02 September 2010

Tandatangan online sokong hapus saman ekor

22 Ramadhan 1431 H

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) berharap anak-anak muda seluruh negara dapat bersama menurunkan tandatangan secara online sebagai tanda sokongan menghapuskan saman ekor yang dilihat tidak mendidik pemandu sebaliknya memeras wang rakyat dengan cara halus.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, ini lanjutan daripada pelancaran Kempen Sejuta Tandatangan Bantah Saman Ekor yang dilancarkan pada 23 Ogos lepas di Bazaar Ramadhan Pasar Keramat.

Tambahnya, tandatangan bolehlah diturunkan di alamat http://www.petitiononline.com/saman/petition.html mulai sekarang dan akan berakhir pada 31 Oktober nanti.

Katanya, walaupun kempen itu sedang rancak gerak kerjanya di peringkat parlimen yang diuruskan oleh setiausaha DPP kawasan-kawasan, namun DPPP merasakan perlunya satu alternatif yang lain iaitu dengan melalui dunia siber yang semakin popular terutamanya di kalangan masyarakat bandar dan ibu kota.

“Kempen begini dirasakan perlu oleh DPPP dalam usaha untuk menarik masyarakat terutamanya golongan anak-anak muda untuk menyatakan sokongan supaya dapat bersama-sama DPPP bagi menyatakan sikap terhadap kerajaan Malaysia agar memansuhkan terus saman ekor, bukannya menangguhkannya,” ujarnya.

DPPP melancarkan kempen tersebut sebagai sokongan kepada usaha Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang juga merupakan Ahli Parlimen Pokok Sena melalui Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang begitu komited dalam menentang saman ekor.

Katanya, kempen itu dijalankan ekoran kesukaran untuk memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu mereka yang telah disenaraihitamkan ekoran mempunyai saman ekor.

Tambahan pula, ujarnya dengan rintihan rakyat tentang saman ekor yang jelas membebankan, maka DPPP mengambil ketetapan untuk mengumpul tandatangan membantah saman ekor dan sedang digerakkan ke seluruh negara yang mana kemudiannya akan diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai tanda bantahan.

Harakahdaily/-

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

sokong semoga saman ekor dihapuskan

Tanpa Nama berkata...

dah sign

Tanpa Nama berkata...

sokong sbg usaha PR untuk membantu rakyat