada pertemuan itu untuk membincangkan perpaduan Umno - PAS atau sekadar pertemuan minta nasihat mahu pun ingin belajar dari Mufti Perak yang popular itu. Soalnya, mengapa perlu kita memberi keuntungan kepada Umno?

Saya berharap agar segala yang dikatakan oleh Mufti Perak itu tidak benar, kerana saya beranggapan sebagai seorang Pesuruhjaya PAS apatah lagi sebagai seorang Pakar Motivasi, Dr Hassan Ali tentu lebih arif dengan tipu helah dan fitnah dari pihak lawan.

Paling berkesan untuk membersihkan namanya, Dr Hassan Ali wajar menyaman Harussani kerana menuduhnya menipu.

Balik Kampung Dengan Perkhidmatan Keretapi Elektrik

28 Syaaban 1431H.

IPOH: Perjalanan balik kampung pada musim Aidilfitri kali ini akan menjadi lebih mudah, lancar dan selesa bagi kebanyakan mereka yang tinggal di kawasan antara bandar raya Ipoh dan Seremban.

Ini kerana keretapi elektrik (ETS) milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB)akan memulakan perkhidmatan perjalanan Ipoh-Kuala Lumpur-Seremban mulai Khamis ini.

Presiden KTMB Dr Aminuddin Adnan berkata KTMB memang menjangkakan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan keretapinya menjelang perayaan ini dan dengan pengenalan ETS, ia dijangka dapat menampung permintaan berkenaan.

"Memang kita menjangkakan permintaan tinggi pada setiap musim perayaan. Untuk itu, kita akan juga menyediakan tren tambahan termasuk ETS ini," katanya kepada pemberita pada program menyebarluaskan perkhidmatan ETS di sini, Isnin.

Aminuddin berkata ETS merupakan tren paling canggih dan pantas pernah dimiliki KTMB yang mampu bergerak pada kelajuan 160 km/jam.

Dengan kelajuan ini, perjalanan dari Ipoh ke Kuala Lumpur dapat dikurangkan kepada satu jam 55 minit berbanding tiga jam menggunakan EMU sedia ada.

Mulai Khamis ini, kata beliau ETS menawarkan tambang promosi sebanyak RM30 bagi satu perjalanan kepada orang ramai untuk perjalanan Ipoh-KL untuk tempoh enam bulan sehingga 12 Januari depan.

Orang ramai yang mendapat tiket awal juga bakal menikmati potongan harga tiket lebih rendah, katanya.

"Kita akan mula menerima tempahan tiket mulai 12 Ogos ini dan kita juga mengadakan potongan istimewa untuk golongan tertentu seperti golongan orang kelainan upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan pelajar," katanya. - BERNAMA


Soi Lek jahil kerana ikut jejak Umno

28 Syaaban 1431 H
Oleh: MOHD ALI HASHIM

JERAI, 8 Ogos: Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar membantah sekeras-kerasnya kenyataan jahil dan angkuh Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek yang menyifatkan negara-negara Islam penuh dengan korup, miskin dan tertinggal ke belakang.

Beliau juga merupakan Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat berkata, PAS akan tetap memperjuangkan Islam sebagai sebuah agama yang syumul dan bukannya memperjuangkan kaum atau bangsa yang tertentu.

"Sebenarnya Soi Lek harus belajar dan mengambil tahu serta memahami dasar sistem negara Islam terlebih dahulu. Beliau sepatutnya tidak mengikut jejak Umno dengan menggunakan sentimen bangsa untuk agama," katanya.

Tambah beliau lagi, Umno harus memperbetulkan keadaan sebagai parti yang memerintah dengan memberi persepsi yang jelas kepada Soi Lek supaya tidak rabun ilmu mengenai kebenaran negara Islam.

Katanya lagi, adalah sesuatu yang menghairankan apabila MCA yang telah sekian lama berkawan dengan Umno tetapi masih belum mampu untuk memahami tentang Islam.

"Sedangkan dalam Pakatan Rakyat sendiri DAP amat memahami perjuangan PAS dan Islam. PAS juga tidak pernah mempertikaikan ajaran agama lain.

“Kita jua tidak pernah memaksa orang lain memeluk Islam. Oleh kerana itu maka prinsip yang dibawa oleh MCA ini adalah jauh ketinggalan.

"Sebab itulah MCA ditolak oleh masyarakat Cina kerana tidak pernah dan tidak mahu mengambil tahu mengenai pemerintahan Islam dan negara Islam yang sebenarnya," ujarnya lagi.

