14 Oktober 2010

Bersatu bukan mesti berada dalam satu parti

05 zulkaedah 1431 H
0leh: Ahmad Baei Jaafar

Saya percaya ramai yang bersetuju dengan pandangan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali yang katanya, perpaduan nasional tidak akan tercapai selagi bumiputera dan orang Melayu tidak bersatu. Realiti yang berlaku pada hari ini cukup menguatkan hujahnya.

Memang pun, kalau orang Melayu bersatu, cakap satu bahasa, bertindak satu nada, apa lagi yang menghalang mereka berpadu. Tidak lagi caci mencaci, hina menghina, umpat mengumpat dan fitnah memfitnah, dan jatuh menjatuhkan, apakah ada lagi pergeseran sesama mereka?

Saya yakin kalau beginilah sikap orang Melayu (tidak termasuk bumiputera di Sabah dan Sarawak), bukan sahaja Melayu menjadi tenang, malah orang bukan Melayu akan hormat kepada orang Melayu. Malah dengan keadaan itu mereka akan tertarik kepada Islam yang diamalkan oleh orang Melayu.

Walau bagaimanapun teori yang dibawa itu menimbulkan sedikit kebimbangan, bolehkah bersatu itu direalisasikan dalam masa terdekat. Siapakah yang boleh menjadi penggerak utama yang cakapnya boleh menjadikan orang Melayu bersatu?

Adakah Datuk Ibrahim Ali layak di tempat itu? Secara peribadi, saya tidak yakin kebolehannya ke arah itu kerana realiti perjuangannya tidak pernah menampakkan hasil yang baik. Pendek kata, cakap tak serupa bikin. Lain yang dicakapkan lain pula yang dibuatnya, akhirnya masyarakat menjadi kelam kabut.

Menyentuh isu ini suka saya hendak ingatkan Datuk Ibrahim Ali (kalau beliau tidak membaca maka sesiapa yang hampir dengan beliau bolehlah sampaikan kepadanya), kalau hendak mengajak orang Melayu bersatu, beliau kenalah ubah perangai buruknya. Demikian itulah kunci kegagalannya selama ini.

Antara yang boleh saya cadangkan kepadanya ialah:

1. Hentikan kutuk orang Melayu yang tidak sehaluan dengannya.

2. Mana yang tidak betul pada orang Melayu itu, jumpa empat mata dan betulkan segera.

3. Komunikasi yang berkesan ialah saling memberi dan menerima pandangan yang baik untuk ummah.

4. Tidak berat sebelah dalam memberi pandangan hanya kerana kita bersetuju dengan satu kumpulan.

Selagi Ibrahim Ali tidak membuat perubahan itu tidak perlulah beliau bercakap soal perpaduan. Nanti semua pihak akan berasa meluat dan jijik untuk mendengarnya. Apakah rasionalnya pandangan saya ini? Cuba anda menilai sendiri, dalam bercakap fasal perpaduan, dia boleh secara terang-terangan mengutuk PAS dan PKR. Tetapi tidak pula mengutuk UMNO atas dasar nasihat.

Ibrahim bercakap di Forum Perpaduan Melayu Dalam Menjamin Masa Depan Bangsa, peringkat Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini Isnin lalu cuba menyalahkan PAS kerana bersama DAP. Tetapi tidak salahkan UMNO yang bersama dengan MAC dan MIC, padahal kedua-duanya ada persamaan.

Jadi, Ibrahim Ali perlu menjadi orang yang adil bagi menyelesaikan perpaduan orang Melayu. Cuma perlu diingatkan, perpaduan Nasional bukan sahaja mengajak orang Melayu supaya bersatu tetapi seluruh rakyat Malaysia. Manakala bersatu pula tidak bermakna perlu bergabung dalam satu kumpulan. Malah dalam satu parti pun tiada jaminan ahlinya boleh bersatu terutama semasa berebut jawatan.

Berdasarkan itu, tidak perlulah UMNO risaukan PAS bersama DAP kerana dalam keadaan itu tidaklah menjadi penghalang kepada orang Melayu bersatu. Apatah lagi orang UMNO Islam dan PAS juga Islam, agama yang sama, aqidah yang sama sudah tentu boleh bersatu. Bersatu di sudut ini sudah kuat. Yang menjadi masalahnya, mengapa atas dasar Islam orang UMNO kutuk PAS atau sebaliknya? Tidak bolehkah berbincang dengan baik untuk sesuatu isu? Berlainan parti sepatutnya tidak menghalang mereka bersatu dan berbincang untuk kebaikan Melayu dan Islam.

Oleh sebab itu Ibrahim Ali perlu menilai semula ucapannya, sama ada relevan atau tidak pada zaman ini di Malaysia. Saya memang tidak akan bersetuju kalau UMNO dan PAS bersatu dalam satu kumpulan atas nama perpaduan. Tetapi saya amat bersetuju kalau mereka kekal dalam keadaan sekarang tetapi jiwa mereka tetapi bersatu.

Jika ini boleh berlaku, orang Melayu akan terus berbaik sangka dan saling menyokong pemerintahan yang ada. Mana yang baik disokong dan mana yang salah perlu dibetulkan dengan segera bagi menyelamatkan ummah. Ingatlah kalau usaha ini berjaya, orang bukan Melayu dan Islam akan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan yang memerintah baik negeri mahupun pusat.

Gementarkah hati anda ?

05 zulkaedah 1431 H

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, gemetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah iman kepada Tuhannya” (QS. Al Anfaal: 2).

Seorang hamba duduk bertafakkur, seraya mengajukan sejumlah pertanyaan kepada dirinya. Di antaranya: “Jika hati ini tidak pernah bergetar di saat nama Allah disebutkan dengan panggilan azan, maka patutkah diri ini disebut orang beriman? Bukankah orang-orang yang sebenarnya beriman sentiasa bergetar hatinya bila disebut nama Allah?”

“Jika memang tidak, bukankah sudah cukup banyak umur diri ini berlalu tanpa getaran sedikitpun di hati tatkala nama Allah disebutkan? Maka, apakah itu berarti selama ini hamba hidup tanpa iman dan tidak sempurna?”

“Jika memang tidak bergetar di hati, sampai bilakah harus menunggu, sedangkan sisa umur hamba ini semakin sedikit?” “Ya Allah, maafkanlah hamba ini yang selama ini terlalu keras hati dari menuruti panggilan untuk menghadap-Mu.”

“Ya Allah, jadikan hati ini selalu tergerak untuk selalu memenuhi panggilan-Mu.” “Ya Allah Yang Maha Pengampun, ampunilah dosa-dosa hamba ini yang telah lalu, baik yang tersengaja atau tidak.”

“Ya Allah Yang Maha Pengampun, jika bukan kerana ampunan-Mu, maka sungguh tersesat hamba ini.” “Ya Allah, tetapkanlah hambaMu ini selalu dalam keadaan beriman.”

Demikianlah renungan dan doa seorang hamba yang merasa belum satu haripun dirinya mampu berada dalam keimanan yang sempurna. Meskipun shalat wajib telah dilaksanakannya, ia merasa belum maksima melakukannya. Sebab, hati tidak gementar ketika nama Allah disebutkan.

13 Oktober 2010

Rampasan kuasa terpahat dalam ingatan rakyat Perak.

Oleh : Hafizi Pauzi

BENTA PAHANG,, 9 Okt.:- Situasi politik di negeri Perak telah membuka mata ramai pihak, khususnya rakyat negeri Perak, betapa BN terdesak sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi memastikan memerintah semula Kerajaan Perak, Kerajaan Kudeta Perak yang dibentuk melalui cara rampasan kuasa, telah terpahat didalam ingatan setiap rakyat Perak.

Demikian penegasan ADUN Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim ketika memberi ceramah isu semasa di markas PKR PPSK Kg. Melayu Jerkoh Benta Pahang Darul Makmur, turut hadir member penerangan situasi politik Negara di dalam ceramah tersebut ialah Ahli Parlimen Indera Mahkota YB Azan Ismail dan beberapa pimpinan DAP Jerantut Pahang.

Menteri Besar Kerajaan Kudeta Perak, Dr. Zambry bin Abd. Kadir dilihat juga berbohong bila menyatakan bahawa BN memerintah Negeri Perak dengan mandat peralihan kuasa ,"ini adalah satu pembohongan besar dari Menteri Besar terhadap seluruh rakyat Negeri Perak khususnya, hakikatnya BN memerintah Negeri Perak dengan rampasan kuasa dengan membelakangkan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak yang sedia ada." tegas nya.

“bila orang Cina tidak takut lagi pada PAS, bila orang India tidak takut lagi kepada Islam yang menjadi teras perjuang Parti Islam seMalaysia… BN menjadi takut dan gerun” Tegas beliau merujuk kepada kemenangan Pakatan Rakyat di Perak akibat dari sokongan rakyat non muslim terhadap PAS meningkat.

Menurut beliau yang juga merupakan Ketua penerangan PAS Perak, “bila orang Cina tidak takut lagi pada PAS, bila orang India tidak takut lagi kepada Islam yang menjadi teras perjuang Parti Islam seMalaysia, bila pemimpin-pemimpin daripada BN, bekas-bekas tokoh BN sekarang berbondong-bondong keluar dari parti mereka, mereka masuk ke dalam parti Pakatan Rakyat”.

Inilah yang sedang berlaku di Perak, gelombang sokongan rakyat telah beralih arah kepada Pakatan Rakyat, ini yang berjadi mimpi ngeri buat BN dan komponennya, sehingga sekarang mereka (BN) masih menyebut Pakatan Rakyat sebagai Pakatan Pembangkang dengan hasrat bagi menglirukan rakyat.

Menurut Drs. Khalil lagi BN gerun dengan gelombang Pakatan Rakyat itu dan gelombang perubahan ini PRU 12 menjadi satu penanda aras kepada gelombang perubahan rakyat, pada 8 Mac 2008, Keputusan PRU12 telah menunjukkan BN telah hilang majorit 2/3 di Parlimen serta kehilangan kerajaan di 5 negeri .

Justeru, beliau menambah lagi, rakyat perlu berkorban tenaga,masa dan usaha bagi menyebarkan maklumat, kerja-kerja merayu serta memujuk rakyat agar memilih Pakatan Rakyat perlu digiatkan lagi bagi memastikan kemenangan Rakyat dalam PRU 13 nanti.

Tragedi 101010 di KM224 Petang Kelmarin

04 Zulkaedah 1431 H

Al-fatihah…









Umur persaraan wajib tak dinaikkan ke 60

04 Zulkaedah 1431 H

Kerajaan tidak bercadang untuk melanjutkan umur persaraan penjawat awam daripada 58 kepada 60 tahun, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata sebarang keputusan mengenai cadangan menaikkan umur persaraan perlu dikaji termasuklah kesan terhadap peluang kerja untuk golongan lepasan sekolah, kolej dan universiti serta keperluan sumber manusia dalam sektor tertentu dalam perkhidmatan awam.

"Ketiga (ialah) kesan ke atas usaha kerajaan ke arah bilangan yang wajar. Kalaupun tidak kecilkan perkhidmatan awam, (kita perlu) mengurangkan kos operasi kerajaan tanpa jejas perkhidmatan untuk rakyat.

"Keempat (ialah) tahap kesihatan anggota perkhidmatan awam, terutamanya menjelang umur persaraan 58, adakah mereka mampu terus bekerja atau tidak," katanya menjawab soalan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) pada persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.

Menjawab soalan sama ada langkah meningkatkan umur persaraan dapat mengelak tenaga muda yang kini bekerja di sektor awam daripada berhijrah ke sektor swasta, Mohamed Nazri berkata perkara itu dapat diatasi melalui semakan gaji oleh kerajaan dari semasa ke semasa serta pelbagai kelebihan lain bagi memastikan gaji sektor awam terus kompetitif.

"Contohnya, gaji yang diterima pegawai berkelulusan ijazah pada masa ini lebih baik daripada gaji yang ditawarkan oleh sektor swasta. Kedua, kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan seperti untuk golongan pendidik, dan ketiga, kenaikan pangkat ikut kepakaran seperti dilakukan kepada pensyarah, pegawai perubatan dan penyelidik," katanya.

Bulan lepas, Presiden Cuepacs Omar Osman meminta kerajaan menaikkan umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun bagi 1.2 juta penjawat awam supaya seragam dengan amalan negara lain di rantau ini.

Menurutnya Malaysia masih ketinggalan berbanding negara jiran seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia yang umur persaraan antara 60 dan 62 tahun.

Umur persaraan kakitangan kerajaan telah mengalami perubahan dua kali setakat ini. Pertama, pada 2001 apabila usia persaraan kakitangan sektor awam dinaikkan daripada 55 tahun kepada 56 tahun, kemudian dilanjutkan kepada 58 tahun pada 2008.

Malaysiakini/-

Galas: PAS turut senarai calon Orang Asli

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Salhan K Ahmad

Sekurang-kurangnya lima nama telah dikenalpasti untuk disenaraikan sebagai calon PAS di Galas, kata pengarah pilihan raya kecil PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Daripada senarai tersebut, dua nama terdiri daripada kalangan masyarakat Orang Asli dan selebihnya kalangan pemimpin dan aktivis masyarakat tempatan.

"Kesemuanya memang dikenali oleh orang Gua Musang," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini

Beliau bagaimanapun enggan menamakan individu yang disenaraikan itu.

Senarai berkenaan juga belum dibincangkan dalam mesyuarat dewan harian PAS pusat, katanya.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, nama-nama berkenaan dicadangkan bagi memenuhi kemahuan akar umbi.

Ditanya mengenai pertimbangan yang akan digunakan dalam memilih calon kali ini, Tuan Ibrahim berkata: "Kita pilih calon yang boleh bergelumang dengan rakyat di situ."

Mengulas kesediaan PAS untuk menurunkan wakil daripada masyarakat Orang Asli di situ, Tuan Ibrahim berkata, pertimbangan tersebut dilakukan berdasarkan keputusan pilihan raya umum sebelum ini.

Sokongan daripada kira-kira 2,000 pengundi Orang Asli terhadap PAS meningkat meningkat sehingga 20 peratus dalam pilihan raya lalu di enam peti undinya -- Belatim, Bihau, Balar, Sungai Ber, Lojing dan Hau.

Selain itu, Galas juga mempunyai bilangan pengundi Cina paling ramai berbanding kawasan lain di Kelantan - seramai kira-kira 1,900 orang di peti undi Bandar Baru, Bandar Lama dan Kampung Baru Hilir.

Kawasan selebihnya -- Sungai Terah, Kampung Batu Papan, Kampung Pulai dan Lepan Tupai menempatkan majoriti pengundi Melayu di Galas -- seramai kira-kira 6,200 orang daripada keseluruhan lebih 11,500 pengundi.

Tindakan PAS mengambil kira calon daripada kalangan masyarakat Orang Asli itu kelihatan konsisten dengan kenyataan timbalan pesuruhjaya II PAS Kelantan Datuk Husam Musa untuk mengambil kira komitmen masyarakat Orang Asli terhadap PAS.

Antara wakil masyarakat Orang Asli yang dikenali di kalangan masyarakat Gua Musang ialah Pandak Panjang Ey, yang kini dilihat mesra dengan PAS Kelantan.

Beliau hadir bersama sekumpulan masyarakat Orang Asli Temiang Gua Musang dalam satu program ramah mesra anjuran kerajaan negeri di kediaman rasmi menteri besar Selasa lalu, lapor Harakahdaily.

Turut hadir di majlis itu ialah timbalan menteri besar Datuk Ahmad Yakub; speaker DUN Kelantan, Datuk Nasruddin Daud dan exco kerajaan negeri.

Sementara itu, seorang penduduk tempatan, Mazlan Jaafar berkata, beliau mengambil sikap terbuka sekiranya PAS mengambil pendirian untuk mencalonkan wakil Orang Asli.

"Kalau dia berkebolehan, maksudnya dia boleh berkhidmat, kita akan sokong. Tapi, setahu saya PAS belum putuskan sesiapa untuk jadi calon," kata Mazlan, seorang kakitangan Majlis Daerah Gua Musang.

Tambahnya, Orang Asli pada masa kini tidak lagi boleh dipandang rendah kerana terdapat di kalangan mereka yang berkebolehan.

"Orang Asli sekarang bukan macam dulu, ramai yang berkebolehan. Mungkin tidak ramai yang masuk universiti tapi mereka berkebolehan," katanya lagi.

Ketika ditanya lanjut, Mazlan berkata, beliau lebih cenderung untuk memilih calon dari kalangan orang Melayu kerana golongan berkenaan membentuk majoriti di kawasan tersebut.

"Tapi kalau sesiapa pun calon itu, kalau berkebolehan, kita akan sokong," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Malaysiakini/-

PAS: 'Penghijrahan' masalah nasional, bukan Kelantan

04 Zulkaedah 1431 H

Rayuan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara pulang menunjukkan bahawa penghijrahan menjadi masalah nasional dan masalah Kelantan semata-mata, kata ketua penerangan PAS.

Idris Ahmad berkata, di negeri pimpinan BN seperti Johor juga menyaksikan puluhan ribu rakyatnya berulang-aling ke Singapura bagi tujuan kerja,

"Kenapa pihak Umno tidak menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat Johor yang memang negeri Umno," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, Idris (kiri) mengingatkan supaya isu penghijrahan di Kelantan tidak dijadikan sebagai modal dalam pilihan raya kecil Galas - yang didakwanya sering digunakan - kerana ia akan menjadi "paku buah keras" kepada BN.

"PAS ingin mengingatkan kepada pemimpin Umno yang selalu menjadi modal kempen dalam setiap kali pilihan raya kecil Kelantan, menuduh kerajaan Kelantan gagal memberi peluang pekerjaan sehingga ramai rakyatnya berhijrah ke luar Kelantan.

"Modal inilah juga yang akan didendangkan dalam pilihan raya kecil Galas pada 4 November nanti," katanya membuat jangkaan awal.

Kelmarin timbalan perdana menteri menggesa penuntut Malaysia yang menamatkan pengajian dan rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara supaya pulang berkhidmat dalam negara.

Beliau dilaporkan berkata, dalam tempoh 10 tahun akan datang, banyak peluang pekerjaan di Malaysia dan kerajaan tidak mahu ia diisi oleh rakyat asing.

Muhyiddin dipetik sebagai berkata hampir 700,000 rakyat Malaysia kini berada di luar negara dan memberikan khidmat yang baik di syarikat-syarikat gergasi luar negara.

Malaysiakini/-

S'gor anjur seminar pemerkasaan ulama

04 Zulkaedah 1431 H

Kira-kira 600 peserta terdiri daripada mufti, penceramah, cendiakawan Islam, pendakwah, NGO serta ulama di Selangor menghadiri Multaqa Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Seminar Pemerkasaan Ulama Selangor yang bertujuan membincangkan mengenai perkembangan Islam di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu dan Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor Datuk Dr Hasan Mohamed Ali berkata multaqa itu juga bertujuan melihat permasalahan berhubung penyebaran dakwah dan kaedah terbaik mengatasinya.

"Kita mencari kaedah terbaik bagaimana untuk menyampaikan dakwah seperti mengambil idea dari pelbagai negara tetapi apabila ingin mengaplikasikannya di Malaysia apa sahaja yang diambil dari luar perlu disesuaikan dengan realiti di negara ini.

"Dalam kita memfokuskan kepada usaha dakwah di kalangan umat Islam di negara ini pada masa yang sama memandangkan kita mempunyai rakyat berbilang kaum pemahaman tentang Islam juga harus diberitahu kepada kaum lain supaya tidak timbul salah faham terhadap agama ini," katanya dalam sidang media di Shah Alam hari ini.

Hasan berkata demikian selepas Majlis perasmian Multaqa dan seminar selama sehari itu oleh Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah mewakili kekandanya Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Jabatan Mufti Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor itu juga bertujuan menyuntik nafas baru dalam penyampaian mesej Islam, menyatukan hala tuju dakwah serta memupuk kesatuan dan meredakan perbezaan dalam pemikiran di kalangan peserta.

Selain itu Hasan berkata tanggungjawab untuk menyebarkan dakwah Islam bukan sahaja terletak di bahu para ulama, pendakwah dan penceramah malah pihak lain seperti ketua jabatan dan NGO juga perlu memegang tanggungjawab itu dalam memastikan mesej yang hendak disampaikan diterima oleh semua pihak.

"Sudah sampai masanya juga kita kumpulkan pihak yang mempunyai intelektual terlatih dalam bidang dakwah seperti mempunyai ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah (Phd) dalam bidang dakwah bagi membolehkan kita memperolehi lebih banyak ilmu yang bermutu," katanya.

Malaysiakini/-

Speaker tolak usul tergempar pengetua 'rasis'

04 Zulkaedah 1431 H

Speaker Dewan Rakyat hari ini menolak usul tergempar yang dicadangkan Lim Kit Siang (Ipoh Timur) bagi membahaskan isu dua pengetua sekolah yang didakwa mengeluarkan kenyataan 'rasis'.

"Saya telah dimaklumkan bahawa JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) telah memulakan tindakan tatatertib ke atas kedua-dua guru besar ini.

"Maka isu ini tidak perlu disegerakan," kata Tan Sri Pandikar Amin Mulia (kiri).

Pada 8 Oktober lalu, Lim menghantar usul untuk membahaskan kes dua pengetua di Johor dan Kedah yang didakwa menghamburkan kata-kata perkauman dan berbentuk penghinaan kepada pelajar-pelajar mereka pada Ogos lalu.

Pemimpin popular DAP itu dilaporkan berkata usul berkenaan terpaksa dikemukakan kerana selepas 57 hari berlalu, kerajaan didakwa gagal bertindak.

Menurutnya juga, ia merupakan tamparan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membuat gesaan antarabangsa berhubung keganasan, toleransi sifar terhadap perkauman dan polisi 1Malaysia.

Usul berkenaan, katanya dibuat menurut peraturan mesyuarat 18(1) dan dihantar kepada Pandikar meminta Dewan ditangguhkan bagi membolehkan perkara itu dibahaskan.

Malaysiakini/-

M'sia disaran gubal Akta Jenayah Sihir

04 Zulkaedah 1431 H

Malaysia disaran agar menggubal Akta Jenayah Sihir bagi membanteras kegiatan jenayah menggunakan ilmu hitam melalui mekanisme perundangan.

Pensyarah Undang-Undang Kolej Antarabangsa Ikip Dr Mahyuddin Ismail berkata, penggubalan akta berkenaan memberikan kuasa kepada pihak yang berkenaan untuk mengambil tindakan berhubung jenayah membabitkan sihir.

"Bukan hanya di Malaysia, tetapi negara-negara lain juga mengalami masalah sama (sihir) tetapi tidak ada penyelesaian dari segi undang-undang. Sebenarnya, jenayah sihir ini boleh dibuktikan di mahkamah syariah dan sivil,"

katanya ketika membentangkan kertas kerja Pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Sihir pada seminar Undang-Undang Jenayah Sihir di Kuantan hari ini.

Seminar itu dirasmikan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan Datuk Rahman Md Yunus.

Dr Mahyuddin berkata akta tersebut juga perlu mengandungi peruntukan bagi penubuhan Jabatan Siasatan Jenayah Sihir di bawah Polis Diraja Malaysia,

yang berkuasa menyiasat dan menjalankan segala prosedur berkaitan untuk membanteras kegiatan jenayah membabitkan ilmu sihir.

Beliau juga mencadangkan jabatan itu dibantu lembaga penasihat khas daripada golongan berpengalaman luas dalam bidang berkaitan sihir kerana mereka perlu menyiasat suatu jenayah yang sukar dikesan dengan mata kasar.

Dengan penubuhan jabatan berkenaan, maka proses undang-undang iaitu aduan, siasatan, tangkapan, penggeledahan, pendakwaan dan perbicaraan akan dapat dilaksanakan, katanya.

Pada sidang akhbar selepas itu, Rahman berkata perlaksanaan undang-undang jenayah sihir tidak mustahil untuk direalisasikan, namun memerlukan kajian menyeluruh.

Beliau berkata cabaran utama pelaksanaan akta itu ialah pendakwaan di mahkamah kerana memerlukan bukti zahir dan kukuh.

Justeru, katanya, seminar anjuran bersama Kolej Antarabangsa Ikip dan Yayasan Pahang itu diharap dapat membincangkan isu berkenaan dengan lebih mendalam, selain menjadi perintis kepada pihak lain bagi merealisasikan perlaksanaan undang-undang jenayah sihir.

Malaysiakini/-

PERKASA HANYA GIMIK DAN MODAL POLITIK UMNO UNTUK MENGGANGGU PENTADBIRAN DI NEGERI PAKATAN RAKYAT

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: mohd hafez

IPOH 11 September, Pengarah Institut Pemikir Muda Malaysia, Saudara Mohd Hafez Sabri, dalam kenyataan medianya mempertikaikan agenda perjuangan PERKASA yang kononnya berjuang untuk orang Melayu.

Motif yang diperjuangkan kononnya untuk membela nasib orang Melayu dengan mengadakan demontrasi jalanan dan menyemai sentimen perkauman secara melampau mengundang pelbagai persoalan.

Malahan PERKASA hanya dilihat vokal dan lantang di negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Rakyat sahaja.

Beliau menyatakan, kita serba maklum bahawa demontrasi dan memorandum bantahan yang dikemukakan oleh PERKASA adalah sekadar gimik politik yang dipimpin oleh ahli politik umno yang semakin dipinggirkan dalam arena politik negara.

Isu untuk memperjuangkan nasib bangsa Melayu juga seolah-olah hanya wujud di negeri-negeri Pakatan Rakyat sedangkan PERKASA perlu tegas dan berani membawa tuntutan kepada kerajaan pusat yang kini di bawah UMNO/BN.

Beliau juga mempersoalkan apakah relevennya kemujudan PERKASA ini, sedangkan hak dan keistimewaan orang-orang Melayu telah termaktub dan dijamin di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Malahan isu mengenai kedaulatan Raja-Raja Melayu yang kononnya PERKASA perjuangkan sebenarnya lebih banyak terhakis hilang hak keistimewaan tersebut di bawah pemerintahan UMNO/BN semenjak 50 tahun sebelum ini.

Selain itu beliau juga menyatakan PERKASA ingin dilihat kononnya berjuang membela nasib orang-orang Melayu yang katanya kian terpinggir.

Namun, ia sebenarnya lebih sekadar gimik dan modal politik yang diperkudakan untuk meraih populariti di kalangan orang-orang Melayu apabila jelas UMNO kini semakin ditolak oleh rakyat dan orang-orang Melayu sendiri.

Beliau menyatakan lagi, pihaknya melihat jika PERKASA mahu membela nasib orang Melayu di Negara ini, terlebih dahulu

PERKASA perlu memberi desakan dan tuntutan kepada parti pemerintah negara ini yang mana jelas dan nyata selama ini gagal membangunkan dan memperkasakan kekuatan bangsa Melayu daripada aspek ekonomi, sahsiah, minda dan politik sejak 50 tahun lepas.

Memetik ucapan beliau, “ Kami selaku Anak Muda Generasi baru melihat agenda politik yang membawa fahaman berjuang sekadar untuk membela nasib sesuatu kaum adalah bersifat untuk kepentingan sendiri dan elit-elit tertentu sahaja.

Sedangkan agenda memperkasakan rakyat pelbagai bangsa di negara ini perlu menjadi keutamaan bagi memastikan negara ini hidup bersama secara harmoni dan berkasih-sayang.”

“ Malahan agenda pembanterasan jenayah rasuah dan memperkukuh nilai keadilan dalam pentadbiran adalah keutamaan untuk membina negara ini memacu pertumbuhan dan kemakmuran negara.”

Beliau mempersoalkan apakah PERKASA adalah perkakas kepada UMNO, jika dilihat mirip dan modus operandi apa yang kononnya diperjuangkan adalah sama sahaja iaitu sentimen perkauman yang menebal dalam agenda perjuangannya.

“ Kita mempertikaikan apa motif PERKASA yang hanya lantang di negeri-negeri Pakatan Rakyat tetapi membisu, lesu dan kaku apabila berada di negeri-negeri di bawah kerajaan UMNO/Barisan Nasional.

“ Ke manakah suara pembelaan PERKASA apabila melihat nasib Bahasa Melayu semakin dipinggirkan? Ke manakah pembelaan PERKASA tatkala undang-undang Islam dipermain-mainkan apabila Mahkamah Syariah dianggap tidak setaraf dengan Mahkamah Sivil?

Ke manakah suara-suara vokal PERKASA apabila pemimpin-pemimpin tertinggi UMNO yang berbangsa Melayu terpalit dengan pelbagai skandal moral, rasuah dan penyelewengan kuasa? “ soal beliau

Justeru, Generasi Anak Muda Institut Pemikir Muda Malaysia sekali lagi mengingatkan agar rakyat bijak dan pintar menilai agenda sempit yang dibawa oleh PERKASA dari masa ke masa. .

Bangsa Melayu kian terpinggir dalam dunia persaingan sejagat adalah berpunca dari kegagalan UMNO sendiri selaku pentadbir negara selama 50 tahun ini kerana gagal menterjemahkan Islam sebagai cara hidup atau serta tidak melaksanakan ajaran Al-Quran dan Sunnah sepenuhnya di negara ini.

Repot polis

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Mohd Syamil Azhar.

LENGGONG: Pengerusi Lajnah Tanah dan Pembangunan Wilayah PAS Perak, Haji Razman Zakaria sekali lagi membuat laporan polis berhubung penyelewengan dalam pengurusan Felcra.

Laporan kali ini berhubung geran subsidi pendidikan bernilai RM1 juta kepada Taj Internasional College yang disampaikan pada majlis hari raya anjuran Felcra Berhad di Changkat Lada, Pasir Salak baru-baru ini.

Haji Razman, ketika ditemui selepas membuat laporan mengenainya di Balai Polis Lenggong jam 1.08 petang 7 Oktober lalu, berkata penyampaian geran bernilai jutaan ringgit itu telah tersasar daripada matlamat asal penubuhan Felcra.

Katanya, penyampaian geran itu oleh Pegawai Eksekutif Felcra Bhd, Juziman Basir kepada Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin, iaitu anak kepada Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajuddin Abdul Rahman sendiri ternyata menunjukkan berlaku penyelewengan dan salah tadbir kewangan Felcra.

"Pendapatan hasil ladang milik anak syarikat Felcra seharusnya dipulangkan kepada peserta-peserta Felcra sendiri, tapi malangnya berdasarkan kajian yang kita lakukan didapati banyak bverlaku penyelewengan.

"Kita dapati pulangan kepada peserta-peserta terlalu rendah berbanding pulangan hasil daripada projek diusahakan secara persendirian," katanya.

Hadir sama Setiausahanya, Sdr Azni Mohamed Zamri, Ketua Penerangan PAS Lenggong, Sdr Mohamad Saidi Sobri dan Penolong Pendaftar Sementara Suruhanjaya Pilihan Raya, Sdr Ahmad Maher.

Haji Razman berkata, pulangan kepada peserta-peserta yang rendah dipercayai berpunca daripada salah urus tadbir dan perbelanjaan hasil pendapatan Felcra kepada perkara-perkara yang tidak memberi manfaat kepada yang yang berhak menerimanya.

Katanya yang juga Yang DiPertua PAS Lenggong, laporan polis dibuat supaya pihak berkuasa menjalankan penyiasatan bagi memastikan tiada penyelewengan dan penyalahgunaan wang Felcra Berhad di semua peringkat.

PEMBERIAN KONSESI BALAK: SPRM JELAS ALAT UMNO

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: DR RAJA AHMAD AL-HISS

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan sikap tidak profesional Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Perak Nooraziah Abd Manaf yang akan menjalankan siasatan dengan menjadikan kenyataan

yang disiarkan di dalam media terhadap kandungan surat layang mendakwa berlaku penyelewengan membabitkan pemberian konsesi balak berjumlah RM21.5 juta sepanjang 11 bulan pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) di Perak.

Sepatutnya SPRM yang tidak berpihak di dalam memastikan pandangan rakyat bahawa keadilan SPRM di dalam memastikan unsur rasuah jelas tidak mencerminkan ketelusan sebenar.

Ini kerana pelbagai aduan yang pernah di laporkan terhadap pimpinan Umno dan Barisan Nasional (BN) sebelum ini serta terkini tidak langsung menunjukkan ketelusan terhadap badan penting itu. Jelas bahawa SPRM seperti alat kepada Umno / (BN) dan tunduk kepada apa sahaja aduan selama ini.

DPPN Pk mencabar agar SPRM tidak sahaja menyiasat berkaitan surat layang terhadap pemerintahan PR Perak selama ini, tetapi perlu juga menyiasat perkara yang sama semasa pemerintahan BN dahulu dan juga sekarang.

Jika sebaliknya hanya siasatan terhadap pimpinan PR sahaja, jelas SPRM tidak adil serta telus di dalam menjalankan tugas sebenar mereka.

GALAS - JIKA MAIN PROVOKASI, MEREKA SILAP TEMPAT

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: WFAUZDIN NS

PRK Dun Galas tidak dapat mengelak pertembungan di antara Umno dan PAS. Ada ramalan yang menyebut bahawa akan terdapat lebih dari seorang calon bebas akan bertanding, namun pertarungan sebenar adalah hanya tertumpu kepada dua parti terbesar ini. Umno yang dasarnya Kebangsaan, manakala PAS pula dasarnya Islam. Inilah dua parti yang ditawarkan kepada seluruh rakyat di Dun Galas.

PAS lebih awal memberi peringatan kepada semua jentera dan penyokongnya agar tidak melayani sebarang provokasi daripada pihak lawan. Tidak pernah pihak lawan tidak mengadakan provokasi di dalam mana-mana pilihanraya sebelum ini termasuk provokasi dari pihak media di bawah kawalan mereka.

PAS sebagai sebuah parti yang amat berpengalaman di dalam Pilihanraya, tentunya arif dengan bentuk provokasi mereka.

Namun ingin diingatkan kepada Umno, sekiranya mereka masih ingin `bermain' dengan provokasi seperti sebelum ini, mereka sebenarnya silap tempat.

Galas bukan seperti di Bagan Pinang yang mana provokasi yang dimainkan sedikit sebanyak menguntungkan mereka. Di Bagan Pinang banyak kita lihat berbagai aksi samseng mewarnai suasana kempen di sana. Akhirnya mereka menang di Bagan Pinang.

Galas, sebuah kawasan yang berada di dalam Negeri Kelantan. Bukan saya ingin melabelkan orang-orang Kelantan ini `gedebe', tetapi semua tahu orang-orang Kelantan tidak sama dengan orang-orang negeri lain.

Kita masih ingat, di Bagan Pinang bagaimana puak-puak yang mulanya ingin tunjuk `berani dan samseng' untuk menakutkan penyokong-penyokong dan jentera PAS, tetapi apabila tibanya jentera kempen dari Kelantan membantu, puak-puak ini mula `menekan brek'.

Sifat orang-orang Kelantan yang sanggup menyahut cabaran walau di mana bumi dipijak itulah yang membezakannya dengan masyarakat negeri lain.

Inilah yang amat dikhuatiri oleh PAS Kelantan. PAS Kelantan bimbang jika Umno terlupa bahawa mereka sekarang sedang `bermain' di Negeri Kelantan. Silap besar jika mereka masih ingin menggunakan taktik yang sama seperti di Bagan Pinang.

Mereka boleh berkempen atau berlakon menjadi `penoreh getah' seperti yang telah mereka lakukan di PRK Dun Manek Urai dahulu, mereka boleh menjadi `Penyumpit' kali ini tetapi mereka dinasihatkan agar tidak bermain dengan provokasi yang keterlaluan.

Kita tetap yakin, di bawah kepimpinan Tuan Guru Nik Aziz selaku MB Kelantan yang selalu mengingatkan rakyat Kelantan agar berakhlak dan bermoral tidak akan melayani provokasi jauh sekali untuk memulakannya.

Itu harapan kita, tetapi kadangkala `orang yang bersungguh ingin menjual, ada juga yang teringin membeli'nya.

Jentera BN Galas: PRK paling telus bawah Ku Li?

04 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Shaharul Shafie

Pertamanya, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Tengku Razaleigh Hamzah di atas penerimaan beliau untuk menjadi Pengarah Pilihanraya Kecil bagi DUN Galas yang bakal dilangsungkan pada 4 Oktober nanti.

Perlantikannya merupakan satu titik penting di dalam melahirkan satu pilihanraya kecil yang dijangka lebih selamat, tersusun dan lebih telus jika dibandingkan dengan beberapa siri pilihanraya kecil sebelum ini.

Awal-awal lagi semalam Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed mengumumkan semasa di Universiti Malaysia Kelantan bahawa rakyat negeri Kelantan terutamanya di kawasan Galas supaya tidak mengharapkan projek-projek segera sepertimana yang pernah digula-gulakan sebelum ini semasa pilihanraya kecil yang lalu oleh Barisan Nasional (BN).

Persoalannya ialah adakah penarikan taktik tegar BN ini adalah hasil kesepakatan dengan Tengku Razaleigh supaya beliau bersetuju menjadi Pengarah jentera pilihanraya Umno-BN di Galas? Mungkin ya, mungkin tidak.

Bagi pendapat penulis, ia berkemungkinan ya. Bagi yang mengenali aspirasi Tengku Razaleigh yang selama ini kurang gemar dengan taktik gula-gula dan janji-janji yang diamalkan oleh jentera BN sebelum ini pastinya ini merupakan syarat untuknya bersetuju menerima jawatan tersebut.

Walaupun Mustapa atau Tok Pa adalah Ketua Perhubungan Umno Kelantan yang juga ketua kepada Tengku Razaleigh apabila pilihanraya DUN Galas rancak berkempen, Tengku Razaleigh telah diberikan kad super VVIP sementara untuk membuat keputusan besar mengenai hala tuju jentera kempen mereka nanti.

Tahukah anda selain dari ketiadaan gula-gula manis BN kali ini di Galas, apakah lagi bentuk kesepakatan atau syarat yang menyebabkan Tengku Razaleigh menerima jawatan itu untuk tempoh singkat itu? Kita boleh mengandaikan bahawa Tengku atau nama gelaran politiknya,

Ku Li mungkin memberi peringatan kepada pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) supaya tidak campur tangan atau membantu jentera kali ini.

Dengan hubungan yang akrab yang boleh dilihat di antara Tok Pa dan Ibrahim Ali (atau Tok Him) pastinya persetujuan itu dicapai bagi menghormati Ku Li bagi memberi laluan kepadanya untuk memeta strategi bagi menawan kerusi DUN Galas dengan cara yang profesional lagi telus.

Tok Him awal-awal lagi semalam juga membuat kenyataan bahawa beliau akan turun meninjau Galas atas nama Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas dan ahli-ahli Perkasanya akan membantu sama ada Umno atau PAS atas kapasiti diri mereka di dalam parti itu sendiri.

Nasib baiklah, masalah komunikasinya yang baru-baru ini dengan tiga pemimpin utama Umno iaitu Setiausaha Agungnya, Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin boleh dijadikan alasan sebagai menutup bentuk

’persepakatan’ dengan Ku Li. Walaubagaimanapun, apa yang penulis katakan di sini hanyalah andaian semata-mata tetapi suatu andaian yang boleh dikira menepati dengan suasana di sebalik tabir politik Umno dan Perkasa pada ketika ini yang tidak dilihat dengan mata kasar kita.

Penulis mengandaikan Umno dapat mengurangkan belanja pilihanraya terutamanya di dalam menyenaraikan senarai gula-gula atau projek kepada penduduk Galas kerana keperibadian Ku Li sendiri yang menolak strategi-strategi berkenaan. Memang satu kerugian kepada penduduk Galas sendiri yang mungkin sesetengahnya sudah pun berkira-kira atau berharap untuk mendapat sesuatu daripada

’peluang’ pilihanraya kecil sebegini sepertimana pengundi-pengundi di dalam PRK yang lalu. Mungkin rakan-rakan pengundi di Batu Sapi, Sabah yang lebih beruntung kerana bakal menerima ’peruntukan’ di Galas dan ditambah lagi dengan peruntukan gula-gula yang sudah disediakan BN semasa di Batu Sapi nanti.

Mengenai Perkasa, Ku Li juga tidak suka Perkasa menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu di Galas terutamanya kaum Cina yang bimbang dengan sikap perkauman yang dilihat menjadi-jadi di dalam pertubuhan NGO Melayu itu.

Jangan kita lupa jumlah pengundi Cina di sana adalah yang terbesar di dalam mana-mana DUN di negeri Kelantan. Apabila gula-gula dan Perkasa dapat dielakkan, pastinya akan mengurangkan ketegangan pilihanraya kecil yang bakal berlangsung ini dan akhirnya ketelusan di dalam kempen BN pimpinan Ku Li kali ini akan menjadi contoh kepada kita semua.

Sungguhpun demikian, di masa Ku Li ingin memastikan pilihanraya kecil ini menjadi lebih satu pertandingan yang penuh profesional dan telus, beliau perlu bimbang dengan hasil daripada pilihanraya itu nanti.

Sepanjang proses kempen yang sudah pun bermula sekarang secara tidak rasminya, sehinggalah jam 12 tengah malam 3 November nanti, Ku Li pastinya tiada masalah untuk memimpin sekumpulan jentera Umno tanpa tangan-tangan Umno pusat yang mengganggunya.

Tetapi nasibnya dalam politik BN bakal ditentukan dengan keputusan yang bakal diumumkan bila-bila masa antara jam 8 ke 9 malam keesokan harinya pula di Pusat Sivik Gua Musang.

Ku Li tidak dinafikan seorang pemimpin tempatan dan nasional yang dihormati oleh kawan tetapi lebih disegani oleh lawan.

Faktor kekuatan Ku Li yang sudah menjadi ahli Parlimen Gua Musang hampir 36 tahun itu sejak tahun 1974 selain dari taraf kebangsawanannya di Kelantan merupakan faktor penting yang perlu digeruni oleh lawannya terutamanya dari PAS.

Hanya memakai baju BN tetapi Ku Li lebih mesra dengan kebanyakan polisi-polisi dan agenda perjuangan Pakatan Rakyat (PR) khususnya PAS di negeri Kelantan sejak beberapa tahun ini.

Sokongan padunya kepada kerajaan PAS pimpinan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menuntut royalti petroleum daripada Petronas dilihat sebagai satu titik pertemuan di antara aspirasi perjuangannya dan juga perjuangan PAS di negeri itu yang bersandarkan kepada pembangunan rakyat.

Malah, Ibrahim Ali sendiri yang mempunyai Perkasa hari ini tidak mengendahkan urusan royalti petroleum walaupun sebagai anak negeri itu sendiri. Malah Tok Him lebih nampak setuju dengan konsep wang ihsan dari kerajaan pusat yang disalurkan melalui Tok Pa dan kakitangannya di negeri itu.

Detik ini amatlah sukar bagi Ku Li tetapi bernasib baik kerana pimpinan Umno pusat dijangkakan akan membiarkan beliau mengetuai jentera Umno mengikut acuannya sendiri. Namun begitu, masa masih begitu awal untuk menganggapnya sedemikian.

Ini kerana macam-macam boleh berlaku bila sudah tiba musim berkempen. Walaubagaimanapun, baik buruknya keputusan pilihanraya nanti bakal memberi kesan kepada Ku Li sendiri.

Saya yakin Ku Li tidak bersetuju pada awalnya atau pun berkira-kira untuk menerima pelawaan ke jawatan pengarah pilihanraya itu yang pada lazimnya diberikan kepada Timbalan Presiden Umno atau kepada salah seorang Naib Presiden Umno.

Bagi menunjukkan kesetiaannya kepada Umno, Ku Li terpaksa tidak menolak jemputan khas tersebut. Walaupun beliau berada lama di Ireland dan United Kingdom sejak penyandang kerusi DUN Galas,

Allahyarham Che Hashim Sulaima pulang ke Rahmatullah, namun dengan dunia serba moden dengan komunikasi hebat membolehkan Ku Li berhubung dengan pimpinan Umno atau dihubungi oleh mereka untuk berbincang syarat-syarat penerimaannya untuk jawatan tersebut.

Penulis sekali lagi menjangkakan pilihanraya kecil ini bakal berjalan dengan lancar dan penuh profesional hanya jika jentera BN diketuai oleh Ku Li dan jentera PAS pun dilakukan dengan penuh telus.

Mungkin ada sedikit kekecohan yang akan berlaku semasa keadaan semakin memuncak semasa di penghujungnya. Namun, pilihanraya kecil ini bakal dilihat untuk menjadi PRK yang terbaik lagi tersusun yang tidak pernah disaksikan oleh SPR sendiri dan juga orang ramai selama ini terutamanya siri-siri PRK selepas tsunami politik 2008.

Jika ditanya tentang andaian keputusan PRK Galas kelak kepada penulis, dari pengamatan di peringkat awal ini,

biarlah penulis berkata begini iaitu PAS kena bekerja keras untuk mempertahankan DUN Galas dan tidak terlalu yakin untung menang. Faktor calon, sokongan orang Asli dan ketokohan kepimpinan Nik Aziz bakal memainkan peranan besar bagi mengekalkan kerusi tersebut.

DUN Galas baru sahaja diperolehi oleh PAS semasa pilihanraya umum lalu selepas berada dengan selamatnya di bawah Umno. Semuanya kerana ketokohan Ku Li sendiri sebagai pemimpin setempat yang disayangi ramai.

Hanya faktor tsunami politik 2008 yang sedikit mencalar rekod tanpa kalah Umno di Gua Musang di DUN Galas. Namun, kerusi-kerusi DUN yang lain di bawah Gua Musang iaitu Nenggiri dan Paloh terus kekal dibawah penguasaan Umno. Tidak dinafikan majoriti semasa PRU 2008 di Nenggiri,

Paloh dan juga untuk kerusi parlimen yang disandang oleh Ku Li sendiri menurun kerana mendapat tempias tsunami 2008. PAS pula jika meletakkan calon dari masyarakat Orang Asli mampu setidak-tidaknya mengekalkan kerusi DUN tersebut dengan majoriti yang kurang.

Semasa PRU 2008, peti-peti undi Orang Asli walaupun menampakkan kenaikan 20 peratus tambahan undi mereka kepada PAS tetapi secara keseluruhannya masih lagi majoritinya menjadi milik Umno.

Jika calon PAS datangnya dari Orang Asli benar-benar menjadi, kekalahan PAS di peti-peti undi Orang Asli sebelum ini mungkin dapat ditebus dan ini sekurang-kurangnya dapat mengisi kehilangan beberapa undi daripada pengundi Melayu di peti-peti undi Melayu yang pernah diterima PAS dahulunya.

Kehilangan ini perlu diambil kira dengan trend penurunan undi Melayu kepada PAS dan PR seperti yang dilihat dalam dalam siri-siri PRK selepas PRU 2008. Malah, petunjuk kemenangan tipis ataupun majoriti PAS yang berkurangan semasa PRK DUN Manek Urai wajar diambil sebagai teladan.

PAS dijangka tidak akan menghadapi masalah dengan undi orang Cina terutamanya di peti undi Bandar Baru dan Bandar Lama Gua Musang.

Selepas dua tahun sejak PRU 2008, banyak isu-isu nasional berkaitan kaum, agama dan ekonomi telah menjadi pertaruhan kedua-dua gergasi BN dan PR termasuklah isu bersifat perkauman yang dimainkan oleh Perkasa bagi memainkan sentimen rakyat.

Walaupun trendnya masih status-quo atau tidak berubah, tetapi faktor sokongan Ku Li ke atas tuntutan royalti petroleum itu dilihat mampu mengubah semula kecenderungan pengundi di Galas yang pernah menyokong PAS sebelum ini untuk kembali kepada Umno.

Walaubagaimanapun, faktor calon juga penting bagi Umno. Sungguhpun begitu, penulis tidak nampak Ku Li sendiri akan turun menjadi calon.

Ini kerana tindakan berkenaan akan menunjukkan kepada orang ramai bahawa Umno ketandusan pemimpin baru yang boleh diketengahkan dan persepsi ini amat buruk kepada Umno.

Malah, jika Ku Li sendiri memenangi DUN tersebut, ini bakal menyusahkannya kerana beliau terpaksa menjadi ’pembangkang’ yang kuat di DUN Kelantan kerana jumlah pembangkang di Kelantan dari Umno hanyalah 6 orang sahaja.

Di peringkat nasional atau di Dewan Rakyat, Ku Li tiada masalah menjadi ahli Parlimen BN kerana di dalamnya sudah ramai ahli Parlimen BN yang bersedia untuk berbahas dan berinteraksi dengan pembangkang yang dari PR.

Malah, kerusi Ku Li sebagai ahli Parlimen Gua Musang pun terletak di tengah-tengah antara lengkungan pelantar tempat duduk ahli Parlimen yang sebelah kanannya adalah BN dan kirinya ialah PR jika dilihat dari tempat duduk Speaker.

Dengan itu, menjadi mereka yang duduk di ’tengah-tengah’ itu adalah lebih mudah untuk sekadar melihat dan mendengar usul dan perbahasan bersama-sama mereka yang sudah pencen dari kerajaan seperti mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi,

para mantan Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Datuk Seri Ong Tee Keat dan juga bekas-bekas menteri seperti Datuk Paduka Rafidah Aziz, Datuk Azmi Khalid dan Datuk Syed Hamid Albar.

Jika jentera Ku Li mampu menawan Galas, ini bermakna Ku Li mempunyai peluang untuk menguatkan semula sokongan ke atasnya dalam politik. Namun begitu, penulis yakin bahawa Ku Li tidak lagi berminat untuk ke pentas politik utama Umno lagi seperti masa-masa lampau apabila bertanding dengan Tun Mahathir dan Tun Abdullah dalam beberapa siri pemilihan Umno.

Tetapi jika Ku Li gagal menawan Galas, dengan pemberian kuasa sementara menjadi Pengarah jentera Umno, musuh-musuhnya dalam Umno bakal menggunakan peluang ini untuk menjatuhkannya terutamanya mereka di dalam Umno Kelantan sendiri.

Sungguhpun begitu, penulis yakin sekiranya musuh-musuh dalam selimut Ku Li di dalam BN itu berfikiran demikian bagi menggunakan alasan kekalahan tersebut, penulis meminta mereka berfikir dua kali sebelum membuat kesilapan lebih besar.

Ini kerana Ku Li sudah sinonim dengan penduduk Gua Musang. Jika Ku Li bertanding dalam PRU ke 13 pada umurnya yang mungkin mencapai 74 tahun ketika itu sekalipun sebagai wakil Bebas seandainya Umno yakin untuk menggantikannya kelak, penulis yakin Ku Li masih boleh menang.

Ini berbeza dengan Ibrahim Ali yang ingat dirinya sinonim dengan penduduk Pasir Mas tetapi kalah sebagai calon Bebas pada PRU 2004 dan perlu menggunakan lambang PAS yang kini terpacul sebagai musuhnya sebaik sahaja memenangi kerusi tersebut. Memang satu perkiraan yang salah jika Umno menganggap kekalahan di Galas merupakan pengakhiran untuk Ku Li.

Seperti nila setitik rosak susu sebelanga, jika Ku Li membuat pilihan menjadi calon Bebas nanti, bukan sahaja Ku Li mampu menang tetapi ketiga-tiga kerusi DUN dibawahnya bakal melayang kepada kerajaan PAS yang dilihat semakin kuat.

Namun begitu, penulis yakin Ku Li sendiri akan bersara dari dunia politik menjelang PRU akan datang. Ayuh kita lihat dan saksikan ramalan penulis sama ada menjadi atau tidak.