18 September 2010

Peguam Negara diminta dedah kes bunuh berprofil tinggi

8 Syawal 1431 H
Oleh: Mohd Ali Hashim

GEORGETOWN, 17 Sept: Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh meminta Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mendedahkan stastik sebenar kes pembunuhan berprofil tinggi sejak 1974 hingga kini.

Menurutnya, pendedahan statistik tersebut yang merekodkan kes pembunuhan di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak haruslah diserahkan sebelum pembentangan Bajet dilakukan oleh Datuk Seri Najib Razak pada 15 Oktober nanti.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu amat mengharapkan statistik yang akan diberikan nanti mempunyai maklumat terperinci merangkumi bilangan laporan polis yang diterima, jumlah kes yang telah dibawa ke mahkamah, angka sebenar kes yang berjaya diselesaikan serta kes mereka yang dituduh tetapi telah dibebaskan.

"Statistik ini amat penting untuk makluman umum. Ia juga menjadi satu perkara penting untuk dibahaskan dalam persidangan Dewan Rakyat yang akan datang.

"Dalam pada itu, bagi kes yang melibatkan jutawan kosmetik terkenal, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga yang lain, yang menjadi mangsa kepada pembunuhan kejam dan tidak berperikemanusiaan itu, ianya harus diadili dengan sebaik mungkin oleh mereka yang berpengalaman," katanya dalam sidang media semalam.

Harakahdaily/-

Cuti Umum 16 September , Kejayaan Pakatan Rakyat

8 Syawal 1431 H
Oleh: YB V.Sivakumar

Malaysia terbentuk pada 16 September 1965. Tetapi, sehingga tahun lalu tarikh itu tidak diberi keistemewaan oleh kerajaan. Hari kemerdekaan disambut dengan meriah pada tiap-tiap tahun pada 31 Ogos.

Jalur Gemilang dipasang diseluruh negara. Tetapi, tidak ada iktibar yang sama untuk menyambut Hari Malaysia yang tidak kurang pentingnya pada 16 September. Bagi Sabah dan Sarawak, tarikh 16 September mempunyai makna yang lebih besar daripada 31 Ogos.

Walau bagaimanapun, 45 tahun telah berlalu untuk kerajaan sedar bahawa tarikh 16 September mempunyai ertikata yang sangat mendalam di sanubari setiap rakyat Malaysia.

Pada 16 September inilah lahirnya nama baru untuk tanah air kita ‘Malaysia’.

Pakatan Rakyat mengiktiraf sepenuhnya Hari Malaysia untuk disambut meriah oleh seluruh rakyat negara ini termasuk Sabah dan Sarawak.

Tekanan dan desakan telah diberikan oleh Pakatan Rakyat terhadap kerajaan untuk membuka tirai menyambut Hari Malaysia yang penuh bermakna ini.

Atas desakan tersebut, maka pada tahun ini kerajaan telah mengisytiharkan 16 September sebagai hari cuti umum.

Kerajaan telah sedar dan menjadikan pertikaian yang diungkitkan oleh Pakatan Rakyat sebagai satu pedoman untuk mengambil tindakan ini.

Kerajaan juga mengaku kesilapan yang telah dilakukan olehnya selama 45 tahun tidak memberi keutamaan yang sewajarnya kepada Hari Malaysia. Pemberian cuti umum pada 16 September ini merupakan satu kejayaan besar kepada usaha Pakatan Rakyat menanam Semangat Malaysia dikalangan rakyat jelata.

Semangat Malaysia ini adalah penting kerana negara ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Untuk menjamin kesejahteraan dan kemajuan negara, Semangat Malaysia ini akan menjadi tunggak perpaduan.

Kita tidak mahu rakyat negara ini pecah belah. Kita tidak mahu pihak-pihak tertentu mengancam perpaduan masyarakat dalam negara ini. Kita mahu lihat negara ini aman dan damai. Rakyat hidup secara muhibbah tanpa hasad dengki dan bermusuhan.

Inilah aspirasi yang perlu ditanam didalam jiwa setiap rakyat di negara ini. Kita juga harus mengutuk sekeras-kerasnya orang-orang yang mahu mencemarkan perpaduan negara ini .

Sehubung dengan itu Pakatan Rakyat Batu Gajah telah menganjurkan sambutan Hari Malaysia yang bertema ‘Malaysia Untuk Rakyat Malaysia’ . Sambutan ini dibuat pada pukul 10 pagi di Cawangan DAP Kampung Baru Bemban, Batu Gajah.

Turut hadir bersama ialah V.Sivakumar (ADUN Tronoh), Lim Pek Har (ADUN Menglembu), YDP PAS Batu Gajah Ustaz Ismail, Wakil PKR saudara Anthony, Pengerusi DAP dari cawangan-cawangan DUN kawasan Tronoh, ahli-ahli dan penyokong-penyokong Pakatan Rakyat.

Program dimulakan dengan jamuan ringan diikuti dengan ucapan pimpinan tempatan untuk menyemarakan Semangat Malaysia.

Dalam ucapan V.Sivakumar , ADUN Tronoh, beliau berkata, “ Kita lahir di Malaysia, kita juga akan mati di Malaysia, kita tidak ada negara lain melainkan Malaysia. Oleh, itu kita harus setia dan mempunyai tanggungjawab untuk menyelamatkan Malaysia daripada segala bentuk ancaman.

Kita mahu melihat Malaysia yang bebas daripada jenayah, rasuah, kronisme dan nepotisme. ”

Beliau juga melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan berkata, “Bila saya berada di Malaysia, saya dipanggil India, Bila saya pergi ke India, saya dipanggil Malaysia….

siapa saya?” Adakah 1Malaysia yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri akan berjaya mencari satu penyelesaian untuk masalah ini yang dihadapi oleh sebilangan besar rakyat yang dilahirkan di negara ini? Atau pun 1Malaysia hanya sekadar mata kail untuk memancing undi dalam pilihanraya akan datang?.

Berkunjung

8 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Hak seorang muslim atas muslim lainnya ialah lima, iaitu menjawab ucapan salam, menjenguk orang sakit, mengantar jenazah, memenuhi undangan, dan mendoakan orang yang bersin” (Muttafaq `Alaih).

Begitu sempurnanya ajaran Islam. Pembahasannya mencakup segala aspek kehidupan dan kematian, termasuk perihal saling mengunjungi. Anjuran ini kenyataannya boleh menghasilkan banyak manfaat.

Berkunjung di saat sehat boleh membantu melekangkan rasa dendam yang sudah lama berkarat di antara manusia. Bagi hubungan yang tidak bermasalah, berkunjung akan semakin kuat mengeratkan hubungan yang sudah terjalin.

Berkunjung di saat sakit, akan membantu meringankan sedikit penderitaan. Paling tidak, ada tempat untuk berbagi kisah tentang bagaimana penderitaannya. Kesempatan itu juga boleh menjadi saat-saat untuk saling meminta maaf.

Bukan hanya itu, yang mengunjunginya akan dibuat teringat akan nasibnya suatu ketika, terutama di saat suatu penyakit hinggap pada tubuhnya.

Demikian juga berkunjung di saat kematian tiba, sangat besar manfaatnya. Kematian pasti mengingatkan bahawa kematian pasti akan menimpa setiap yang bernyawa, lambat atau cepat.

Bila ingatan yang demikian muncul, maka, menurut Imam Al-Ghazali, manusia akan memepersiapkan bekal kebaikan dan tidak rakus akan dunia. Namun yang sangat dilarang adalah berkunjung untuk tujuan tidak baik. Misalnya, berkunjung untuk menumpahkan janji-janji kebaikan, namun kemudian janji-janji itu tidak ingin ditepati.

Balasan

8 Syawal 1431 H
Oleh: Jarjani Usman

“Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya, kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya” (QS. At Tiin: 4-6).

Tidak terhitung jumlah rahmat Allah di dunia ini yang diperuntukkan bagi kebaikan manusia. Di antaranya, dalam buah-buahan dan sayur-sayuran terkandung berbagai macam makanan dan obat-obatan yang sangat penting bagi kesehatan tubuh manusia.

Semua itu disediakan percuma bagi siapapun yang menginginkannya. Seharusnya, tidak ada manusia yang tidak malu bila tidak berterima kasih kepada Allah.

Namun, tidak sedikit dari manusia yang bukan hanya tidak mahu berterima kasih, tetapi juga kadangkala dengan angkuh membalas segala hal yang telah dinikmati dengan berbuat kemungkaran.

Berbagai sudut kehidupan kerap dijadikan arena untuk memacu kemungkaran dari waktu ke waktu. Sampai-sampai dalam kesempitan orang miskin atau kaum dua'fa pun dicari kesempatan untuk berbuat kejahatan.

Demikian jahatnya manusia yang sudah mati perasaan, sehingga tidak mampu lagi merasa belas kasihan kepada orang lain saat berbuat aniaya sesama insan.

Mencermati perilaku seperti ini, maka sangat wajar bila dalam Al-Qur’an, manusia disebut dengan beberapa sebutan tidak baik. Di antaranya, manusia disebut amat kurang berterima kasih. Manusia juga dikatakan amat zalim.

Juga manusia disebut berderajat amat rendah. Dan berbagai label lain, yang seharusnya membuat manusia amat malu. Namun demikian, disebutkan ada manusia yang senantiasa berderajat tinggi. Iaitu, orang beriman dan beramal salih.

Majlis Peguam: Lebih 30 dipecat setiap tahun

8 Syawal 1431 H

Majlis Peguam Malaysia meminta polis mengambil tindakan tegas terhadap peguam menyeleweng dan terlibat dalam sebarang kes pecah amanah atau penggubahan wang haram.

Presidennya, K Ragunath berkata setiap tahun, kira-kira 30 hingga 40 peguam dipecat oleh Majlis Peguam dan laporan polis terhadap mereka juga telah dibuat, namun tiada sebarang tindakan lanjut diambil.

"Dalam Majlis Peguam, kita memiliki sebuah lembaga disiplin yang tegas dan berdikari bagi menangani peguam menyeleweng, namun, hanya itulah kuasa yang kami ada, kami tidak berkuasa menghantar mereka ke penjara.

"Isu kami di sini ialah polis lambat bertindak dalam kes sedemikian. Kami bersedia membantu polis jika mereka ingin mengambil tindakan rasmi terhadap peguam menyeleweng," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Fasa Keenam: Badan Kehakiman dan sambutan Festival Jalanan Hari Malaysia di Kuala Lumpur, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ali Rustam yang menyarankan supaya Majlis Peguam mengaudit anggotanya bagi memastikan mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.

Saranan itu dibuat berikutan pembunuhann kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, yang dilaporkan didalangi dua adik-beradik peguam.

Selain itu, Ragunath menggesa pihak media dan rakyat di negara ini agar memberi ruang kepada polis melengkapkan siasatan dan menyelesaikan isu berkenaan, tanpa melemparkan sebarang tuduhan sehingga mereka yang ditahan berhubung kes itu didapati bersalah.

"Apa yang ingin saya tekankan di sini ialah isu serta dakwaan yang disiarkan pihak media mengenai kes ini mungkin boleh menyebabkan keadaan menjadi bahaya dan prejudis.

"Jika anda inginkan sabitan (dalam kes pembunuhan ini), anda mesti memberikan polis sedikit ruang bagi mereka melengkapkan siasatan. Jika terdapat sebarang kekaburan (dalam kes ini), kita tidak mahu berlaku situasi di mana seseorang itu telah didakwa di mahkamah dan kemudian terpaksa dibebaskan atas sebab-sebab teknikal.

"Jadi, tolonglah, saya mohon kepada pihak media dan orang ramai agar memberikan polis sedikit ruang, mereka telah melakukan tugas yang cemerlang apabila mampu menyelesaikan kes berkenaan, namun, mereka yang ditahan adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya," katanya.

Sosilawati bersama tiga lelaki iaitu pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi, Ahmad Kamil Karim, 32, sebelum ini dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting, Selangor untuk urusan pembelian tanah.

Siasatan kemudiannya mendedahkan keempat-empat mereka dibunuh di sebuah ladang ayam di Sungai Gadong dekat Tanjung Sepat, Selangor sebelum mayat mangsa dibakar dan abunya dibuang ke dalam sebatang sungai di kawasan berhampiran ladang milik peguam bergelar Datuk itu.

Malaysiakini/-

PAS pertahan prinsip adil untuk semua etnik

8 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mempertahankan prinsip bahawa kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama sesuai dengan keadilan sebenar yang diajar agama Islam.

Dalam perutusan Hari Malaysia, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, PAS komited untuk menjadikan kepelbagaian etnik dalam negara ini sebagai asas memperkukuhkan negara Malaysia yang dicintai ini.

"PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al-Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w.

,bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri," katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily hari ini.

Sambil mengucapkan Selama Hari Malaysia buat semua rakyat negara ini, beliau turut mengingatkan bahawa sikap memperlekehkan bangsa lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi oleh semua bangsa dan agama.

Selain itu menceroboh dan menghalang hak seseorang juga adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman.

Mengulangi pendiriannya dalam ucapannya di Muktamar Agung PAS yang lalu, beliau berkata kepelbagai etnik termasuk yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama adalah satu kelebihan dan keistimewaan yang perlu dimanfaatkan.

"Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat," katanya.

Harakahdaily/-

PAS gesa siasat dakwaan pegawai polis cuai

8 Syawal 1431 H

KUALA LUMPUR, 16 Sept: PAS mahu tindakan sewajarnya diambil terhadap segelintir anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang didakwa cuai dan tidak serius dalam menyiasat beberapa laporan kes kehilangan.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata parti itu memandang berat kenyataan yang mengatakan ada laporan kehilangan tidak disiasat dengan serius.

"PAS mengharapkan supaya pegawai yang cuai terhadap laporan yang dibuat terhadap beberapa kes pembunuhan dan menghilangkan mangsa oleh kumpulan mafia ini mesti disiasat sama. Apa makna laporan dibuat jika siasatan tidak dibuat dengan cara yang serius," katanya.

Ujarnya lagi, PAS meletakkan kepercayaan terhadap jaminan yang diberikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar untuk mengambil tindakan terhadap pegawai polis yang cuai apabila laporan kehilangan yang tidak siasat dengan serius.

"Ini adalah merupakan ujian awal ke atas Ketua Polis Negara yang baru," katanya lagi sambil menyifatkan sangat malang jika perkara tersebut benar-banar berlaku.

PAS, jelasnya tidak mahu lagi melihat akan ada lagi pembunuhan bersiri seperti yang berlaku kepada Allahyarhamah Sosilawati dan tiga yang lain.

Kecekapan polis, ujarnya juga sedang dipersoal apabila rakyat tertanya-tanya kenapa tindakan pantas tidak dibuat sebelum ini seperti mana tindakan pantas terhadap kematian Allahyarhamah Sosilawati Lawiya.

Beliau merujuk kepada laporan kehilangan seorang jutawan India, Allal Kathan Muthuraja, 34, yang dilaporkan hilang di Malaysia, 18 Januari 2010 selepas menemui suspek di Banting atas urusan perniagaan.

Sumber berkata, suspek itu juga dikatakan terbabit dalam pembunuhan seorang wanita bernama T Selvi, 44, yang juga isteri kepada pemilik bengkel di hadapan rumahnya, tahun lalu. Mangsa dikatakan dibunuh selepas berselisih faham berhubung pinjaman sejumlah wang dengan suspek utama, seorang peguam bergelar Datuk.

"PAS tidak mahu negara ini dikuasai oleh “mafia” yang menganggu ketenteraman negara dan keharmonian rakyat di negara ini," katanya.

Sehubungan itu, PAS mengharapkan segala laporan yang pernah dibuat kepada polis mengenai kehilangan misteri perlu diselongkar kembali, pegawai yang terlibat perlu disiasat untuk menjaga maruah institusi polis.

Harakahdaily/-

Negara hancur jika federalisme tidak dipatuhi

8 Syawal 1431 H
Oleh: Wartawan Kita

TANAH MERAH, 16 Sept: Konsep federalisme hendaklah terus dipertahankan bagi memastikan kemerdekaan negara benar-benar menuju ke arah kematangan.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, biar pun berlaku perbezaan fahaman dan ideologi politik di kalangan masyarakat semangat federalisme hendaklah diperkukuhkan.

“Konsep federalisme hendaklah dipatuhi biar pun ada perbezaan ideologi dalam kehidupan bermasyarakat.

“Kalau konsep itu tidak mampu kita patuhi, maka lambat laun negara akan menuju ke arah kehancuran,” katanya pada sambutan Hari Malaysia dan Jamuan Raya peringkat negeri di padang Majlis Daerah Tanah Merah di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Aiseri Alias, anggota-anggota Exco kerajaan negeri, wakil-wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Pelbagai program diadakan sempena sambutan Hari Malaysia peringkat negeri termasuk perarakan motosikal berkuasa besar, perarakan Jalur Gemilang dengan diiringi pancaragam tentera.

Selain itu acara menaikkan Jalur Gemilang, tarian singa, deklamasi sajak dan gerai-gerai menyediakan pelbagai jenis juadah.

Ahmad juga berkata, agenda ummah hendaklah diberi perhatian utama dengan memperkukuhkan jati diri.

“Kita hidup dalam masyarakat pelbagai kaum hendaklah sentiasa memelihara keharmonian dan saling hormat menghormati di antara satu sama lain.

“Usaha yang baik hendak diteruskan bagi memastikan kehidupan ummah terus cemerlang,” katanya.

Harakahdaily/-

Pakatan yakin menang pilihan raya Sarawak

8 Syawal 1431 H
Oleh: Hafiz Irwan

KOTA BHARU, 16 Sept: Pakatan Rakyat (PR) yakin mampu menewaskan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Sarawak jika amalan demokrasi dilaksanakan dengan cara yang betul.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, PR bukan sahaja mampu menguasai Sarawak sahaja, sebaliknya seluruh Semenanjung sekiranya negara benar-benar mengamalkan prinsip demokrasi.

