03 September 2010

Selamat berbuka puasa......

24 Ramadhan 1431H.

Gambar-gambar kiriman dari teman melalui Email, lihatlah kemewahan orang yang berada berbuka puasa di Arab Saudi , entah layak dipanggil makan atau dalam bahasa lain yang lebih layak, terserah kepada pembaca semua....









Faekah: Lebih baik Khir Toyo diam...

23 Ramadhan 1431H.

Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo sebaiknya berdiam diri saja kerana dakwaan yang ditimbulkannya terhadap pentadbiran Selangor hanya akan memakan diri sendiri, kata setiausaha politik kepada menteri besar Selangor, Faekah Husin (gambar).

Faekah mendakwa banyak masalah yang berlaku di negeri itu pada masa sekarang sebenarnya berpunca daripada keputusan yang dibuat sewaktu pentadbiran Khir Toyo.

Faekah memberi contoh, keadaan itu boleh dilihat dalam isu melibatkan pembahagian tanah kepada peneroka di sebuah tanah rancangan di Bandar Alam Perdana, Kuala Selangor.

Jelasnya, peneroka berkenaan telah memohon untuk mendapatkan geran kecil bagi tanah seluas antara 60 hingga 120 ekar itu.

Bagaimanapun, terdapat beberapa individu yang mengemukakan injunksi di mahkamah bagi menghalang geran berkenaan dikeluarkan.

"Di sinilah bermula komen-komen negatif itu. Jadi kerajaan negeri kena jawab dan cari apakah punca masalah sebenar," katanya lagi.

Tambahnya, beliau telah membuat siasatan dan terkejut apabila mendapati terdapat antara pemilik tanah tersebut merupakan pemimpin Umno di negeri itu.

"Sangat malang apabila saya terjumpa beberapa nama. Doktor gigi pun ada yang jadi peneroka Felda," katanya yang telah menyiasat nama pemilik tanah berkenaan.

Beliau juga mendedahkan mengenai amalan pemberian bonus oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kepada menteri besar.


"Tidak hairanlah isu bonus menjadi fokus apabila kita timbulkan isu kecurian pasir," kata Faekah lagi dalam satu temubual dengan Malaysiakini semalam.

Katanya, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berang apabila diberitahu bahawa beliau diberi bayaran sebanyak RM135,000 oleh syarikat milik kerajaan negeri itu.

Faekah berkata, beliau kemudiannya diarahkan oleh Khalid untuk menyiasat siapakah yang memberi arahan untuk meluluskan bayaran berkenaan dan apakah prosedur yang telibat.

Faekah kemudiannya berkata, beliau telah menghubungi pegawai kewangan PKNS yang menjelaskan bahawa pemberian bonus kepada menteri besar merupakan amalan biasa sejak pentadbiran terdahulu.

"Sebab itu saya kata, kalau saya jadi Khir Toyo saya akan berdiam diri sahaja," kata Faekah lagi.

Malaysiakini/-

Mampukah KPN baru bebas dari cengkaman Umno

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 2 Sept: Biarpun masih terlalu awal untuk menilai, PAS tetap melahirkan kebimbangan terhadap Ketua Polis Negara (KPN) yang baru, Tan Sri Ismail Omar.

Kebimbangan yang maksudkan adalah berhubung kemampuan Ismail membebaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dirinya sendiri dari cengkaman dan penguasaan politik Umno BN.

"Mampukah Tan Sri Ismail Omar membebaskan diri dia dan PDRM dari kongkongan Umno BN?

"Kebimbangan saya, kerajaan Umno BN akan turut memperalat beliau walaupun saya percaya beliau seorang yang sangat punya prinsip dan integriti yang tinggi," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar kepada Harakahdaily.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung perlantikan Ismail Omar sebagai Ketua Polis Negara yang baru berkuat kuasa 13 September ini menggantikan Tan Sri Musa Hassan yang tidak dilanjutkan kontrak.

Menurutnya lagi, realiti yang berlaku pada waktu ini jelas memperlihatkan penguasaan Umno BN ke atas PDRM melalui kuasa menteri dalam negeri.

Biarpun Ketua Polis Negara diganti individu baru, namun katanya cara dan tindakan PDRM tetap akan sama kerana mereka masih di bawah telunjuk pemimpin Umno BN.

"Nama sahaja Polis Diraja Malaysia yang sepatutnya di bawah Yang di-Pertuan Agong, tapi hakikatnya dikuasai politik Umno BN," katanya.

Sementara itu, beliau juga secara sinis mempersoal tindakan kerajaan Umno BN yang tidak menyambung kontrak Musa.

Menurutnya, khidmat Musa sewajarnya diteruskan kerana beliau telah banyak berjasa kepada Umno BN sepanjang berkhidmat.

Harakahdaily/-

Laporan polis dakwa PM hina mahkamah

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Abdul Rahim Sabri

Seorang pemimpin PAS Negeri Sembilan membuat laporan polis terhadap ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa mengandungi unsur menghina Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan kes saman peneroka Felda kemahang Tiga di Kelantan.

Turut dinamakan dalam laporan polis itu ialah Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan dan Pengerusi Felda, Tan Sri Yusoff Nor.Laporan tersebut dibuat oleh yang dipertua PAS Jempol, Abd Rahman Ramli di balai polis Dang Wangi di ibunegara pada kira-kira jam 10.45 pagi.

Beliau diringi oleh naib presiden PAS, Salahuddin Ayub dan pengerusi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), Mazlan Aliman serta pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Zulkifli Mohd Omar dan tiga peneroka Felda jempol.

Dalam laporannya, Abd Rahman mendakwa, Najib membuat ucapan tersebut ketika berbuka puasa dengan peneroka Felda Gugusan Serting, Negeri Sembilan pada 26 Ogos di Masjid Bandar Seri Jempol.

Beliau mendakwa perdana menteri dilaporkan oleh media sebagai berkata keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah kerana peguam yang mewakili Felda tidak hadir, dan bukan disebabkan olen penipuan.

Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya mengarahkan Felda membayar RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga kerana menipu mereka berhubung gred buah kelapa sawit.

Dalam laporan polis itu, Abd Rahman mendakwa kenyataan Najib bahawa beliau akan pastikan perbicaraan kes yang serupa di masa akan datang bakal dimenangi Felda adalah "suatu campurtangan dan ugutan kepada badan kehakiman kerana beliau adalah perdana menteri".

Dalam aduannya juga, Abd Rahman turut memetik laporan kenyataan Ahmad yang mendakwa "keputusan yang diberikan oleh Mahkamah Persekutuan ini bukan disebabkan oleh wujudnya penipuan, konspirasi dan sebagainya di pihak Felda seperi yang didakwa oleh sesetengah pihak".

Sehubungan itu, Abd Rahman mendakwa kenyataan ahli parlimen Pontian itu adalah "ungkapan melampau, biadap dan tidak menghormati keputusan mahkamah".

"Keputusan hakim akan dibuat berasaskan fakta kes dan tidak wajar dipertikaikan. Bahkan perbicaraan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, barisan peguam Felda hampir 10 orang yang hadir.

"Jadi tidak timbul sama sekali Felda kalah kerana peguam mereka tidak hadir," laporan polis itu dipetik.

Malaysiakini/-

Jalan Bota Perlu Dinaik Taraf Untuk Keselamatan & Kesejahteraan Penduduk Tronoh

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: YB V.Sivakumar

Jalan Bota merupakan jalan utama Ipoh-Bota pada satu masa dahulu. Jalan itu wujud sejak mulanya pekan Tronoh iaitu sebelum terdapatnya aktiviti perlombongan yang giat di kawasan tersebut.

Pada penghujung tahun 60an jalan baru telah dibina dari Pusing ke Bota. Jalan itu kemudian menjadi jalan utama dari Jelapang ke Lumut. Oleh itu, Jalan Bota tidak lagi menjadi jalan utama Jelapang – Lumut pada masa ini.

Walau bagaimanapun, Jalan Bota merupakan jalan penting di dalam Pekan Tronoh sehingga ke hari ini.

Jalan ini menghubungi Pekan Tronoh dengan Lebuhraya Ipoh-Lumut. Penduduk Tronoh menggunakan jalan ini untuk memasuki Lebuhraya Ipoh – Lumut.

Bilangan kenderaan yang menggunakan jalan ini juga kian meningkat. Tambahan pula terletak 3 buah sekolah di sepanjang jalan tersebut.

Sekolah-sekolah itu ialah SK Tronoh, SJK(C) Chung San dan SJK (T) Tronoh. Selain daripada itu, terdapat sebuah tokong Sikh dan Kuil Hindu disamping Jalan tersebut. Jalan ini juga merupakan pintas ke 2 buah taman perumahan di Tronoh.

Memandangkan penggunaan yang meluas, Jalan Bota ini perlu dilebarkan lagi. Didapati jalan tersebut agak sempit terutamanya pada waktu sebelum sekolah bermula dan selepas sekolah tamat.

Ibubapa dan bas sekolah menggunakan jalan ini untuk mengambil dan menurunkan murid-murid di sekolah-sekolah tersebut. Ramai juga murid-murid sekolah berbasikal di Jalan Bota ini. Pada masa yang sama penduduk-penduduk dari Taman Bali Emas, Tronoh Mines dan Taman Tasek Putra menggunakan jalan ini untuk memasuki pasar awam dan Pekan Tronoh. Pelajar-pelajar Universiti Petronas juga menggunakan Jalan Bota untuk pergi ke gerai-gerai makanan di Pekan Tronoh.