Harakahdaily/-

Kelantan hantar skuad bola sepak tunai umrah

28 Syaaban 1431 H
Oleh: Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 8 Ogos: Kerajaan negeri telah memperuntukkan sejumlah RM245 ribu bagi membiayai 35 pemain dan pegawai Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bagi menunaikan umrah kali ini.

Ia ditunaikan selepas kerajaan negeri berjanji untuk membawa pemain negeri ke Mekah setelah berjaya menduduki naib johan Piala FA tahun lepas.

Pemergian rombongan tersebut malam tadi turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO negeri, Abdul Fattah Mahmood (gambar).

Abdul Fattah berkata, walapun terdapat beberapa pemain yang tidak ikut serta rombongan itu, mereka tidak akan diberi wang tunai sebagai gantinya kerana hasrat kerajaan ialah untuk membawa menunaikan umrah.

“Kerajaan negeri sebelum ini telah menjelaskan bahawa akan menaja 34 pemain dan pegawai dan ketua jurulatih Sathianathan pula akan mendapat wang yang sama jumlahnya dengan kos umrah iaitu RM7 ribu,” ujar beliau.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis penutup Konvesyen Belia 2010 di Balai Islam, semalam.

Abdul Fattah berkata terdapat empat pemain yang tidak ikut serta iaitu Indra Putra Mahyuddin, Halim Napi, Safwan Ibrahim dan Khalid Jamlus dan tempat mereka telah diganti dengan Ahli Lembaga Kafa sendiri termasuk Timbalan Presiden FAM yang juga Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa.

Menurut beliau lagi, sehingga kini beliau tidak mengetahui alasan sebenar kenapa mereka tidak ingin sertai rombongan tersebut dan cuma dimaklumkan bahawa Safwan mempunyai masalah ibunya yang sedang sakit.

Beliau juga berharap dengan tertunainya hasrat kerajaan itu dapat meningkatkan lagi semangat pemain.

Menyentuh janji tahun ini, Abdul Fattah berkata setakat ini tidak dapat diputuskan lagi dan akan melihat perkembangan semasa bolasepak Kelantan.

Harakahdaily/-

Tinggalkan Umno BN

28 Syaaban 1431 H

Parti Islam Se-Malaysia (PAS) ingin mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya memahami hakikat sebenar bahawa berlakunya salah urus dan penyelewengan oleh Umno BN sejak sekian lama terhadap kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera sebagaimana yang dimaktubkan dalam perlembagaan negara.

Kegagalan Umno inilah yang menyebabkan berlakunya ketirisan dan ketidakadilan, sehingga yang menjadi mangsa adalah orang Melayu dan Bumiputera sendiri.

Inilah persoalannya yang menghantui rakyat dalam negara kita selama puluhan tahun sejak negara mencapai kemerdekaan, di mana Umno telah bertindak menjadikan kedudukan istimewa orang Melayu sebagai senjata untuk mereka mempertahankan Umno dan merobek harta negara di atas nama hak keistimewaan orang Melayu dan kaum Bumiputra.

Kepada orang Melayu di seluruh negara yang masih bersama Umno, sampailah masanya kini untuk mereka membuat keputusan yang sangat penting kepada masa depan generasi yang akan datang untuk bersama dengan PAS bagi melakukan perubahan yang lebih adil, sesuai dengan keadilan Islam untuk semua.

Cukuplah kecelaruan kefahaman dan ketidakadilan yang dilakukan oleh Umno terhadap orang Melayu, dengan berlakunya pelbagai diskriminasi politik terhadap orang Melayu sendiri.

Sebagai contohnya, kita tidak sekali-kali lupa terhadap tindakan merampas royalti minyak pada masa pemerintahan Kerajaan PAS di Terengganu, dan kini di Kelantan, di mana ianya adalah keputusan diskriminasi jahat yang dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno di ketika itu terhadap penduduk negeri yang lebih dari 95% terdiri dari orang Melayu beragama Islam.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) ingin menegaskan bahawa kedudukan orang Melayu dan kaum Bumiputera dalam perlembagaan negara sekarang perlu dipertimbangkan dalam pelaksanaan sesuatu dasar, dengan syarat ianya tidak sekali-kali berlaku zalim kepada kaum-kaum lain yang menjadi rakyat dalam negara kita ini. Inilah juga yang dipersetujui dalam Konvensyen Pertama Pakatan Rakyat pada tahun yang lalu.

Kepada seluruh rakyat dalam negara kita ini, tinggalkanlah Umno BN dan marilah terus bersama dengan PAS dan Pakatan Rakyat untuk melakukan suatu perubahan dan keluar dari politik peras ugut, untuk kita sama-sama merubah sistem kehakiman, kebebasan media, sistem pilihan raya, keselamatan negara, dan sebagainya untuk melahirkan iklim politik yang lebih adil dan aman di Malaysia.

Harakahdaily/-

Kisah Zambry si 'penyamun tarbus'

28 Syaaban 1431 H
Oleh: Mohd Rashidi Hasan

SEMUA pihak sama ada golongan istana, mufti, orang politik, pegawai kerajaan NGO dan sesiapa sahaja yang membantu Umno-Barisan Nasional Perak merampas kuasa dari kerajaan Pakatan Rakyat, seharusnya berasa malu dan berdosa.

Mereka harus berasa malu kerana mereka tersilap langkah, mengembalikan Umno-BN sebagai kerajaan negeri secara yang tidak demokratik dan melantik Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang bacul sebagai Menteri Besar.

Mereka harus rasa berdosa kerana akibat daripada pengambil alihan kuasa secara haram, negeri Perak Darul Ridzuan sudah tidak demokratik lagi.

Zambry mencemar kebanggaan Perak, walaupun Rajanya pernah menduduki kerusi Ketua Hakim Negara, yang terkenal dengan keadilan dan kebijaksanaanya.

Mereka juga harus berasa malu dan berdosa kerana menabalkan seorang yang bacul sebagai MB. Apa tidak baculnya.

Jika Zambry 'anak jantan' beliau harus berani berhadapan dengan Adun-Adun Pakatan Rakyat secara terbuka, gentleman dan demokratik, sama seperti yang dilakukan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sepanjang 11 bulan setengah pentadbirannya.

Sekarang ini BN majoriti dalam Dun Perak, kerana mereka dibantu oleh tiga Adun pengkhianat. Oleh itu, jika Zambry 'anak jantan' apa yang beliau hendak takutkan.

Sama ada hendak bentang belanjawan negeri, soal dasar pemerintahan, soal bajet tambahan, sepatutnya dibuka ruang seluas-luasnya untuk berbahas dan berbincang secara matang dalam Dun.

Apa pun biar dibincang dalam Dun, selepas itu dengan majoriti yang Umno-BN ada, luluskanlah, apa masalahnya?

Walaupun Pakatan Rakyat tidak pernah menerima kerajaan haram Umno-BN memerintah Perak, namun atas keterbukaan dan sifat toleran yang tinggi, Pakatan Rakyat 'menghormati' keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengesahkan Zambry sebagai MB.

Pakatan Rakyat mahu menjadi 'pembangkang' yang efisyen. Bekerjasama untuk membangunkan Perak, mengajak Zambry dan Umno-BN bersemuka, berdialog untuk kebaikan rakyat.

Justeru, selepas Zambry 'dilantik' Mahkamah sebagai MB, seharusnya beliau mentadbir negeri, memanggil sidang Dun dan melaksanakan tugas-tugasnya sebagai pentadbir, selaras dengan prinsip demokrasi yang diamalkan dalam negara.

Tetapi apa yang berlaku di Perak adalah sebaliknya. Demokrasi sudah tidak wujud. Zambry, Umno-BN selaku pemerintah, membuat sesuatu tindakan secara 'diam-diam'. Sampaikan bayang-bayang sendiri pun Umno-BN takut.

Sidang Dun dikawal ketat. Mengalahkan amalan undang-undang negara komunis. Semuanya dihadkan dan disekat, seolah-olah kerajaan negeri mentadbir dalam keadaan curfew (darurat).

Lagak Zambry di Perak seumpama 'penyamun tarbus' yang merampas kuasa secara haram, tetapi sentiasa dalam keadaan kegusaran dan kebimbangan kerana kesalahannya merampas kuasa.

Akibat daripada kegusaran itu juga Zambry mempergunakan polis begitu ramai, semacam mengiyakan bahawa Malaysia adalah negara polis.

Seperti kata Nizar, yang memperjelaskan ketakutan Zambry, "Persidangan Dewan Negeri Perak lebih sesuai dipanggil Persidangan Polis Diraja Malaysia. Lebih ramai polis berkerumun di pekarangan Bangunan Perak Darul Ridzuan dibandingkan dengan wakil-wakil rakyat."

Di sebalik kawalan ketat anggota polis yang begitu ramai, Zambry tetap tidak mampu menyembunyikan ketakutannya, sehingga terpaksa mengatur dan memaksa bajet tambahan negeri sebanyak RM80 juta diluluskan dengan perbahasan yang amat singkat dan dalam keadaan tergesa-gesa.

Itu pun keseluruhan sidang Dun diadakan hanya dalam tempoh yang singat, dua atau tiga jam sahaja. Lagak takut Zambry, macam orang hendak menyamun di siang hari.

Zambry harus ingat, jawatannya sebagai MB hanyalah amanah seketika. Beliau harus mentadbir kewangan negeri secara telus dan transparen. Duit kerajaan negeri adalah duit rakyat, bukan duit 'mak bapak' pemimpin Umno. Jangan hendak membahagi atau membidak-bidak sesuka hati.

Oleh kerana itu, rakyat keseluruhannya berhak mengetahui dari mana sumber wang itu diperolehi, ke mana ianya dibelanjakan dan untuk apa ia dibelanjakan.

Golongan agama, khususnya mutfi harus mengingatkan Zambry, bahawa setiap sen yang dibelanjakan secara yang tidak halal akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah di akhirat kelak.

Peranan mufti ialah, beliau harus mengingatkan Raja, MB, Exco, orang-orang politik dan pegawai kerajaan, supaya tidak membazir, jangan menyeleweng wang rakyat, jangan berjudi, jangan meminum arak dan sebagainya. Bukan hanya cakap soal perpaduan Melayu-Islam sahaja.

Peranan mufti yang utama antaranya, ialah membantu sesebuah kerajaan negeri, melaksanakan pemerintahan mengikut panduan Islam, terutamanya dalam soal menjaga halal haram.

Dalam soal hukum minum arak misalnya, jika ianya dilakukan pemimpin, tetapi mufti tidak menegur. Mufti akan turut bersubahat dan sama-sama menanggung dosa.

Jangan kerana mufti dilihat terlalu akrab dengan pemimpin, maka jika dia membuat kesalahan, mutfi hanya mendiamkan diri. Takut-takut nanti beroleh gelaran ulama bisu pula.

Berbalik soal politik Perak. Jelas Zambry bukan tandingan Nizar. Tiada karisme langsung. Beliau jauh lebih bacul jika dibandingkan dengan bekas MB, Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali yang dilihat 'lembik' oleh orang-orang Umno.

Zaman Tajol, sidang Dun dibuat selama beberapa hari. Boleh bahas enakmen atau perbekalan tambahan dua tiga hari, zaman Zambry pintu demokrasi disempitkan akibat ketakutan yang melampau.

Ketakutan Zambry diungkapkan oleh Adun Pantai Remis Nga Kor Ming, katanya, "Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika tidak buat salah, mengapa BN begitu takut mendengar suara rakyat dari Pakatan Rakyat."

Maka di atas ketakutan itu, sejak memerintah Perak, Zambry terpaksa mempergunakan ramai anggota keselamatan, kononnya untuk mengendurkan tekanan Pakatan Rakyat.

Namun Zambry tersilap langkah. Beliau masih tidak sedar bahawa rakyat tidak takut kepada gertakan polis. Rakyat tidak takut kepada Umno.

Rakyat tidak takut kepada sesiapa pun yang melanggar prinsip demokrasi, walaupun jika pemerintah berselindung di sebalik istana.

Hal ini diperkatakan rakyat kebanyakan. Apa yang Zambry hendak takut kalau dia memerintah secara halal? Inilah akibatnya, apabila mengambil kuasa secara haram.

Memerintah dalam keadaan takut-takut.Seolah-olahnya banyak perkara yang hendak Umno-BN sembunyikan daripada rakyat.

Barangkali dengan mengehadkan sidang Dun, Zambry fikir beliau boleh menghalang suara Pakatan Rakyat.

Namun sebenarnya, tindakan yang dibuat Zambry semakin membuatkan rakyat semakin membenci Umno-BN, kerana hanya menunjukkan pemerintahan kerajaan negeri Umno-BN terumbang ambing dan caca merba.

Umno-BN tidak boleh mempersalahkan Pakatan Rakyat dalam hal ini. Selepas Nizar dan anggota Exconya digugurkan, mereka langsung tidak ada access dengan pentadbiran negeri.

Kelemahan yang berlaku berpunca daripada Umno-BN sendiri. Umno serta parti-parti yang berada dalam komponen BN semua lemah dan tidak stabil.

Bagaimana sebuah parti atau coalition boleh mentadbir negeri dengan baik, jika dalaman mereka berpecah belah dan tidak mendapat sokongan rakyat?

Apa yang berlaku di Perak, jelas menunjukkan bahawa, Zambry sendiri tiada karisme, tidak tahu mentadbir. Oleh kerana itu Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak sepatutnya berasa malu mempunyai MB yang spesies seperti Zambry.

Zambry menjatuhkan maruah Umno, memalukan Umno dan semakin merosakkan imej Umno-BN di Perak. Inilah hasilnya jika mengambil alih kuasa secara haram. Kesemua ini sudah disimpulkan kartunis Zunar dalam idea klasik beliau dalam majalah bertajuk 'Perak Darul Kartun'.

Maka dalam soal ini bukan Zambry seorang yang salah sahaja. Ramai yang terbabit. Terutama mereka-mereka yang bersekongkol dengan Umno-BN untuk merampas kuasa dari rakyat.

Dosa-dosa akibat tangan-tangan kotor mereka yang membantu Umno-BN terlalu banyak dan harus dibersihkan.

Angkara mereka ini hanya memperkukuhkan tekad rakyat untuk memastikan Perak bersih daripada najis, kotoran dan daki Umno-BN, dengan mengembalikan kuasa kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Harakahdaily/-

Awang Selamat rasa tak selamat- Mahfuz

28 Syaaban 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 9 Ogos: Penulis ruangan Bisik-Bisik Mingguan Malaysia, Awang Selamat sudah merasa tidak selamat dengan kuasa politik Umno sehingga terpaksa menghentam PAS dan pemimpinnya, kata Datuk Mahfuz Omar (gambar).

Awang Selamat katanya, sudah mula merasai dan menjangka bahawa Umno bukan sahaja akan hilang kuasa politik malah hilang sokongan Melayu itu sendiri.

"Saya tak nak layan sebab dia tengah meroyan, kita biar dia tenang dulu."Apapun ini menunjukkan Awang Selamat sudah rasa tak selamat kerana dia tahu Umno akan hilang kuasa politik," katanya kepada Harakahdaily.

Awang Selamat dalam Mingguan Malaysia semalam menyifatkan Mahfuz sebagai pemimpin yang 'angkuh dan paling menjijikkan' kerana didakwanya suka menghina orang Islam.

PAS pula didakwanya sebagai parti dayus kerana menolak permuafakatan dengan Umno tetapi sanggup bekerjasama dengan DAP

Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS berkata Awang Selamat digunakan Umno sebagai orang upahan atau lebih tepat 'juak Umno' untuk menghentam PAS dan Pakatan Rakyat.

Ianya juga kata Mahfuz, sebagai bukti pemimpin Umno sudah takut sehingga terpaksa menggunakan juak-juaknya.

"Pemimpin Umno dah tak ada yang berani bersuara, dia hantar juak-juak dia sahaja untuk berkokok termasuk Awang Selamat.

"Saya nak bagitahu Awang Selamat, InsyaAllah Melayu Islam termasuk kaum lain akan lebih selamat tanpa Umno," tegasnya lagi.

Awang selamat juga mendabik dada kononnya Umno terlebih dahulu merintis kerjasama dengan parti-parti kaum dan agama lain berbanding PAS.

Bagaimanapun, tulisannya dilihat banyak pihak, lebih kepada melahirkan perasaan kecewanya ekoran penolakan PAS untuk bekerjasama dengan Umno.

Terbaru, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya semalam, sekali lagi menyeru rakyat agar meninggalkan Umno kerana mendakwa parti perkauman itu diselimuti penyelewengan dan salah guna kuasa sejak sekian lama.

Akibat dari itu juga katanya, orang Melayu dan Bumiputera menjadi mangsa Umno apabila parti pemerintah itu menggunakan senjata 'kedudukan istimewa orang Melayu' untuk mempertahankan Umno dan merobek harta negara.

Harakahdaily/-

766 peneroka Serting saman Felda RM200 juta

28 Syaaban 1431 H

SEREMBAN, 9 Ogos: Seramai 766 peneroka Felda Serting Negeri Sembilan memfailkan saman di Mahakamah Tinggi hari ini terhadap Felda dan menuntut gantirugi sebanyak RM200 juta.

Mereka mendakwa Felda telah menipu mereka dan menyebabkan mereka menanggung kerugian yang besar.

Tuntutan itu difailkan oleh peguam Sivarasa Rasiah bagi pihak peneroka daripada Felda Serting dan Raja Alias, berdekatan Jempol, Negeri Sembilan.

Mereka menamakan Felda dan Felda Palm Sdn Bhd masing-masing sebagai defenden pertama dan kedua.

Dalam tuntutanya itu, mereka mendakwa "wujud penipuan dan/atau konspirasi untuk melakukan penipuan dalam urusan jual beli dan hasil buah sawit".

Harakahdaily/-

Amalan korupsi Umno, punca Soi Lek keliru

28 Syaaban 1431 H

KUALA LUMPUR, 8 Ogos: Kegagalan Umno BN mengimplementasi Islam sebenar punca Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek salah faham tentang Islam.

Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) berkata, amalan korupsi dan penyalahgunaan kuasa Umno telah menyebabkan Islam disalah tafsir oleh bukan Islam termasuk Soi Lek.

"Fakta-fakta yang dikemukakan oleh beliau bukan kerana kecacatan dan ketempangan Islam.

"Bahkan ia adalah kesilapan pemerintah yang mengamalkan korupsi dan penyelewengan kuasa kerana gagal mengimplementasikan prinsip-prinsip Islam dalam pentadbiran negara," katanya.

Soi Lek sebelum ini mendakwa bahawa PAS dan Umno telah menggunakan Islam sebagai alat untuk meraih sokongan dikalangan masyarakat Melayu di Malaysia.

PAS, kata Nasharudin begitu terkilan dengan pandangan Soi Lek terhadap Islam yang diperjuangkan oleh PAS sejak dari penubuhannya sehingga ke hari ini dan seterusnya.

"Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah Islam yang tulen dan diambil daripada sumber-sumber yang benar dan ia adalah agama yang menyelamatkan manusia di dunia dan di akhirat," katanya.

Umat Islam jelasnya diwajibkan untuk berdakwah samada kepada bangsa Melayu, Cina, India dan seluruh manusia agar Islam terus dimartabatkan dan disanjung tinggi.

Manakala dakwah kepada orang Melayu adalah yang paling utama memandangkan mereka telah beragama Islam dan ia merupakan sasaran dakwah yang perlu diberikan perhatian serius pada hari ini.

"Saya selaku Timbalan Presiden PAS terpanggil untuk bertemu dan menerangkan intipati Islam yang sebenar kepada Datuk Chua Soi Lek.

"Saya percaya Islam mempunyai solusi-solusi terhadap pemasalahan yang berlaku. Malah, PAS sendiri telah menggagaskan agenda ‘Islam Untuk Semua’, ‘Islam Memimpin Perubahan’ dan ‘Islam Adil Untuk Semua’ kerana berkeyakinan bahawa hanya Islam yang mampu menyelamat manusia di dunia dan di akhirat," katanya.

Harakahdaily/-

Hadi persoal perbelanjaan besar k'jaan T'ganu

28 Syaaban 1431 H

Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempersoalkan pentadbiran kerajaan negeri Terengganu yang didakwanya berbelanja dalam jumlah yang "luar biasa" bagi tempoh 2008hingga Ogos tahun ini.

ADUN Rhu Rendang yang juga ahli parlimen Marang itu berkata ini berdasarkan jumlah bajet negeri Terengganu yang merupakan bajet yang terbesar berbanding bajet negeri lain di Semenanjung.

"Bajet terlalu besar, berbeza dengan negeri lain.pertama ia tidak seimbang dengan jumlah rakyat negeri Terengganu dan keduanya ia juga tidak seimbang dengan pendapatan negeri sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa sidang DUN Terengganu hari ini berhenti rehat.

Terdahulu, dalam persidangan DUN, Exco Kewangan dan Pelaburan negeri Ahmad Razif Abdul Rahman mengemukakan usul untuk tambahan peruntukan berjumlah RM157,096,700 untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2010.

Kemudiannya Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (PAS-Batu Buruk) membawa usul di bawah peraturan Majlis Mesyuarat fasal 30 peraturan-peraturan dan perintah tetap DUN Terengganu memohon persidangan ditangguhkan bagi membolehkan perbelanjaan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said dari tahun 2008 hingga Ogos 2010 dibincangkan.

Katanya, perkara itu adalah melibatkan kepentingan orang ramai kerana salah urus sumber kewangan negeri akan menghilangkan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran serta kredibiliti pemimpin Terengganu.

"Malahan bajet tahunan negeri Terengganu untuk dua tahun terakhir telah mencecah lebih RM2 bilion manakala bajet bagi tahun 2010 ini sahaja mencecah hampir RM1.9 bilion dan DUN sekali lagi akan meluluskan peruntukan tambahan menjadikan ianya mencecah lebih RM2 bilion.

"Ini menjadikan bajet negeri Terengganu yang tertinggi di seluruh negeri di Semenanjung untuk tiga tahun berturut-turut," katanya.

Bagaimanapun usul Dr Syed Azman itu ditolak oleh Speaker DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang dengan alasan perkara itu sedang dibincangkan dan kalau usul itu diterima, ia menjadi perbincangan yang bertindih.

MB bidas pembangkang

Sementara itu, ketika menggulung usul pembentangan bajet tambahan tersebut, menteri besar membidas s pembangkang yang menurutnya tidak pernah bersetuju dengan apa yang dibuat kerajaan negeri walaupun ia jelas menampakkan kejayaan.

Katanya, kerajaan negeri berani berbelanja untuk sesuatu yang bermanfaat kepada rakyat Terengganu seperti perlaksanaan program e-book atau buku
elektronik kepada pelajar sekolah dan juga guru walaupun ia dikatakan sebagai membazir oleh pihak lawan.

Menurut beliau, pembangkang bersikap konservatif dan enggan bergerak ke hadapan dan mengharapkan kerajaan negeri mengambil pendekatan sama.

"Kita (dimaksudkan pembangkang) masih lagi bersikap konservatif, lihat orang maju berniaga goreng pisang, kita pun nak berniaga goreng pisang, lihat orang berniaga air tebu, kita pun nak berniaga air tebu, tak bolehlah bersikap begitu.

"Kita mesti berani mulakan terutama perkara yang memberi manfaat kepada rakyat," katanya.

Ahmad berkata selain menyelesaikan masalah bebanan beg berat yang dihadapi pelajar, projek e-book sehingga kini menampakkan hasil positif dengan kebanyakan pelajar yang menggunakannya mencatat keputusan peperiksaan memberangsangkan.

"Kalau nak tahu projek ini membazir atau tidak, tanyalah guru, ibu bapa dan 25,000 pelajar yang menerimanya," katanya.

Setakat ini, seramai 800 guru telah menerima e-book dan kerajaan merancang untuk memberikan e-book kepada 3,000 guru di negeri ini.

"Kita juga bakal mempunyai bank soalan yang mempunyai 300,000 soalan dan pada masa depan kita akan adakan kelas maya," katanya.

Beliau juga menjelaskan harga RM1,000 untuk setiap unit e-book dilengkapi program yang diperlukan untuk proses pembelajaran.

"Memang ada yang berharga murah, i-pod pun ada yang berharga RM100 sekarang ni tapi guna sehari, rosak," katanya ketika mengulas dakwaan wakil rakyat pembangkang ketika berbahas bahawa e-book dijual dengan harga RM200 seunit di China.

Sementara itu, usul untuk tambahan peruntukan berjumlah RM157,096,700 untuk perbelanjaan Rancangan Kemajuan Negeri bagi tahun 2010 diluluskan dengan suara majoriti.

Dewan bersidang lagi esok.

Malaysiakini/-

ADUN Galas keluar hospital

28 Syaaban 1431 H

ADUN Galas, Che Hashim Sulaima yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu sejak 26 Julai lalu telah dibenarkan pulang.

Pegawai khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata Che Hashim telah dibenarkan pulang ke rumahnya di sini tengah hari semalam.

"Alhamdulillah keadaan YB sudah semakin sihat dan telah dibenarkan pulang ke rumahnya di Kampung Kerinting semalam menggunakan ambulans hospital.

"YB sendiri yang memohon untuk pulang bagi berehat di rumah. Tekanan darah dan jantung YB sudah stabil dan doktor telah membenarkan YB pulang," katanya.

Tuan Hassan berkata mereka akan sentiasa berhubung dengan pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Pakar Perdana jika berlaku sebarang masalah selepas ini.

Che Hashim yang menghidap barah usus dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kimoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Malaysiakini/-

Tunku Aziz: Diskaun juga untuk beli BMW, emas...?

28 Syaaban 1431 H

Senator Tunku Abdul Aziz Ibrahim hari ini membidas pemimpin Umno kerana mengkritik setiausaha publisiti DAP, Tony Pua yang mencadangkan pemansuhan tujuh peratus diskaun bumiputera untuk pembelian hartanah mewah.

Dalam satu kenyataan medianya, naib pengerusi DAP itu berkata dia terkejut melihat reaksi Pemuda Umno yang membuat laporan polis ke atas Pua berhubung cadangannya itu, manakala Perdana Menteri yang juga presiden Umno Datuk Seri Najib Razak tidak terkecuali mengeluarkan kenyataan keras.

Pemuda Umno mendakwa cadangan Pua itu berbaur hasutan dan mencabuli perlembagaan persekutuan serta kontrak sosial. Sementara, Najib pula menuduh ahli parlimen Petaling Jaya Utara itu mencetuskan rasa tidak puas hati dan menimbulkan rasa marah di kalangan orang Melayu serta mengancam keamanan awam.

“Adalah jelas mereka yang digelar pemimpin Umno ini mempunyai fahaman sifar ataupun terhad, berhubung perlembagaan persekutuan kerana seboleh mungkin yang saya cuba, saya gagal mencari sebarang peruntukan dalam perlembagaan yang mengatakan bahawa Melayu atau bumiputera perlu diberikan hak untuk mendapat diskaun bagi membeli hartanah.

“Yang pasti, perlembagaan persekutuan tidak memperuntukkan bahawa Melayu berhak mendapatkan diskaun untuk membeli hartanah mewah yang bernilai jutaan ringgit,” kata Abdul Aziz.

Basmi kemiskinan?

Semasa sesi dialog belanjawan kerajaan negeri Selangor pada Julai lalu, Pua berkata diskaun bumiputera sepatutnya dihapuskan kerana ia langsung tidak berkaitan dengan usaha untuk membasmi kemiskinan di kalangan golongan itu.

Diskaun berkenaan hanya menyaksikan pembeli rumah bumiputera menjadi orang tengah kepada pembeli bukan bumiputera yang mengambil kesempatan ke atas diskaun tujuh peratus untuk membeli hartanah mewah, kata Pua.

Menurut Abdul Aziz jika diskaun tujuh peratus itu begitu ‘kardinal’ untuk menjamin hak istimewa Melayu, diskaun yang sama sepatutnya diperluaskan kepada orang Melayu untuk membeli barangan mewah lain seperti “BMW, Porches, sistem hi-fi rumah, tiket kelas pertama penerbangan dan malah juga barangan kemas serta batu permata.”

“Diskaun pembelian hartanah mewah adalah antara perkara utama yang disalah-gunakan di bawah Dasar Ekonomi Baru yang memerlukan pembaharuan bagi memastikan 40 peratus daripada bumiputera yang berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada dasar afirmatif.

Disalah-guna Umnoputra

“Sehubungan itu, saya menyokong cadangan Menteri Besar Selangor (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) untuk menghapuskan diskaun berkenaan ke atas pembelian hartanah mewah tetapi menggunakan wang yang ‘dijimatkan’ itu bagi menubuhkan dana untuk membantu bumiputera yang miskin,” katanya.

Menurut Abdul Aziz, ‘kejahilan dan salah-guna’ oleh Umno, menerusi sayap pemudanya adalah jelas mengkhianati peruntukan hak bumiputera bagi menjamin golongan ‘Umnoputra’ yang kaya dan berharta akan terus menikmati diskaun seumpama itu apabila membeli kediaman mewah mereka.

“Reaksi Umno jelas menunjukkan bahawa mereka tiada kebanggaan sendiri atau harga diri, kerana mahu terus mempertahankan manfaat yang diputar-belitkan itu dengan membelakangkan nasib golongan miskin dan yang memerlukan.

“Melayu sebagai satu bangsa harus berbangga kerana ada di antara mereka yang kini mampu memiliki hartanah seumpama itu dan kita mesti bangga yang kita boleh berdiri di atas khaki sendiri meskipun menghadapi ‘handicap’ (rintangan).”

Malaysiakini/-

Keluarga Lingam tawar RM50,000

28 Syaaban 1431 H

Keluarga peguam Datuk V K Lingam menawarkan ganjaran RM50,000 kepada pemberi maklumat yang dapat membawa kepada penangkapan suspek dalam kes pembunuhan adik lelakinya Rajendram Velupillai, di sebuah stesen minyak berhampiran Bandar Puteri Puchong, Selasa lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Lingam berkata mereka sekeluarga berasa sangat sedih dan terperanjat dengan pembunuhan Rajendram, 52, yang terkenal sebagai seorang yang alim dan gemar melakukan kerja-kerja di kuil.

"Kami sekeluarga dengan ini menawarkan RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberikan maklumat kepada polis sehingga tertangkapnya suspek yang terlibat dalam pembunuhan Raj (Rajendram)," katanya.

Menurut laporan, Rajendram dipercayai mati kira-kira pukul 3 pagi selepas dipukul tiga lelaki rentetan pertengkaran di sebuah kuil.

Laporan itu yang memetik sumber berkata tiga lelaki berkenaan menuduh Rajendram mencuri duit tabung kuil dan mula memukulnya.

Semalam, media melaporkan polis telah menahan seorang suspek berusia 30 tahun dan sedang mengesan dua lagi yang dipercayai terlibat dalam kes itu.

Mengulas mengenai tuduhan terhadap Rajendram, Lingam berkata pihak pengurusan Kuil Avdiar Muniswarar di Bandar Puteri Puchong telah mengesahkan mendiang tidak terlibat.

"Mereka mengesahkan Raj tidak terlibat dalam sebarang kecurian membabitkan sumbangan kepada kuil sepanjang tempoh dua minggu setengah mendiang tinggal di sana.

"Mereka juga mengesahkan kutipan kuil sepanjang tempoh itu kurang daripada RM50, dan dikendalikan sepenuhnya oleh bendahari kuil," katanya.

Lingam berkata mereka sekeluarga mahu melihat mereka yang terlibat dalam pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.

Malaysiakini/-