"Saya yakin Pakatan Rakyat ini betul, dan sekiranya negeri-negeri kita berdiri atas demokrasi yang betul, tidak ada rasuah, tidak ugut orang, maka tidak ada sebab rakyat hendak tolak Pakatan.

"Usahkan di Sarawak, di sini pun saya yakin Pakatan boleh menang kalau tiada amalan rasuah ataupun unsur ugutan," katanya ketika ditemui selepas melawat modul bangunan baru kondominium di Kubang Kerian, dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas tahap keyakinan PR dalam menghadapi pilihan raya negeri Sarawak yang dijangka bakal diadakan pada tahun ini.

Desas-desus pilihan raya Sarawak semakin hampir dan mula menjadi perhatian umum berikutan kenyataan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Datuk Sri Mohamad Asfia Awang Nassar, yang tidak menolak kemungkinan percutian Ketua Menteri, Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke luar negera adalah untuk mencari ilham bagi pembubaran Dun.

Tempoh penggal Dun Sarawak akan tamat pada Julai tahun depan.

Bangunan kondominium setinggi 20 tingkat yang bakal dibina di tapak seluas kira-kira satu ekar itu akan dikendalikan pemaju, Ghazziz Sdn Bhd.

Kerja-kerja pembinaannya akan dimulakan pada Ahad ini dan dijangka siap pada tahun 2012.

Harakahdaily/-

'Khir Toyo nak tunjuk macho'

8 Syawal 1431 H

Walaupun berminat, bekas menteri besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo tidak akan dapat merampas kembali kerusi tersebut daripada Tan Sri Khalid Ibrahim, kata setiausaha kanan menteri besar.

"Kalau dia (Dr Mohamad Khir) berminat pun, dia tidak akan dapat. Untuk kelihatan macho dan berlapang dada, dia katalah, dia tidak minat," kata setiausaha politik menteri besar Selangor Faekah Husin (kanan) kepada TV Selangor.

Semalam, Malaysiakini melaporkan, Ketua Pembangkang Dr Mohamad Khir tidak lagi berminat kembali menjadi menteri besar Selangor sekiranya BN berjaya merampas kembali negeri itu daripada Pakatan,

Sebaliknya beliau menyarankan supaya jawatan berkenaan diserah kepada pemimpin yang lebih layak di kalangan BN, jika berjaya merampas semula negeri itu.

Dr Khir memberi alasan, beliau tidak mahu mewarisi masalah-masalah yang berlaku di negeri itu selepas Pakatan menubuhkan kerajaan di Selangor kerana ia ‘sangat teruk' dan tidak dapat dipulihkan dalam jangka masa singkat.

Bercakap kepada saluran televisyen dalam talian kerajaan negeri semalam, Faekah juga berkata label "sangat teruk" yang dinyatakan itu Dr Mohamad Khir itu sepatutnya dituding kepada dirinya sendiri kerana Pakatan baru dua tahun mentadbir negeri itu.

Faekah berkata, agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilaksanakan kerajaan Pakatan di Selangor, terpaksa menempuh jalan sukar berikutan masalah-warisan kerajaan BN, khususnya ketika pimpinan Dr Mohd Khir (kiri) sendiri.

Bercakap kepada TV Selangor, Faekah percaya kenyataan Dr Khir itu hanya bertujuan melindungi keinginan sebenar.

"Saya tidak perlu risau pun dia tidak berminat. Dia minat pun, dia tidak akan dapat dengan cara mereka menguruskan Selangor selama 50 tahun ini" katanya yang percaya rakyat Selangor sudah bosan dengan corak kepimpinan Umno-BN.

Sementara itu, PAS Selangor pula berpendapat isu sama ada Dr Mohamad Khir berminat atau tidak untuk kembali menjadi menteri besar tidak berbangkit kerana telah membuat keputusan menukar kerajaan.

"Beliau (Dr Mohd Khir) mungkin tidak menyedarinya dan masih mengagung-agungkan era kepimpinan beliau, namun hakikatnya semasa beliau (menjadi) MB, api kemarahan rakyat meluap-luap dan diterjemahkan langsung melalui peti undi pada pilihan raya umum ke-12, yang mengakibatkan Umno dan BN hilang kuasa di Selangor," kata Ketua penerangannya Roslan Shahir Mohd Shahir.

Malaysiakini/-

Kesatuan wartawan tuntut media lebih terbuka, bebas

8 Syawal 1431 H

Kerajaan perlu membenarkan media mengambil sikap lebih terbuka dan bebas mendebatkan sesuatu perkara termasuk isu sensitif, untuk memberi kefahaman yang lebih jelas kepada semua pihak, kata presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia Norila Daud.

Beliau berkata NUJ percaya langkah tersebut mampu melahirkan rakyat yang berpengetahuan dan menghargai perbezaan pendapat itu sebagai satu asas penting yang membolehkan negara mencapai kemajuan setelah 53 tahun merdeka.

"Adalah lebih sihat perkara yang walaupun dianggap dan diklasifikasikan sebagai sensitif, diperjelaskan dan diperdebatkan dalam media dengan cara beretika, daripada membiarkan rakyat mengambil tindakan sendiri kerana tidak mendapat gambaran jelas serta maklumat tepat mengenai sesuatu perkara itu.

"Kebebasan pembaca untuk berdebat dan memberi pandangan mengenai sesuatu isu tidak boleh disekat di akhbar-akhbar yang dikawal oleh Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, berikutan keterbukaan dan kebebasan mereka berbuat demikian di portal-portal dan akhbar online," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong bahawa kementerian itu akan merangka garis panduan penerbitan baru, Norila berkata ia akan menjadikan akhbar yang dikawal akta berkenaan tidak lagi relevan, dan secara perlahan mampu membunuh industri persuratkhabaran itu sendiri.

"Dengan ini, NUJ berpendapat sudah sampai masanya Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dipinda supaya penerbit tidak perlu lagi memohon lesen penerbitan akhbar dan majalah.

"NUJ juga berpendapat pihak yang mengancam ketenteraman awam dan menjejaskan keharmonian rakyat menerusi penulisan dan penyiaran, mesti didakwa di bawah undang-undang sedia ada, bagi membolehkan mereka membuat pembelaan diri di mahkamah," katanya.

Semalam, Lee berkata garis panduan baru itu dirangka bagi memastikan penerbit memahami tanggungjawab serta peranan mereka sepenuhnya.

Katanya, antara perkara yang perlu dilakukan penambahbaikan ialah memperjelaskan dengan lebih terperinci peraturan dan syarat permit serta peruntukan di dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301).

Norila berkata tidak menjadi kesalahan sekiranya penerbit atau akhbar tertentu menghurai dan memberitahu pembaca tentang keadaan sebenar jika berlaku gangguan terhadap mana-mana agama, budaya atau tatatertib oleh pihak yang tidak memahami sensitiviti sesuatu kaum.

"Menggunakan isu sesuatu berita dan rencana itu boleh membawa kesan kepada keselamatan dan ketenteraman awam, tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan hari ini sebagai syarat untuk mengetatkan dan mengawal penerbitan berita.

"Kekayaan budaya yang dilahirkan daripada kepelbagaian bangsa, agama dan keturunan di negara ini tidak akan menuju ke satu tahap kemajuan, sekiranya kementerian terus menggunakan akta itu sebagai alasan untuk mengetatkan syarat-syarat penerbitan sehingga menyukarkan penyaluran maklumat sebenar," katanya.

Malaysiakini/-

17 September 2010

Perutusan Hari Malaysia Presiden PAS

7 Syawal 1431H.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dalam negara kita bersempena dengan penubuhan sebuah negara yang dinamakan Malaysia pada 16 September 1963 yang lalu.

Sebagaimana yang telah saya nyatakan sebelum ini dalam ucapan saya di Muktamar Agung PAS yang lalu, saya menghuraikan bahawa kita adalah kelompok manusia yang sangat bertuah dan unik, kerana berada dalam negara Malaysia yang mengandungi kepelberbagai etnik, yang berasal dari berbagai bangsa dan datang daripada berbagai negara. Ini pula ditambah dengan kemeriahan etnik yang wujud di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

Kerencaman ini sekiranya diolah dengan baik akan menjadikan negara kita ini sebagai satu kuasa yang hebat, sebaliknya sebarang kesilapan akan membawa padah yang besar. Inilah yang kita lihat setelah 47 tahun negara Malaysia diwujudkan, dengan kelemahan pimpinan UMNO-BN yang sepatutnya sudah membawa negara tercinta ini berdiri teguh dan mampu untuk menjadi pelindung kepada rakyat.

Asas yang perlu dipertahankan ialah kesemua etnik yang membina negara Malaysia ini perlu dilayan dengan adil dan saksama, kerana Islam menekankan bahawa kecenderungan untuk memperlekehkan orang lain adalah sifat buruk yang mesti dijauhi.

Menceroboh dan menghalang hak seseorang adalah amat bercanggah dengan prinsip keadilan Islam manakala sikap berlaku adil pula adalah merupakan ciri taqwa orang yang beriman. Adalah sesuatu yang janggal apabila seseorang itu mengaku bertaqwa kepada Allah tetapi gagal melaksanakan keadilan yang sebenar.

PAS bukan sahaja akan mempertahankan hubungan baik pelbagai kaum ini dengan berasaskan sikap Islam sebenar yang dinyatakan oleh Al Quran dan ditunjukkan oleh Rasulullah SAW, bahkan PAS komited untuk menjadikan kewujudan pelbagai etnik ini sebagai rempah yang boleh memperkasakan negara Malaysia itu sendiri.

Allah SWT menyeru agar hubungan seumpama ini sentiasa dibentuk sebagaimana firman Nya dalam Surah al Hujuraat ayat 13 yang bermaksud:

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal”

Selamat Hari Malaysia untuk semua rakyat Malaysia.

Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Pemilihan PKR : Azmin Ali tanding timbalan presiden

7 Syawal 1431H.

Azmin Ali akhirnya menawarkan diri bertanding kerusi timbalan presiden PKR setelah penyandangnya Syed Husin Ali membuat keputusan tidak mempertahankan jawatan itu.

"Setelah mengambil kira pandangan pimpinan tertinggi parti dan anggota-anggota parti termasuk perbincangan terus dengan Dr Syed Husin Ali; saya dengan penuh rasa tawaduk dan rendah hati ingin menawarkan khidmat saya sebagai timbalan presiden," katanya.

Azmin - kini naib presiden - juga berjanji akan berganding bahu untuk menggilap idealisme, memperkukuh kesetiaan dan memperkasa organisasi bersama pucuk pimpinan dan anggota parti yang lain.

"Saya turut berazam untuk memastikan pemilihan kepimpinan (PKR) 2010 berlangsung dalam suasana sihat dan (penuh) semangat kekeluargaan di sepanjang proses kempen dan pemilihan parti.

Pengumuman Azmin itu hari ini dengan sendirinya melengkapkan desas-desus pertembungannya dengan penyelaras Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim yang turut mengumumkan kesediaannya merebut jawatan yang sama sebelum ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Azmin yang juga ahli parlimen Gombak mengambil kesempatan menyatakan penghargaan dan terima kasih terhadap Syed Husin atas sumbangan dan perjuangan berterusannya dalam PKR.

"Dr Syed Husin Ali beristiqamah dalam perjuangan. Sifat istiqamah beliau akan terus menjadi inspirasi kepada anggota-anggota parti dalam meneruskan perjuangan ini," katanya.

Sementara itu, "selaku anggota muda parti yang jatuh dan bangun bersama perjuangan lebih sedekad", Azmin turut mengulangi sokongan kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua umum dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail selaku presiden parti itu


Sidang khas tetapkan elaun seumur hidup Sultan Ismail

7 Syawal 1431H.

KOTA BHARU 15 Sept. - Kerajaan Kelantan akan mengadakan persidangan khas Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menetapkan jumlah elaun seumur hidup yang bakal diterima oleh Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra setelah tidak lagi menjadi sultan di negeri ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Aiseri Alias berkata, persidangan itu akan diadakan sebelum akhir bulan ini mengikut Perkara 23A Undang-undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan (bahagian kedua) yang disebut "Undang-undang Perlembagaan Tubuh" dalam Perwawai ini.

Bercakap pada persidangan media di pejabatnya di sini hari ini, beliau turut menafikan kenyataan Anggota Majlis Perajaan Negeri (MPN), Datuk Shukri Mohamed yang disiarkan di akhbar hari ini menyebut gelaran Tuanku (kepada Sultan Ismail) dan Tengku kepada (Raja Perempuan Anis) digugurkan.

"Beliau (Shukri) telah menafikan sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan, beliau telah menulis surat kepada akhbar tersebut hari ini meminta menarik balik kenyataan tersebut dan beliau telah membuat laporan polis," katanya.

Sebaliknya Mohd. Aiseri berkata, gelaran "Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan" akan diganti kepada "Duli Yang Maha Mulia Sultan" setelah tidak lagi menjadi Sultan Kelantan.

Beliau meminta semua pihak memberi perhatian kepada perkara itu bagi mengelak sebarang kekeliruan di sebalik isu yang berlaku di Kelantan sekarang.

Mengikut Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (bahagian kedua) yang disebut "Undang-undang Perlembagaan Tubuh" dalam Perwawai ini, dalam Perkara 23A yang dipinda pada 2 September lepas perkara 23(A)(a) sekira Raja telah diganti dengan seorang pengganti mengikut Fasal (1) maka baginda hendaklah disifatkan tidak lagi menjadi raja dan telah menarik diri daripada negeri ini dan hak-hak dan tuntutan.

Bagaimanapun dengan syarat bahawa hendaklah baginda berhak mendapat elaun seumur hidup, akan dikenakan daripada Kumpulan Wang Yang Disatukan yang hendaklah ditetapkan oleh Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata elaun itu tidak kurang daripada separuh jumlah yang ditetapkan bagi perbelanjaan hidupnya sebagai sultan semasa baginda memerintah.


Sambutan Hari Malaysia ketika jenayah sedang memuncak !

7 Syawal 1431H.
Drs. Khalil Idham Lim

Terlebih dulu saya mengucapkan Selamat Hari Malaysia sempena dengan tarikh keramat 16September 1963 apabila Sabah dan Sawarak bergabung dengan Semenanjung malaysia pada tarikh itu.

Perlu diingatkan tarikh 16 September pada awalnya dicadangkan oleh DS. Anwar Ibrahim supaya dijadikan cuti umum , Semasa itu beliau yang juga Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), mencadangkan supaya pimpinan di lima negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat mengisytiharkan 16 September ini sebagai cuti umum.

Anwar berkata, cuti umum itu wajar kerana 16 September adalah tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia dan ia merupakan hari bersejarah, sama seperti 31 Ogos.

Cadangan itu pada mulanya mendapat respon positif dari Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini menyatakan Kelantan setuju dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadikan 16 September iaitu tarikh ulang tahun penubuhan Malaysia sebagai cuti umum.

Pimpinan UMNNO dan BN pula antaranya Timbalan Menteri Sumber Manusia pada masa itu , Datuk Noraini Ahmad berkata, cadangan pemberian cuti umum pada 16 September tidak sesuai kerana negara ini sudah pun mempunyai cuti kemerdekaan iaitu pada 31 Ogos.

”Lagi pun negara ini sudah mempunyai terlalu banyak cuti umum, bagi saya memadai dengan cuti 31 Ogos,” katanya.

Selain itu cadangan itu dituduh oleh pimpinan BN sebagai satu bentuk muslihat untuk membeli ‘perasaan’ rakyat Sabah dan Sarawak.

Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Vui Keong berkata, Anwar cuba menarik perhatian masyarakat di kedua-dua negeri itu dengan sengaja menjadikan tarikh kemasukan Sabah dan Sarawak ke dalam Persekutuan sebagai agenda perjuangannya.

Alhamdulillah akhirnya Pengiktirafan Hari Malaysia dan sambutan peringkat kebangsaannya yang julung kali diadakan pada tahun ini, disifatkan oleh pimpinan BN adalah untuk memastikan sentimen positif bukan saja pada tarikh merdeka iaitu 31 Ogos tetapi juga bagi tarikh 16 September, setiap tahun.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim sebagai berkata mulai tahun ini, penonjolan ini sudah diberi dan sentimen ini harusdi kekalkan pada masa akan datang.

Hari ini buat pertama kalinya dijadikan hari Cuti Umum dari senarai panjang cuti umum yang telah sedia ada di Malaysia.

Namun yang paling menyedih ialah sambutan kali pertama Hari Malaysia ini disambut dalam keadaan jenayah dalam negara sedang memuncak dan berada ditahap yang membimbangkan.

Walaupun saya masih percaya dan yakin dengan kecekapan dan kemampuan pasukan keselamatan mengawal keselamatan negara , tetapi semuanya perlu ingat bahawa sesuatu yang diluar kotak fikiran yang waras telah banyak kali berlaku dinegara kita.

Bermula dengan kejamnya pembunuhan terhadap seorang wanita dari Monggolia, sehinggalah yang setaraf dengannya kes pembunuhan jutawan kosmetik beberapa hari sebelum tibanya hari malaysia dan dalam suasana Hari Raya Idul fitri yang disambut meriah.

Paling membimbangkan apabila senarai panjang kes berprofil tinggal berkaitan jenayah, rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya semacam "dilindungi" oleh tangan-tangan penguasa yang sedang berada ditampuk pemerintahnnya sekarang.

Kerana itulah marilah kita jadikan Hari Malaysia pada hari ini adalah yang pertama dan kali terakhir ianya di sambut oleh kerajaan BN. Pada tahun hadapan harapan besar kita ialah hari malaysia untuk sekian kalinya disambut oleh Kerajaan Pakatan Rakyat yang berada ditampuk pemerintahan sebagaimana yang diharapkan.

Cukuplah Malaysia yang hancur dan musnah dibawah BN selama 53 tahun kemerdekaan dan sejak tahun 1963 tertubuhnya Malaysia, namun rakyat terus berada dalam kesudahan dan dijajah oleh UMNO dan BN yang menggantikan penjajah yang telah lama pergi.

Pakatan Rakyat pasti akan membawa sinar baru untuk Malaysia....