Keadaan ini menimbulkan bahaya keselamatan jalanraya terutamanya kepada kanak-kanak sekolah yang menggunakan jalan ini pada tiap-tiap hari. Banyak kemalangan juga pernah berlaku di jalan tersebut.

Ramai juga dikalangan ibubapa pernah mengadu kepada saya mengenai soal keselamatan anak-anak mereka yang menggunakan jalan ini untuk pergi ke sekolah. Oleh yang demikian tindakan perlu diambil oleh pihak JKR untuk mengatasi masalah ini.

Dalam Persidangan Dewan Negeri yang lepas iaitu pada 3 Ogos, satu soalan bertulis telah dikemukakan oleh pihak saya mengenai Jalan Bota ini. Soalan tersebut meminta JKR Perak samada mempunyai niat untuk melebarkan Jalan Bota dihadapan SK Tronoh, SJK(C) Chung San dan SJK(T) Tronoh.

Pihak JKR telah menjawab bahawa pihaknya mempunyai cadangan untuk melebarkan Jalan Bota tersebut dan kerja pembinaan dijangka akan dimulakan pada bulan September 2010.

Saya sungguh mengharapkan pihak JKR akan memulakan kerja-kerja naik taraf Jalan Bota ini secepat yang mungkin demi keselamatan dan kesejahteraan semua pengguna-pengguna jalan tersebut.

Kamera intip berjaya rakam wajah dalang

23 Ramadhan 1431 H

Beberapa individu dikenal-pasti dalam rakaman video yang dijumpa dalam ‘kamera intip’ yang ditemui di pejabat menteri besar Selangor pada awal bulan lalu.

Pada sidang media di Shah Alam hari ini, setiausaha politik kepada menteri besar, Faekah Husin berkata mereka yang dikenalpasti itu bekerja di tingkat yang sama dengan pejabat menteri besar di bangunan setiausaha kerajaan negeri.

“Daripada siasatan dalaman, terdapat beberapa wajah dan suara yang dikenal-pasti dari rakaman video itu. (Tetapi) kita tidak bercadang mendedahkan butirannya (sekarang),” katanya.

“Sesetengah mereka sepatutnya berada di sana, tetapi ada juga yang tidak sepatutnya berada di sana.”

Pasukan khas yang ditubuhkan bagi menyiasat penemuan ‘kamera intip’ itu akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim esok untuk menentukan tindakan selanjutnya.

Faekah berkata pasukan petugas itu perlu mendapatkan kelulusan daripada Khalaid sebelum boleh menyoal-siasat mereka yang dikenal-pasti dalam rakaman video itu.

"Kami perlu menyiasat mereka bagi menentukan siapa di sebalik perkara itu,” katanya.

Menurut Faekah, rumusan awal siasatan mendapati mereka yang terbabit itu cuba menjadi “nakal dari segi politik.”

Beliau juga mendedahkan tiga pegawai polis berjumpa dengannya pagi ini tetapi mengesahkan belum ada laporan polis yang dibuat.

Sebelum ini, Khalid berkata pasukan petugas berkenaan akan diberi masa menyiasat terlebih dahulu sebelum menyerahkannya kepada polis.

Malaysiakini/-

SAMBUTAN KEMERDEKAAN: PERAK HAMBAR & LESU

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: DR RAJA AHMAD AL-HISS

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) amat sedih upacara Sambutan Hari Kemerdekaan Negara ke – 53 pada tahun ini peringkat Negeri Perak yang telah diadakan di Stadium Perak, Ipoh hambar dan lesu tanpa kehadiran rakyat bagi menyambutnya bersama-sama pada tahun ini dengan terciptanya sejarah buruk yang amat memalukan.

Suasana ini dapat dilihat kekosongan seluruh sudut Stadium Perak yang memburukkan suasana sambutan pada kali ini. DPPN Pk tidak tahu di mana punca sebenarnya permasalahan ini, tetapi kerajaan negeri mesti melihat keadaan tersebut secara serius. Bulan Ramadhan bukanlah halangan untuk rakyat menzahirkan semangat patriotisma walaupun berpuasa.

Sejarah seperti ini tidak sepatutnya berulang kerana ianya amat memalukan kita yang sudah mencapai kemerdekaan yang ke – 53.

Sepatutnya kerajaan negeri mengkaji dahulu permasalahan tersebut dan pada awal lagi kempen sambutan pada tahun ini juga lesu. Inilah punca sebenarnya rakyat tidak menyambut seranan kerajaan negeri terutamanya tahun ini.

Kerajaan negeri sepatutnya memperbanyakkan kempen dan informasi sambutan Kemerdekaan di peringkat negeri.

DPPN Pk juga dimaklumkan banyak NGO-NGO serta badan-badan induk tidak dilibatkan dalam majlis sambutan Kemerdekaan peringkat negeri.

DPPN Pk yang sentiasa membuka pintu kerjasama dalam isu-isu dan perkara kepentingan negara juga tidak dijemput untuk majlis tersebut berbanding sewaktu Pakatan Rakyat (PR) Negeri Perak memerintah dahulu seluruh NGO, hattan parti politik dijemput untuk menjayakan sambutan Kemerdekaan.

DPPN Pk meminta kerajaan negeri memulihkan kembali suasana yang memburukkan nama Negeri Perak dan berharap suasana seperti ini tidak akan berulang lagi di masa hadapan.

DPPN Pk menyeru kepada seluruh rakyat Negeri Perak agar mengembalikan semangat kemerdekaan sebenar bagi seorang rakyat yang merdeka jiwanya!

Keyakinan

23 Ramadhan 1431H
Oleh : Jarjani Usman

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang munkar. Merekalah orang-orang yang beruntung” (QS. Al-Imran: 104).

Kalau membaca sejarah, tidak sedikit di antara sahabat Rasulullah s.a.w. pada awalnya adalah orang-orang yang tidak dilahirkan dalam keluarga muslim. Mereka non muslim. Mereka kemudian beralih keyakinan, dari non muslim menjadi muslim. Termasuk Umar bin Khattab r.a., yang kemudian menjadi sahabat dekat Rasulullah, muslim taat, dan bahkan menjadi amirul mukminin. Bukan hanya di masa lalu, sekarang pun banyak yang demikian.

Biasanya, tidak mudah merubah keyakinan seseorang manusia. Kalau pun kemudian mahu diubah, itu karena sudah sekian lama berusaha untuk menjawab rasa ingin tahunya tentang Islam. Dibacanya kitab suci Islam, iaitu Al Quran dan segala yang membentuk keyakinannya, termasuk bertanya kepada orang alim sebanyak mungkin. Setelah terbentuk suatu keyakinan yang mantap, barulah menyatakan diri masuk Islam. Karena sudah yakin, umumnya mereka benar-benar menjalani hidup sebagaimana disuruh dalam agama Allah itu.

Lantas bagaimana dengan kita yang terlahir dalam keluarga muslim? Di satu sisi, kita beruntung dan sepatutnya bersyukur karena ditakdirkan demikian. Namun di sisi lain, sebahagian kita bagaikan merasa selesa saja dalam keluarga Islam, meski tidak mahu mempelajari Islam. Seakan-akan keyakinan itu terbentuk sendiri. Akibatnya, begitu mudah mengabaikan segala perintah Allah, semudah melakukan segala yang dilarangNya. Diakui atau tidak, inilah pertanda belum terbentuk keyakinan diri tentang Islam, yang selanjutnya membentuk generasi yang lemah.

Generasi yang lemah ini, kalau tidak ada kepedulian dari kalangan umat tersebut, kembali menghasilkan generasi yang lebih lemah lagi. Karena itu, patut disyukuri di saat sedang merajalelanya kemungkaran yang mematikan nurani sebahagian orang, masih ada segolongan orang yang senantiasa peduli terhadap nasib umat, menyeru kepada yang makruf dan mengajak untuk mencegah yang mungkar seperti ayat diatas.

Malam al Qadar

23 Ramadhan 1431H
Oleh : Jarjani Usman

“Barangsiapa yang mendirikan malam al Qadr dengan penuh keimanan dan mengharapkan keampunan dari Allah, diampunkan baginya dosanya yang telah lampau” (HR.Bukhari dan Muslim).

Berbahagialah insan yang berkesempatan beramal di Malam al Qadar atau malam kemuliaan atau penuh berkah. Malam al Qadar adalah suatu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan (QS. Al Qadr: 3). Pada malam itu, para malaikat rahmat turun untuk membawa rahmat dan keberkahan kepada orang-orang yang beribadah. Dua kelebihan itu, di antara sejumlah kelebihan lain dari Malam al Qadr, sangat penting bagi siapapun, sehingga sepatutnya tidak ada yang tidaak berusaha mendapatkannya.

Nilainya yang lebih dari seribu bulan maknanya amat dahsyat. Dihitung dari umur manusia sekarang, hampir tidak ada yang mampu beribadah seribu bulan atau 83 tahun lebih. Umur manusia yang rata-rata sekitar 65 tahun, misalnya, tentunya tidak selalu berada dalam ibadah. Lebih-lebih kalau dipotong sekian tahun dalam masa kanak-kanak dan masa-masa lain. Namun dengan mendapatkan Malam al Qadar, umat Islam yang beriman dimungkinkan oleh Allah untuk memperoleh pahala berlimpah.

Pada malam itu, sebagaimana disebutkan dalam Al-Qur’an, banyak malaikat turun untuk membawa rahmat dan berkah, sehingga berlipat ganda rahmat dan berkah bagi yang beribadah. Makanya, Rasulullah mengatakan bahwa siapapun yang beribadah dengan penuh keimanan malam itu, akan mendapat hadiah istimewa. Iaitu, diampuni dosa-dosanya.

Sebaliknya, sungguh suatu kerugian yang besar bagi kita yang tidak beribadah pada Malam al Qadar. Apalagi di tahun yang akan datang, kita belum tentu bertemu dengan Ramadhan, apalagi Malam al Qadar. Karena itu, sisa bulan Ramadhan kali ini perlu dinikmati semaksima mungkin, siapa tahu Allah memberi kita kesempatan mendapatkan Malam al Qadar.

Kita pun buka aurat di masjid!

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Abd Jalil Ali

Terus terang saya tidak kenal, malah tidak pernah mendengar pun nama Teo Nie Ching sebelum ini. Rupa-rupanya dia seorang wanita bertubuh langsing, boleh tahan juga wajahnya, dan bergelar Yang Berhormat. Beliau ialah Ahli Parlimen DAP kawasan Serdang.

Sehari dua ini namanya naik, dan sekelip mata beliau dikenali bukan sahaja di Parlimen yang diwakili, malah di seluruh negara. Beliau disebut bukan sahaja oleh rakyat biasa di kawasannya, tetapi juga oleh para pemimpin kerajaan dan pembangkang, termasuk Perdana Menteri.

Kalau tidak kerana YB berkenaan masuk surau Al-Husna, Kajang, mungkin tidak ramai orang mengenalinya. Niatnya ke surau itu tentu sekali baik, iaitu untuk menyampaikan sumbangan kepada rakyat. Biasalah wakil rakyat menyampaikan sumbangan menjelang hari raya.

Kesilapan beliau ialah masuk ke dalam surau, dengan tidak menutup aurat. Beliau berkebaya, nampak sopan, tetapi mendedahkan rambutnya. Agaknya wakil rakyat Cina itu tidak tahu bahawa rambut juga dikira aurat, dan perlu ditutup. Untuk memburukkan lagi keadaan, Teo dibenarkan pula berdiri di ruang solat utama, dan memberi ucapan ringkas.

Itulah kontroversi terbaru yang sempat menghangatkan suasana puasa dan hari raya kita. Kata sesetengah ulama orang kafir tidak boleh masuk tempat solat Islam, lebih-lebih lagi di ruang utama, dan tidak menutup aurat pula. Ada yang menganggap ini sebagai mencemar kesucian rumah ibadat orang Islam.

Ada pula ulama kata tidak salah orang kafir masuk ke masjid atau surau. Mereka kata zaman Rasulullah dulu orang kafir Quraisy bukan sahaja dibenarkan masuk masjid, malah diberi makan dan boleh tidur di situ. Kalau mereka tidak menutup aurat pun tidak salah sebab yang diwajibkan menutup aurat adalah orang Islam.

Biarlah bijak pandai agama menentukan mana yang salah dan mana yang betul. Kalau itu sesungguhnya satu kesalahan, maka patut sekalilah YB berkenaan dikenakan tindakan yang wajar mengikut undang-undang yang ada. Dan ini sepatutnya dijadikan panduan untuk YB-YB bukan Islam yang lain. Sepatah kata pepatah, masuk kandang kambing, mengembek.

Saya lebih tertarik untuk bercakap mengenai rambut wakil rakyat itu yang didedahkan ketika masuk surau. Sebab ada NGO Islam yang nampaknya marah betul Teo membuka kepalanya ketika berdiri di ruang solat utama. Mereka kata ini satu penghinaan, dan kesucian telah dicemari.

Apakah betul begitu? Kalau betul rasanya ini bukan kali pertama terjadi, dan pasti Teo bukan orang pertama mencemar kesucian tempat ibadat kita. Sebenarnya dalam hal tutup kepala, masjid dan surau kita sudah sekian lama dicemari dan tidak dihormati. Dan, mencemari bukan orang kafir tetapi oleh orang Islam sendiri.

Saya kerap menyaksikan orang kita kahwin di masjid, termasuk di beberapa masjid terkenal di Kuala Lumpur. Di sinilah saya melihat di hadapan mata, orang kita tidak sedikit pun menghormati tatatertib di rumah Allah itu. Mereka yang datang, terutama wanita, ternyata tidak prihatin – mungkin juga mereka tidak mengetahui hukum agama, sama seperti orang bukan Islam.

Bukan salah menjadikan masjid atau surau tempat bernikah. Malah itu mungkin lebih baik sebab mengikat kasih sayang dua insan di rumah Allah. Apa yang salah ialah apabila yang hadir pada majlis tersebut tidak menutup aurat seperti yang dituntut oleh agama. Ramai yang tidak menutup rambut, betul-betul sama seperti Teo masuk surau Al-Huda.

Walaupun di kebanyakan masjid ada peringatan bertulis supaya mereka yang masuk menutup aurat, pada majlis pernikahan amaran itu seperti tidak dipedulikan, dan para pegawai masjid pun tidak berbuat apa-apa apabila ada yang masuk ke dewan solat utama dalam keadaan mendedahkan.

Satu hujung minggu beberapa hari sebelum puasa saya menghadiri upacara akad nikah di sebuah masjid besar di Kuala Lumpur. Mempelai adalah dari keluarga berada dan bergelar. Ada sekitar 50 orang hadir pada majlis tersebut, sebahagian besarnya wanita. Ramai mendedahkan rambut, tidak bertudung walau sedikit pun. Malah ada seorang dua macam megah menayangkan rambut yang telah diwarnakan. Mungkin besar belanjanya mendandan rambut di salun terkenal, sebab itu rasa membazir pula sekiranya yang diset mahal itu tidak ditontonkan kepada umum.

Ramai juga hadir hanya menutup sebahagian kepala. Berselendang, tetapi rambut bahagian hadapan dibiarkan terjurai di atas dahi. Apakah pada hemat mereka bahagian hadapan rambut yang berambu-rambu itu tidak termasuk aurat? Atau, mereka sengaja memperlekeh masjid?

Ada juga hadir bukan sahaja mendedahkan rambut, malah berpakaian mendedahkan lengan, dan apabila duduk bersimpuh kelihatan jelas betis yang putih melepak. Memang saya berdosa masuk masjid dengan mata liar begitu! Tetapi kalau tidak didedahkan, mungkin tidak ada orang akan tengok.

Saya sama sekali tidak menyokong YB wanita DAP masuk ke surau dengan rambut terbuka. Maka, tidak bersetuju jugalah saya pada wanita Islam sendiri yang masuk ke masjid berkeadaan seperti wakil rakyat kafir itu.

Sinar Harian/-

Cheng Men Li Xue

23 Ramadhan 1431 H

Berdiri di Depan Pintu Rumah Cheng Yi dalam Salji

Asal Usul:

Pada zaman Dinasti Song Utara, iaitu antara tahun 960 hingga tahun 1127, ada seorang muda lulusan peperiksaan kerajaan di provinsi Fujian yang bernama Yang Shi. Dia dikatakan amat berminat untuk membuat kajian dalam pelbagai ilmu pengetahuan, dan pernah menjadi pelajar bagi Cheng Hao, seorang sarjana yang sangat tersohor di bandar Luoyang.

Selepas Cheng Hao meninggal dunia, dia diterima pula oleh Yang Yi, adik kandung Cheng Hao, untuk terus menuntut ilmu di akademi pengajian yang dibinanya di bandar Luoyang.

Pada masa itu, Yang Shi sudah berumur lebih 40 tahun, dan taraf pengetahuannya sudah sangat tinggi. Walaupun begitu, dia tetap sangat rendah hati.

Pada suatu hari, dia bersama seorang temannya yang bernama You Zuo, ingin pergi menziarahi guru mereka, Cheng Yi untuk berbincang dengannya tentang beberapa persoalan yang mereka hadapi dalam pelajaran mereka.

Bagaimanapun, ketika mereka sampai, Cheng Yi kebetulan sedang tidur dengan lena. Yang Shi menasihati You Zuo supaya jangan mengganggu beliau. Maka, kedua-duanya pun berdiri di luar pintu untuk menunggu beliau bangun. Tidak lama selepas itu, tiba-tiba, salji mula turun dengan lebatnya.

You Zuo yang tidak tahan lagi dengan kesejukan yang keterlaluan itu, beberapa kali ingin membangunkan Cheng Yi, tetapi telah dihalang oleh Yang Shi.

Menurut ceritanya, ketika melihat dua "orang salji" ini menunggunya dalam kesejukan di luar pintu, Cheng Yi yang baru bangun dari tidur itu, berasa sangat terharu.

Maka, sejak itu, beliau menjadi lebih rajin dan berdedikasi untuk menyampaikan ilmu pengetahuan yang dikuasainya kepada Yang Shi.

Yang Shi juga tidak mengecewakan harapan gurunya itu. Dia akhirnya menjadi seorang ahli falsafah yang sangat berpengaruh dalam sejarah China.

Catatan Ketarangan:

Peribahasa "Cheng Men Li Xue", yang juga boleh disebut sebagai "Li Xue Cheng Men" ini bermaksud "berdiri di depan pintu rumah guru Cheng Yi dalam salji".

Ia digunakan untuk memuji kesungguhan pelajar dalam menuntut ilmu pengetahuan serta kesantunnya dalam menghormati guru.

CRI/-

Artikel- artikel Malam Lailaatul Qadar

23 Ramadhan 1431H.
Email : Azman Al Khereed

1.Bila Lailatul Qadar 1431H ? : http://wp.me/piAx4-2KH
2.Jadual Lailatul Qadar : http://wp.me/piAx4-2K6
3. Lailatul Qadar Hadiah Allah Kepada Kita : http://wp.me/piAx4-2LT
4. Lailatul Qadr : http://wp.me/piAx4-Lj
5. Kapan Lailatul Qadar itu ? : http://wp.me/piAx4-Pi
6. Pencarian lailatul qadar : http://wp.me/piAx4-Qj
7.Malam Lailatul Qadar : http://wp.me/piAx4-Pw
8. MENGGAPAI LAILATUL QADAR : http://wp.me/piAx4-OH
9. LAYLATUL QADAR : http://wp.me/piAx4-Qk

Bendera M'sia dibakar lagi, telur, ikan busuk dilontar

23 Ramadhan 1431 H

Sekumpulan pelajar yang mendakwa mewakili Gerakan Mahasiswa Hukum Jakarta (Gerakan Mahasiswa Undang-undang Jakarta) semalam bertindak mengotorkan bendera Malaysia dengan telur sebelum membakar dan melontarkan Jalur Gemilang yang terbakar sebahagiannnya itu ke dalam kawasan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta.

Dalam demonstrasi membantah insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia dekat Kepulauan Riau baru-baru ini, mereka turut melontar telur dan ikan masin busuk ke dalam kawasan kedutaan besar itu selain mengotorkan plak nama Kedutaan Besar Malaysia itu dengan tepung gandum dan ikan masin busuk.

Mereka membawa beberapa sepanduk yang antara lainnya ditulis "diplomasi mati suri", "ganyang Malaysia", "bela harga diri bangsa" serta "malingsia serumpun yang durhaka".

Demonstrasi selama kira-kira setengah jam mulai jam 11.05 pagi itu diawasi oleh kira-kira 60 anggota polis Indonesia.

Dalam insiden di perbatasan perairan Malaysia-Indonesia pada 13 Ogos lalu, bahagian penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia menahan tujuh nelayan Malaysia manakala Polis Marin Malaysia pula menahan tiga pegawai penguatkuasa kementerian dari Indonesia itu, masing-masing dengan alasan pencerobohan terhadap wilayah perairan masing-masing.

Sungguhpun semua mereka dibebaskan pihak berkuasa kedua-dua negara empat hari kemudian, perasaan marah rakyat Indonesia terhadap Malaysia tidak pernah padam kerana mereka mendakwa Malaysia bertindak merendahkan martabat Indonesia dan meminta Malaysia memohon maaf kepada republik itu.

Kumpulan-kumpulan masyarakat di sini turut mengkritik kerajaan Indonesia yang didakwa tidak tegas terhadap Malaysia berhubung insiden itu.

Malaysiakini/-

Sebahagian besar premis Pavillion tiada logo halal

23 Ramadhan 1431 H

Melihat pemeriksaan mengejut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap sebuah premis makanan di medan selera di pusat beli-belah Pavillion, beberapa pengusaha premis makanan lain bergegas menanggalkan logo dan sijil halal bukan diiktiraf jabatan itu dari dinding premis mereka.

Pengarah Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan Bahagian Hab Halal Jakim Amri Abdullah berkata tindakan itu dipercayai untuk mengelakkan premis berkenaan diambil tindakan kerana penggunaan logo dan sijil halal yang bukan dikeluarkan Jakim.

Beliau berkata keadaan menjadi kecoh seketika apabila Jakim disertai pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) memeriksa premis menjual ayam dan itik panggang kerana cara penyembelihan diragui.

"Apa yang menimbulkan tanda-tanya, semasa tinjauan awal, kami mendapati adanya logo halal yang dipamerkan. Tetapi ketika pemeriksaan berikutnya, logo berkenaan sudah tiada lagi dipamerkan," katanya kepada pemberita selepas selesai memeriksa premis-premis di medan selera berkenaan.

Pemeriksaan itu yang disertai tiga pegawai Jakim, tiga pegawai KPDNKK dan lima anggota PPIM dilakukan setelah menerima rungutan dan aduan orang ramai berkaitan penyalahgunaan sijil halal yang diguna pakai premis makanan berkenaan.

Dalam pemeriksaan semalam itu, pengusaha premis makanan itu berkata mereka memperoleh logo dan sijil halal melalui pihak pengurusan pusat beli-belah itu tanpa berurusan terus dengan pengeluar sijil halal terbabit.

Amri kemudiannya mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan medan selera itu untuk mendapat penjelasan berhubung penggunaan logo berkenaan.

"Pihak pengurusan itu menjelaskan kepada saya permohonan logo dan sijil halal daripada Jakim sudah dibuat untuk semua premis-premis makanan di medan makan menggunakan pihak ketiga.

"Oleh itu, saya menasihatkan mereka supaya berurusan terus dengan Jakim dan Jakim juga bersedia datang ke premis untuk memberi panduan tentang kaedah-kaedah yang betul untuk memastikan makanan disediakan secara halal," katanya.

Beliau berkata premis berkenaan belum pernah dipantau atau diaudit oleh pihak berkuasa berkaitan menyebabkan mereka kurang arif tentang isu penggunaan logo halal.

Sementara itu, Setiausaha Kerja PPIM Datuk Nadzim Johan berkata tindakan terburu-buru peniaga menanggalkan logo dan sijil halal berkenaan menunjukkan mereka sedar penggunaan logo halal selain Jakim adalah salah tetapi mereka masih menggunakannya.

Katanya semasa tinjauan itu, PPIM mendapati sijil halal yang digunakan di premis-premis berkenaan dikeluarkan oleh syarikat Bahtera Lagenda Sdn Bhd melalui logo tertera IFRC. Syarikat berkenaan merupakan antara enam syarikat yang tidak diiktiraf akan kesahihan sijil halalnya.

Malaysiakini/-

Hudud: Jangan bercakap kalau tak faham

23 Ramadhan 1431 H
Oleh: Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 1 Sept: Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat (gambar) menasihati pemimpin parti politik lebih baik tidak bercakap pasal hudud sekiranya tidak betul-betul memahami konteks hukum berkenaan sebagaimana tuntutan agama.

Beliau berkata, definisi hudud adalah luas bukan sahaja meliputi bab jenayah, sebaliknya termasuklah dalam masalah peraturan rumahtangga dan nikah cerai.

“Malangnya wajah hudud telah diberikan imej yang cukup buruk oleh media Barat dengan sokongan media sekular di dalam negara menjadikan masyarakat seringkali tersalah anggap tentang hudud. Hakikatnya hudud bermakna batasan.

“Setiap apa yang diperintahkan atau dilarang oleh Allah SWT itulah yang dinamakan batasan. Melanggar batasan dengan meninggalkan apa yang disuruh atau mengerjakan apa yang dilarang itulah yang disebut sebagai melanggar hududullah,” katanya sewaktu dihubungi hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin yang mendedahkan bahawa pakatan pembangkang tidak pernah merancang untuk melaksanakan undang-undang Islam termasuk hudud jika ditakdirkan berjaya memerintah negara ini.

Ini kerana parti-parti dalam Pakatan itu, termasuk PAS terikat kepada perjanjian bersama yang akan terus mempertahankan dan mengamalkan Perlembagaan sekular sedia ada.

Mengulas lanjut Zainuddin menyifatkan Zulkifli sebagai individu yang telah hilang integriti sekali gus tidak layak untuk mempersoalkan Pakatan Rakyat yang terdiri dari PAS, PKR dan DAP dalam usaha pelaksanaan hukum hudud.

Menjawab soalan PAS tetap melaksanakan undang-undang hudud sekiranya Pakatan berjaya menerajui kepimpinan negara meskipun mendapat halangan sekutunya iaitu PKR terutama DAP beliau berkata, prinsip PAS jelas dengan konsep Islam sejak mula penubuhannya lagi.

“Kalau orang kata berfahaman sempit tentang hudud, marah. Tapi dari konsep luaran sendiri pun sudah tidak tahu. Rasulullah mendukung undang-undang hudud dulu bukan di tengah-tengah orang Arab semua, bukan beragama Islam semua. Tapi antara kafir dan Islam, namun tiada sejarah mengatakan kesukaran Rasulullah menghadapi situasi itu.

“Hudud ialah hak-hak Allah, jadi sembahyang juga merupakan sebahagian daripada pelaksanaan hudud. Apa pelik sangat pasal hudud?” soalnya.

Beliau berkata, persoalan sama ada PAS mampu laksanakan hudud atau sebaliknya selagi bersama pakatan tidak menjadi agenda utama perlu dibincangkan buat masa kini.

“Jika ada sebarang pertikaian mengenai hudud dalam apa jua bentuk sekalipun yang melibatkan PAS, PKR dan DAP itu hanya suara-suara politik bagi mengelirukan kefahaman rakyat di samping untuk memecahkan hubungan baik Pakatan,” katanya.

Harakahdaily/-