03 September 2010

Daftar pemilih: DAP dan Umno terus dahului PAS

23 Ramadhan 1431 H

PUTRAJAYA, 1 Sept: DAP dan Umno terus mendahului PAS dalam mendaftar pemilih baru apabila masing-masing mendaftar 9,106 dan 7,230 bulan Julai lalu berbanding dengan PAS hanya PAS (3,961) manakala PKR (1,749).

Kedudukan ini menjadikan DAP dan Umno masing-masing mendaftar 38 dan 30 peratus dari jumlah keseluruhan pemilih baru yang didaftarkan Julai lalu. Jumlah yang didaftarkan oleh penolong pendaftar dari parti-parti politik Julai lalu adalah seramai 23,911 pengundi.

Menurut The Malaysian Insider, jumlah itu tidak sampai separuh daripada 48,655 orang yang didaftarkan pada bulan Jun.

Pada Jun, DAP mendaftarkan 20,862 orang ataupun 42.8 peratus manakala Umno pula 10,675 orang iaitu 21.5 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Panel Pendaftaran dan Penyediaan Daftar Pemilih SPR Datuk Zainal Abidin Mat Said mengakui ada penurunan prestasi parti politik mendaftar pengundi baru pada Julai lalu.

“Sebab, faktor penurunan kami tidak dapat pastikan. Tetapi DAP masih di depan,” kata beliau pada sidang media di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, dari segi peratusan pendaftaran pengundi baru Umno nampaknya ‘semakin agresif’ pada bulan Julai berbanding bulan Jun.

“Pada Jun, peratusan pengundi baru yang didaftarkan oleh penolong pendaftar DAP adalah sebanyak 42 peratus berbanding 21 peratus di pihak penolong pendaftar dari Umno. Pada bulan Julai, DAP merekodkan 38 peratus manakala Umno pula 30 peratus,” katanya lagi.

Penolong pendaftar dibayar RM1 bagi setiap permohonan baru dikemukakan kepada SPR.

Terdapat 2,378 penolong pendaftar yang dilantik mewakili parti-parti politik di seluruh negara.

Sepanjang Julai lalu PAS menghimpunkan 3,961 pengundi baru berbanding 12,228 pengundi baru sebulan sebelum itu.

Mengikut pecahan yang dikeluarkan SPR, pada Julai lalu, Umno mendaftar 7,230 pengundi baru, MCA (455), MIC (18), Gerakan (83), DAP (9,106), PAS (3,961), PKR (1,749), PPP (98), PBS (225), SAPP (20), LDP (68), PBB (303), SUPP (490), SPDP (93), dan PRS (12). Sepanjang enam bulan pertama tahun ini, DAP telah mendaftarkan 55,321 pengundi berbanding Umno 54,872.

MCA pula mendaftarkan 2,917 pengundi baru antara Januari dan Jun lalu, MIC (1,109), Gerakan (476), PAS (36,618), PKR (13,098), PPP (empat), PBS (686), SAPP (218), Upko (241), LDP (37), PBB (649), SUPP (972), SPDP (435), PRS (191) dan SNAP (enam).

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata, SPR telah mewartakan daftar pemilih tambahan suku kedua 2010 membabitkan pemilih yang terdiri daripada seramai 164,812 permohonan pemilih baru dan 27,149 permohonan pertukaran alamat pusat mengundi.

Pada masa yang sama kata beliau, SPR telah mengeluarkan sebanyak 58,303 nama daripada rekod pemilih berdaftar atau sebab-sebab seperti meninggal dunia dan dilucut hak warganegara.

Daftar pemilih suku kedua itu telah diwartakan hari ini.

Sehubungan itu kata beliau, dengan pengesahan daftar tambahan suku kedua ini negara mempunyai seramai 11,381,193 pemilih yang sah berbanding 11,247,225 sebelum ini.

Daripada seramai 11.4 juta itu, 4,344,101 orang merupakan pengundi berusia 40 tahun dan ke bawah manakala 7,037,092 lagi berusia 41 tahun dan ke atas.

“Dengan proses ini, SPR telah dapat mengurangkan bilangan mereka yang mendaftar daripada 4.3 juta kepada 4.2 juta,” katanya.

Secara perbandingan kata beliau, SPR menerima 191,970 permohonan baru sepanjang suku kedua 2010 melibatkan April dan Jun lalu berbanding 157,327 pada suku pertama.

“Secara purata kami menerima 170,000 permohonan bagi setiap suku tahun ini setakat ini berbanding 85,000 permohonan setiap suku sepanjang tahun lalu.

“Pada tahun pilihan raya umum 2008 (yang berlangsung bulan Mac), SPR hanya menerima secara purata 50,000 berbanding purata 300,000 setiap suku pada tahun 2007,” katanya.

Oleh itu beliau menjangkakan purata permohonan baru yang diterima akan meningkat selepas ini mengambil kira pilihan raya umum dan negeri Sarawak.

Harakahdaily/-

Memasuki hotel yang laksanakan syariah compliant

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Nazri Abdullah

Dalam pemikiran masyarakat kita, bidang perhotelan lazimnya disinonimkan dengan perkara-perkara negatif. Sebut sahaja 'hotel' pelbagai imej mula digambar di benak pemikiran termasuk ruang bar dengan botol araknya, pelacur-pelacur kelas atasan serta aktiviti perjudian.

Jika pun tanggapan sesetengah pihak tidak sampai ke situ, namun 'hotel' tetap dipalit sedikit sebanyak dengan unsur kemaksiatan dalam aspek-aspek tertentu.Sekali berkunjung dan menetap di mana-mana rangkaian hotel De Palma, mungkin paradigma anda terhadap bidang perhotelan akan berubah.

Malah mungkin anda juga mampu membuat kesimpulan bahawa anda bukan berada di hotel, tetapi di sebuah pusat Islam atau tidak keterlaluan untuk dikatakan seperti menginap di sebuah masjid.

Melangkah masuk sahaja ke hotel ini, anda tidak akan bertemu dengan seorang pun pekerjanya khususnya perempuan muslim yang tidak menutup aurat.

Semuanya bertudung dan berpakaian kemas sesuai dengan kewajipan menutup aurat yang difardhukan.

Selain itu, suasana persekitaran lobi yang mendamaikan bercirikan Islam turut dihidangkan kepada pengunjung.

Jangan terkejut jika anda tiba tepat dengan masuknya waktu solat, anda akan mendengar laungan azan berkumandang seolah-olah memenuhi ruang lobi hotel.

Ianya bukan alunan azan dari kaset atau cakera padat yang dipasang, tetapi alunan muazzin (tukang azan) serta imam yang dilantik khusus di surau milik hotel tersebut.

Di bilik hotel pula, pengunjung turut dibekalkan dengan telekung solat wanita, kain sarung solat lelaki, sejadah, Al-quran serta tasbih sebagai memenuhi keperluan seorang muslim untuk beribadah dengan selesa.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga menyediakan buku-buku dan risalah agama sebagai bahan bacaan.

Ianya termasuk perihal kewajipan solat, dosa meninggalkan solat dan beberpa peringatan lain.

Menatap sahaja muka anda di cermin, anda terlebih dahulu akan melihat 'Doa Melihat Cermin' yang ditampal di satu sudut cermin tersebut.

Bagitu juga sebelum anda meletakkan kepala di bantal, anda terpaksa mengalihkan dahulu sekeping kertas yang mengandungi tazkirah (peringatan) mengulas beberapa potong ayat al-Quran, dan sebelum menutup butang lampu, anda diperlihatkan dengan 'doa sebelum tidur' yang dilekatkan disebelahnya.

Menurut Pengurus Besar rangkaian hotel De Palma Datuk Mohd Ilyas , De Palma menjadikan surau sebagai pusat perkembangan perniagaan mereka khusus dalam usaha memenuhi konsep pematuhan syariah atau syariah compliant.

Di De Palma Ampang, empat orang imam tetap dilantik pihak hotel bagi menghidupkan surau sebagai pusat perkembangan Islam di hotel tersebut.

Antara program tetap disurau hotel termasuklah solat fardu setiap waktu secara berjemaah, tadarrus al-Quran, solat Jumaat, tazkirah setiap selepas solat, tahlil dan beberapa program semasa yang lain.

Surau hotel ini juga turut diberi amanah mengumpul dana untuk rumah anak-anak yatim.

Menurutnya, pematuhan syariah bukan sekadar memenuhi kod operasi halal dari aspek pengurusan mahupun penyediaan makanan, namun lebih penting katanya adalah membina peribadi muslim termasuk pekerja dan pengunjung agar mematuhi syariat Allah.

"Tinggal di De Palma tanpa meninggalkan ibadah, kerja di De Palma sambil memperbetul ibadah," katanya.

Pembinaan peribadi muslim jelasnya dibentuk bermula dari perkerja mereka yang kini mencecah 300 orang.

Mereka diberi faham tentang agama dan dilatih agar ikhlas dalam melaksanakan tugas serta mengikut sunnah Rasulullah s.a.w iaitu menjaga dan melayan tetamu dengan baik.

Selain itu, De Palma juga mengambil pendekatan menggunakan setiap ruang yang ada untuk menyebar dakwah bukan sahaja kepada pekerja malah kepada tetamu mereka.

Dengan moto 'Memantapkan Pematuhan Syariah', Datuk Mohd Ilyas boleh berbangga kerana De Palma adalah hotel pertama di Malaysia malah di Asia yang mengamalkan kosep tersebut secara keseluruhan.

Biarpun tidak menolak resiko yang ada, namun beliau percaya perubahan ke arah mematuhi syariat tidak akan membawa kerugian apatah lagi sebagai saham akhirat.

"Saya pada mulanya risau juga nak buat perubahan namun dengan cekal hati saya teruskan juga.

"Saya yakin kalau rugi pun Allah akan ganti balik. Alhamdulliah sambutan setakat ini sangat menggalakkan.

"Buat kerja agama orang tak berani tegur, orang nak tiru banyak dan saya lebih suka kalau orang nak tiru kami," katanya lagi.

Sehingga kini De Palma mempunyai empat rangkaian hotel iaitu Ampang, Shah Alam, Kuala Selangor dan Sepang. Pada penghujung tahun ini, mereka akan membuka sebuah rangkaian baru di Kuching, Serawak.

Sempena Ramadhan ini, De Palma menawarkan pelbagai pakej. Antaranya Pakej Qimullaail yang berharga RM114 sahaja untuk dua orang. Pakej ini adalah untuk bilik dan sahur untuk dua orang.

De Palma juga menawarkan pakej berbuka puasa iaitu RM120 sahaja seorang dengan syarat minimun dua orang sebilik. Pakej ini termasuklah bilik, berbuka puasa, jamuan morey selepas Terawih dan bersahur.

Melalui kedua-dua pakej ini, kita boleh berehat di hotel di samping berterawih, mendengar tazkirah di samping mengadakan qimulail pada malamnya dengan penuh ketenangan.

Rangkaian hotel De Palma di miliki oleh PKNS iaitu perbadanan yang terletak di bawah kerajaan negeri Selangor. Ia diuruskan oleh Biztel, syarikat pengurusan hotel yang dimiliki penuh bumiputra.

Harakahdaily/-

Pembangkang sepakat teruskan hubungan baik Malaysia-Indonesia

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Pihak pembangkang Malaysia dan Indonesia sepakat untuk meneruskan dan memperbaiki hubungan baik antara kedua-dua negara, kata Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa.

Kesepakatan itu dicapai dalam satu pertemuan di antara beberapa Ahli Parlimen PAS dan wakil Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) di bangunan Parlimen, hari ini.

"Kita mengadakan perbincangan mengenai beberapa perkembangan terkini yang sedang berlaku yang berkaitan hubungan antara kedua negara tanpa menafikan segala usaha baik yang telah dilakukan oleh kedua-dua pemerintah Indonesia dan Malaysia.

"Pertemuan ini adalah sebagai satu lagi usaha yang dimainkan oleh ahli Parlimen untuk memastikan hubungan baik berkekalan dan beberapa isu telah kita bangkitkan tadi dan kita masuk kepada tahap memperbaiki dan menjernihkan hubungan baik melalui usaha ahli parlimen pembangkang," kata Nasharudin kepada pemberita selepas pertemuan hampir sejam itu.

PAS menerima kunjung hormat daripada wakil pembangkang Indonesia itu bagi membincangkan isu utama berhubung hak asasi manusia melibatkan pendatang dari Indonesia.

Kedua-dua negara bersetuju bahawa mereka yang melakukan kesalahan perlu dihukum tanpa melanggar batas-batas hak asasi manusia.

"Kita telah bersetuju dalam hal-hal yang berkaitan dengan perlanggaran undang-undang di mana sahaja samaada di Malaysia atau di Indonesia, kita mahukan undang-undang dilaksanakan cuma kita akan pastikan perjalanan undang-undang itu menjaga hak asasi bagi memastikan keadilan dilaksanakan dalam proses perundangan tersebut," kata Nasharudin yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Sementara itu, anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Reike Diah Pitalokal yang mengetuai rombongan berkata, pihaknya sedang berusaha untuk mewujudkan satu di Parlimen mereka bagi menangani kes-kes melibatkan rakyat mereka yang bekerja di Malaysia.

"Kami sedang berupaya untuk membangun semacam polisi di Parlimen bagi persoalan buruh migran mudah-mudahan juga hal yang sama bisa dilakukan oleh Parlimen di Malaysia dan kita bisa berkomunikasi," katanya.

Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar pula mencadangkan agar satu kaukus Parlimen diwujudkan berhubung hubungan Malaysia-Indonesia seperti mana wujudnya kakus hubungan Malaysia-Myanmar dan lain-lain lagi.

"Bagi pihak ahli Parimen PAS, kita mencadangkan untuk mewujudkan kaukus hubungan Malaysia Indonesia di kalangan ahli parlimen sebagaimana sudah ada kaukus berkenaan Myanmar dan sebagainya.

"Ini untuk memastikan kita dapat memberikan tumpuan yang khusus kepada isu yang besar dan penting untuk kemajuan kedua-dua negara dan kemajuan rakyat," katanya.

Diminta mengulas mengenai demonstrasi yang dilakukan Benteng Demokrasi Rakyat (Bendera) di bangunan kedutaan Malaysia di Jakarta, Reike berkata, pihaknya tidak mahu membesarkan isu berkenaan sehingga menenggelamkan isu utama yang perlu diberi perhatian khusus.

Manakala Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub yang juga Naib Presiden PAS pula berkata, sepanas manapun situasi yang cuba diwujudkan di Indonesia, PAS tidak pernah bercadang untuk membuat tindakan balas sebaliknya berusaha untuk menyelesaikan perkara yang berlaku melalui diplomasi.

"Saya rasa hubungan diplomatik yang baik dan kebijakan kita untuk menangani isu ini lebih penting kerana kami di Malaysia khususnya dari PAS apa pun yang berlaku di Jakarta, kami daripada PAS tidak pernah menggerakkan pemuda untuk berdemonstrasi di kedutaan Indonesia di sini.

"Kita harus melihat itu dari segi kacamata yang lebih besar, kita punya masa depan yang lebih baik. Apa yang berlaku harus dicermati dan kebijakan politik penting dalam menangani isu sebegini," katanya.

Harakahdaily/-

Apa rasional Najib tarik subsidi, beri bonus

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Dzulfikar Mashoor

SHAH ALAM, 1 Sept: Langkah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membelanjakan RM934.65 juta dengan memberi RM500 bonus kepada setiap kakitangan kerajaan wajar dipersoal secara rasional.

Menurut Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, langkah Najib itu seakan tidak selari dengan langkah rasionalisasi subsidi dengan menarik semula subsidi lima komoditi asasi yang bernilai RM750 juta demi mengurangkan beban perbelanjaan kerajaan.

"Bukan saya tidak setuju dengan pemberian ini, saya sokong rakyat diberi bonus, tetapi apa rasional Najib menarik RM750 juta subsidi dan berbelanja RM900 juta untuk bonus," ujarnya di Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Shah Alam, petang ini.

Bagaimanapun, beliau menyokong kakitangan awam, khususnya yang berpendapatan rendah dan sederhana layak menerima bonus tersebut.

Baginya, tindakan Najib yang juga Menteri Kewangan itu seakan suatu tindakan bermotif politik ekoran Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mengumumkan pemberian elaun RM500 kepada kakitangan kerajaan negeri.

"Apakah pemberian itu semata-mata kerana Pulau Pinang bagi bonus, maka dia pun bagi," ujarnya yang juga anggota Lajnah Politik PAS Pusat.

Beliau turut mencabar Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin supaya tampil menjelaskan langkah terbaru Najib itu.

Ini kerana, katanya, Khairy merupakan antara pemimpin Umno yang dilihat menonjol menjelaskan tentang rasionalisasi subsidi sebagai alternatif terbaik menangani perbelanjaan defisit yang dialami kerajaan pusat sejak 11 tahun lalu.

Menurutnya, langkah Najib itu sebenarnya berbeza dengan langkah kerajaan Pulau Pinang dan Selangor memberi bonus kepada kakitangan kerajaan negeri masing-masing.

"Pulau Pinang dapat bagi bonus, Selangor dapat bagi bonus disebabkan pengurusan kerajaan yang baik serta perbelanjaan yang berjimat cermat.

"Tetapi, kerajaan federasi (pusat) sendiri pun dah mengaku defisit dengan rasuah dan pembaziran dalam perbelanjaan, dia kata subsidi tidak efisyen, tiba-tiba dia bagi pula," beliau menambah.

Harakahdaily/-

Umno makin takut selepas Kelantan saman Petronas

23 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 2 Ogos: PAS dapat merasai ketakutan pemimpin Umno BN selepas Kerajaan Kelantan nekad menyaman Petronas berhubung isu royalti minyak yang tidak dibayar kepada negeri itu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, ketakutan itu terserlah dalam kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan keputusan menukar wang royalti kepada wang ehsan itu adalah atas khidmat nasihat Peguam Negara.

Katanya, nampak sangat BN tidak mahu bertanggungjawab, sedangkan yang membuat keputusan adalah Kabinet BN sementara nasihat Peguam Negara itu kini sedang dicabar di mahkamah.

“Atas dasar apakah Peguam Negara tidak memberikan nasihat yang sama bagi pemberian royalti untuk negeri Sabah dan Sarawak?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily .

Di samping itu, soalnya lagi, apa pula indikator nasihat yang diberikan oleh Peguam Negara untuk Kerajaan BN memulangkan wang royalti Terengganu selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Kenapa ada nasihat yang 'double standard' dalam agenda pentadbiran Peguam Negara. Apakah perundangan yang ditafsir oleh Peguam Negara sekarang dan dulu tidak sama?”

“Adakah mereka membaca dokumen perjanjian Petroleum Kelantan dengan Petronas dan akta berkenaan dengan cara yang berbeza?” tanya beliau lagi.

Yang pasti, katanya peraturan perjanjian dan akta itu tidak pernah berubah tetapi yang berubah adalah kerajaan yang memerintah.

Menurutnya, asalkan PAS memerintah sahaja, wang royalti bertukar jadi wang ehsan dan itulah yang ada dalam kamus Umno BN.

“Bila Kerajaan BN tumbang di Dun negeri, muncul pula kerajaan haram bernama Jabatan Pembangunan Persekutuan. Mana pula akta dan peraturan yang mereka guna untuk wujudkan jabatan ini,” ujarnya.

Justeru, tegasnya PAS kini yakin yang isu saman royalti itu akan dimenangi oleh Kerajaan Kelantan yang diperintah PAS.

Saman itu juga, tambahnya membuka mata rakyat dan menyampaikan kepada masyarakat dunia bahawa di Malaysia terdapat Kerajaan Persekutuan yang menzalimi rakyatnya lantaran dendam dan tidak tahan malu selepas tewas dalam pilihan raya.

Harakahdaily/-

Aurat: Siapa yang tidak hormati agama sebenarnya?

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Anak Melaka

Riuh 1Malaysia tentang pimpinan DAP dan PKR bukan Islam mencemarkan Masjid dan surau dengan memasukinya tanpa menutup aurat.

Saya tidak hairan jika mereka masuk masjid dan surau dengan tidak menutup aurat kerana mereka bukan dan belum Islam.

Tetapi yang menghairankan saya ialah isteri-isteri dan anak-anak perempuan pimpinan sebuah parti politik (semua orang tahu) kononnya parti Islam terbesar yang di luar dan di dalam masjid tidak menutup aurat.

Umur dah lebih separuh abad sesetengahnya tetapi kewajipan menutup aurat belum di fahami atau sengaja tak mahu faham.

Apakah mereka ini menghormati masjid dan surau dengan memasuki rumah Allah itu tanpa menutup aurat. Walaupun mungkin mereka meletakkan selendang di kepala tetapi rambut dan batang leher masih kelihatan.

Mengapa media dan pimpinan parti politik tersebut tidak pula menegur isteri pimpinan mereka yang jelas masuk masjid dan surau tanpa menutup aurat.

Itu sebabnya sebelum kita membuat tuduhan dan fitnah sebegini kita mestilah melihat diri kita sendiri apakah kita sendiri menutup aurat yang jelas menjadi kewajipan bagi umat Islam.

Bagi wanita hukumnya ialah menutup keseluruhan badan kecuali muka dan tapak tangan malah ada yang berpendapat muka juga aurat. Bagaimana dengan wanita yang bertudung tetapi jambul dan rambut terjuntai keluar atau mungkin leher jinjang dan leher pendeknya nampak.

Tidak perlulah saya menamakan siapa antara isteri-isteri pimpinan yang tidak menutup aurat kerana apa yang lebih ialah kita semua wajib menutup aurat apatah lagi isteri pimpinan mestilah menunjukkan tauladan supaya dicontohi oleh rakyat.

Apakah pimpinan dan isterinya yang ingkar akan perintah Allah ini wajar untuk kita ikuti dan kita sendiri beriya-iya mendokong perjuangan sebuah jemaah yang menutup aurat pun tidak wajib dan boleh dipermainkan, kadang-kadang letak kelubung atas kepala (itupun tak tutup aurat), dan di masa lain langsung tidak meletakkan seurat benang di atas kepala.

Di bukan yang suci ini mari kita muhasabah diri kita, apakah kita ini sedang dipimpin oleh pimpinan yang benar-benar taat kepada Allah.

Mari kita muhasabah diri kita apa jemaah/parti yang kita dokong selama ini adalah parti yang memang menjunjung segala perintah.

Kalau perkara asas seperti menutup aurat pun tidak dititikberatkan oleh pimpinan, apakah pimpinan itu boleh kita harapkan untuk memimpin kita dunia dan akhirat?.

Harakahdaily/-

02 September 2010

Wanita di Bawah Naungan Islam : Nafkah Untuk Perempuan yang Dicerai Raj’iy

23 Ramadhan 1431H.
oleh : Said Abdul Aziz al-Jandul

Perempuan yang dicerai secara raj’iy (suami masih mempunyai hak untuk merujuknya), maka hukumnya dari sisi nafkah tidak berbeda seperti leadaan perempuan (istri) yang tidak dicerai selagi masih dalam masa ‘iddah, yaitu masa di mana suami masih berhak merujuk kepada istri tanpa harus melalui persetujuannya apabila sang suami menghendaki pengembalian semua masalah kepada kondisi seperti sebelumnya yang penuh dengan keharmonisan dan kasih-sayang. Apabila seorang suami menceraikan istrinya secara talak raj’i, maka ia wajib tetap memberinya nafkah berupa sandang-pangan-papan (pakaian, makanan, tempat tinggal) dan lainnya sebagaiamana sebelum terjadi perceraian.

Wanita di Bawah Naungan Islam : Nafkah Untuk Istri

23 Ramadhan 1431H.
oleh : Said Abdul Aziz al-Jandul

Pada kajian terdahulu telah kita sebutkan bahawa agama Islam telah membebaskan perempuan dari seluruh beban ekonomi dalam berumah tangga dan Islam membebankannya di atas pundak suami, sekali pun sang istri itu adalah seorang perempuan kaya, sang suami tetap menanggung seluruh beban kehidupan ekonomi rumah tangga, dari sandang-pangan-papan (pakaian, makanan, tempat tinggal), dana pengobatan dan lain-lainnya.

DOSA-DOSA YANG DIANGGAP BIASA :LAKI-LAKI ATAU WANITA YANG MENYAMBUNG RAMBUTNYA DENGAN RAMBUT MANUSIA ATAU RAMBUT PALSU LAINNYA

23 Ramadhan 1431H.
oleh : Syaikh Muhammad bin Shalih al-Munajjid

50. LAKI-LAKI ATAU WANITA YANG MENYAMBUNG RAMBUTNYA DENGAN RAMBUT MANUSIA ATAU RAMBUT PALSU LAINNYA

Asma’ binti Abu Bakar berkata, seorang wanita datang kepada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam Wanita itu berkata, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya saya mempunyai anak perempuan yang pernah terserang campak sehingga rambutnya rontok, kini ia mau menikah, bolehkah aku menyambung (rambut)nya?” Rasulullah menjawab,

َعَنَ اللهُ الْوَاصِلَةَ وَالْمُسْتَوْصِلَةَ.

“Allah melaknat perempuan yang menyambung (rambut) dan yang meminta disambungkan rambutnya.”( Hadits riwayat Muslim, 3/1676.)

Dan dari Jabir bin Abdillah radhiallahu ‘anhu, ia berkata,

زَجَرَ النَّبِيُّ أَنْ تَصِلَ الْمَرْأَةُ بِرَأْسِهَا شَيْئًا.

“Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melarang wanita menyambung (rambut) kepalanya dengan sesuatu apapun.”( Hadits riwayat Muslim, 3/1679.)

Termasuk dalam hal ini adalah mengenakan sanggul yang biasanya dipasangkan oleh pendandan rambut yang mana kedai mereka penuh dihiasi dengan berbagai kemungkaran.

Termasuk perbuatan haram ini adalah memakai rambut palsu sebagaimana banyak dilakukan orang-orang yang tidak memiliki moral, baik dari kalangan artis, bintang film, pemain drama teater, dan sebagainya.

Khidmat Musa Hassan tidak disambung

22 Ramadhan 1431H.

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Tan Sri Musa Hassan tidak akan disambung khidmatnya sebagai Ketua Polis Negara dan akan digantikan oleh timbalannya, Datuk Ismail Omar.

Pengumuman ini dibuat oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamudin Husein hari ini.

Pengumuman ini telah menghentikan spekulasi yang berbulan-bulan lamanya termasuk kempen yang dibuat oleh Utusan Malaysia agar beliau disambung perkhidmatannya.

Musa sepatutnya pencen pada tahun 2007, namun telah tiga kali khidmatnya disambung sebelum ini.

Liga Fikri Lenggong

22 Ramadhan 1431 H
Oleh: Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Liqa' Fikri bulanan PAS Kawasan Lenggong yang jadualnya menghampiri 10 hari terakhir Ramadhan kali ini memberi peluang kepada yang hadir mengikuti pembentangan Powerpoint Lailatul Qadar.

Pembentangan bagi program yang diadakan di Markaz PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Tampan di Kampung Banggol Belimbing itu dilakukan sendiri oleh Ketua Lajnah Tarbiyah dan Pengkaderan, Ustaz Mohd Hanafiah Idris.

Hampir 100 orang menghadiri program itu terdiri daripada pimpinan PAS kawasan dan cawangan-cawangan termasuk ahli serta penyokong, khususnya yang berada dalam DUN Kota Tampan.

"Oleh kerana program kali ini jadualnya menghampiri 10 malam terakhir Ramadhan, kita memilih Lailatul Qadar sebagai maudhuk untuk tazkirah.

"Alhamdulillah sambutan menggalakkan dan pada sesi soal jawab banyak soalan dikemukakan," katanya.

Ustaz Mohd Hanafiah berkata, seperti biasa program bermula dengan majlis penerangan serta taklimat parti, tahlil, berbuka puasa dan solat maghrib sebelum tazkirah ringkas dan makan nasi.

Katanya, pembentangan Powerpoint Lailatul Qadar dibuat selepas solat Tarawih dan selepasnya diadakan sedikit aktiviti penyampaian bantuan kepada Setiausaha Majlis Tindakan DUN (MTD) Kota Tampan, Abdullah Husin yang kemalangan jalan raya Julai lalu.

Selepas itu, katanya seperti biasa Haji Razman mengadakan aktiviti ziarah pesakit dan berusaha mengubati pesakit dengan kaedah perubatan Islam Darus Syifak sambil menyampaikan bantuan.

"Saya turut berterima kasih kepada Pertubuhan Peladang Kawasan atau ringkasnya PPK, yang sudi memberikan sumbangan bantuan untuk dua penerima melalui PAS di Banggol Belimbing kali ini," katanya.

Rafizi tanding ketua AMK, umum regu

22 Ramadhan 1431 H
Oleh: Jimadie Shah Othman

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR Mohd Rafizi Ramli hari ini mengumumkan menawarkan diri bertanding jawatan ketua Pemuda PKR (AMK).

Beliau turut mengumumkan barisan regunya - dikenali sebagai Generasi Reformasi - yang akan bertanding jawatan utama dalam AMK.

Rafizi akan berganding dengan ADUN Batu Caves Amirudin Shari yang akan bertanding jawatan timbalan ketua AMK.

Manakala tiga lagi ADUN gandingannya akan bertanding jawatan naib ketua dan exco. Mereka ialah Sim Tze Tzin (Pantai Jerjak), S Kesavan (Hutan Melintang) dan Chang Lih Kang (Teja).

Sim dan Kesavan akan bertanding jawatan naib ketua manakala Chang dan empat orang lagi - Halimey Abu Bakar, MA Tinagaran, Saifullah Zulkifli dan Jafery Jomion akan bertanding jawatan exco.

Menurut Mohd Rafizi, barisan Generasi Reformasi menggabungkan pelbagai kumpulan berbeza atas semangat reformasi.

Beliau dipercayai akan mendapat tentangan sengit daripada penyandang jawatan itu Shamsul Iskandar Md Akin, seorang lagi anggota MPP Badrul Hisham Shaharin dan seorang pemimpin cabang daripada Johor Hasmi Hashim.

Timbul isu baru

Ketiga-tiga mereka bagaimanapun belum membuat pengumuman rasmi berhubung kesediaan mereka merebut jawatan yang sama.

Dalam sidang media di sebuah hotel di Petaling Jaya pagi ini, Mohd Rafizi berkata, reformasi yang tercetus pada 1998 membuka lembaran baru apabila berjaya menggabungkan kumpulan yang berbeza pendekatan, warna kulit dan kepakaran, tetapi berkongsi matlamat yang sama.

Selepas pilihan raya umum lalu, tambahnya, walaupun isu pokok yang diperjuangkan - seperti pemansukan ISA dan kebebasan institusi kehakiman - masih sama, timbul pelbagai isu baru yang memerlukan perhatian sewajarnya.

"Oleh itu, AMK sebagai barisan utama dalam mendekati orang muda memerlukan dinamisme yang tinggi. Isu yang diperjuangkan perlu melambangkan aspirasi majoriti 4.6 juta pengundi baru yang mempunyai citarasa yang berbeza.

"Pendekatan yang digunakan juga perlu dipelbagaikan untuk menarik minat sebahagian besar anak muda yang pada ketika ini tidak berminat dengan politik," katanya yang juga ketua eksekutif di pejabat penasihat ekonomi Selangor.

"Berdasarkan misi in, saya dan rakan-rakan yang lahir dari semangat kebersamaan dan kepelbagaian hasil gerakan reformasi ingin menawarkan diri untuk menyuntik dinamisme itu dalam AMK. Sebagai persediaan menghadapai pilihan raya umum ke-13."

Turut hadir dalam sidang media itu, pengarah komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang hanya memberikan sokongan tetapi tidak akan bertanding sebarang jawatan tertinggi dalam AMK walaupun disebut-sebut sebelum ini.

Malaysiakini/-

PKR Perak mahu Mustaffa tanding timbalan presiden

22 Ramadhan 1431 H

PKR Perak mahu pengerusinya, Mustaffa Kamil Ayub bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu November depan.

Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak semalam, lapor lamanweb Suara Keadilan yang memetik kenyataan setiausaha MPN Perak, Anuar Zakaria.

Anuar dipetik sebagai berkata, kepimpinan peringkat negeri serta semua 24 ketua cabang berpendapat Mustaffa (kiri) paling layak memegang jawatan timbalan presiden kerana mempunyai asas serta kualiti kepimpinan yang cemerlang sejak sertai parti itu pada 1999.

Menurutnya, Mustaffa berpengalaman memimpin PKR sebelum ini sebagai pemangku ketua Pemuda selama dua tahun, setiausaha agung selama tiga tahun dan naib presiden selama enam tahun.

Mustaffa juga pernah menjadi pengerusi PKR Terengganu dan Sarawak dan berjaya menyelesaikan kemelut di kedua-dua negeri itu.

Menurut Anuar, MPP Perak juga menyokong naib presiden yang juga ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Mohd Nur Manuty bertanding jawatan naib presiden.

MPN Perak juga mengumumkan lapan calon bagi jawatan anggota MPP bagi mewakili negeri itu.

Mereka ialah Madzi Hassan (naib pengerusi MPN Perak), Zulkify Ibrahim (ketua penerangan MPN Perak), Ismail Yusof (pengarah pilihan raya Perak), Usaili Alias (ketua cabang Parit), YB S Kesavan, (naib pengerusI MPN Perak dan ADUN Hutan Melintang), YB Tai Sing Ng (bendahari MPN Perak dan ADUN Kuala Sepetang), Muzaffar Shah Khairuddin (exco AMK pusat dan Perak) dan Siti Aisyah Shaik Ismail (ketua Srikandi Pusat).

Sehubungan itu, kata Anuar, MPN Perak meminta supaya pimpinan cabang dan ahli di peringkat akar umbi untuk mencalonkan kesemua nama yang tersenarai semasa proses pencalonan MPN kelak.

Malaysiakini/-

RM100 lagi bagi kakitangan awam Pulau Pinang

22 Ramadhan 1431 H

Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini menambah RM100 lagi sebagai pemberian kewangan khas kepada kakitangan awam di negeri itu, menjadikkan jumlahnya RM500.

“Walaupun pengumuman yang dibuat selepas mesyuarat ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang pada 18 Ogos lalu adalah hanya RM400, namun namun tindakan awal ini telah berjaya mendapat perhatian kerajaan persekutuan yang mengikut jejak langkah dengan mengumumkan duit raya RM 500.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menaikkan amaun bantuan kewangan tersebut selaras dengan pengumuman kerajaan persekutuan yang bernilai RM500,” kata ketua menteri, Lim Guan Eng ketika majlis perhimpunan bersama anggota perkhidmatan awam Pulau Pinang, hari ini.

Selain bayaran RM500 itu, beliau juga mengumumkan bayaran RM 250 untuk guru Kafa (Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain).

“Pemberian bantuan khas kewangan sebanyak RM500 ini melibatkan sejumlah 3,700 pegawai dan kakitangan jabatan negeri dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.85 juta.

“Pemberian kepada 1,396 guru Kafa sebanyak RM 250 akan melibatkan RM 349,000. Sekiranya kita mengambilkira semua pihak berkuasa tempatan, badan berkanun negeri dan agensi negeri, ia membabitkan RM5.2 juta,“ kata Lim.

Menurut Lim, beliau berharap penjawat awam negeri akan terus berazam untuk bekerja lebih gigih untuk meningkatkan lagi kualiti sistem penyampaian dan memperkukuhkan tadbir urus perkhidmatan awam yang lebih berdaya saing di persada antarabangsa.

Malaysiakini/-

Tunggakan cukai pintu MBAS turun RM10 juta

22 Ramadhan 1431 H
Oleh: Muhamad Abdul Qayyum

Hanya dalam tempoh dua tahun, Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) telah berjaya mengurangkan tunggakan cukai pintu daripada RM27 juta kepada RM17 juta.

Pengurangan sehingga RM10 juta itu dikaitkan dengan kejayaan strategi yang digunapakai majlis berkenaan termasuk memperkenalkan kaedah pembayaran secara ansuran dalam usaha mencapai sasaran tunggakan sifar.

Datuk Bandar, Datuk Khazali Din, berkata kejayaan itu kerana sistem yang digunakan majlis mendapat sambutan penduduk dan beliau yakin sasaran tunggakan sifar akan tercapai.

"Walaupun jumlah tunggakan semakin kurang, namun saya kesal kerana ada pemilik premis yang tidak membayar cukai pintu melebihi 30 tahun," katanya di Alor Setar.

Khazali berkata, paling ramai pemilik premis yang tidak menjelaskan tunggakan itu adalah bagi tempoh kurang dua tahun.

Sehubungan itu, MBAS akan menghantar notis segera kepada mereka meminta menjelaskan tunggakan secara ansuran dan tidak akan berkompromi dengan individu yang engkar.

Malaysiakini/-