10 Ogos 2010

ADUN Galas keluar hospital

28 Syaaban 1431 H

ADUN Galas, Che Hashim Sulaima yang dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Pakar Perdana di Kota Bharu sejak 26 Julai lalu telah dibenarkan pulang.

Pegawai khasnya, Tuan Hassan Tuan Sulaiman berkata Che Hashim telah dibenarkan pulang ke rumahnya di sini tengah hari semalam.

"Alhamdulillah keadaan YB sudah semakin sihat dan telah dibenarkan pulang ke rumahnya di Kampung Kerinting semalam menggunakan ambulans hospital.

"YB sendiri yang memohon untuk pulang bagi berehat di rumah. Tekanan darah dan jantung YB sudah stabil dan doktor telah membenarkan YB pulang," katanya.

Tuan Hassan berkata mereka akan sentiasa berhubung dengan pihak Hospital Gua Musang dan Hospital Pakar Perdana jika berlaku sebarang masalah selepas ini.

Che Hashim yang menghidap barah usus dimasukkan ke Hospital Pakar Perdana selepas tiga hari pulang daripada membuat rawatan kimoterapi di China selama 10 hari.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People's Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: