02 September 2010

PKR Perak mahu Mustaffa tanding timbalan presiden

22 Ramadhan 1431 H

PKR Perak mahu pengerusinya, Mustaffa Kamil Ayub bertanding merebut jawatan timbalan presiden dalam pemilihan parti itu November depan.

Perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Perak semalam, lapor lamanweb Suara Keadilan yang memetik kenyataan setiausaha MPN Perak, Anuar Zakaria.

Anuar dipetik sebagai berkata, kepimpinan peringkat negeri serta semua 24 ketua cabang berpendapat Mustaffa (kiri) paling layak memegang jawatan timbalan presiden kerana mempunyai asas serta kualiti kepimpinan yang cemerlang sejak sertai parti itu pada 1999.

Menurutnya, Mustaffa berpengalaman memimpin PKR sebelum ini sebagai pemangku ketua Pemuda selama dua tahun, setiausaha agung selama tiga tahun dan naib presiden selama enam tahun.

Mustaffa juga pernah menjadi pengerusi PKR Terengganu dan Sarawak dan berjaya menyelesaikan kemelut di kedua-dua negeri itu.

Menurut Anuar, MPP Perak juga menyokong naib presiden yang juga ahli parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye dan ahli Majlis Pimpinan Pusat, Dr Mohd Nur Manuty bertanding jawatan naib presiden.

MPN Perak juga mengumumkan lapan calon bagi jawatan anggota MPP bagi mewakili negeri itu.

Mereka ialah Madzi Hassan (naib pengerusi MPN Perak), Zulkify Ibrahim (ketua penerangan MPN Perak), Ismail Yusof (pengarah pilihan raya Perak), Usaili Alias (ketua cabang Parit), YB S Kesavan, (naib pengerusI MPN Perak dan ADUN Hutan Melintang), YB Tai Sing Ng (bendahari MPN Perak dan ADUN Kuala Sepetang), Muzaffar Shah Khairuddin (exco AMK pusat dan Perak) dan Siti Aisyah Shaik Ismail (ketua Srikandi Pusat).

Sehubungan itu, kata Anuar, MPN Perak meminta supaya pimpinan cabang dan ahli di peringkat akar umbi untuk mencalonkan kesemua nama yang tersenarai semasa proses pencalonan MPN kelak.

Malaysiakini/-

Tiada ulasan: