02 Mac 2011

1Israel, 1Malaysia kebetulan, sindir Anwar

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN, 2 Mac: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat kejutan kepada pengundi PRK Dun Merlimau apabila mendedahkan salinan dokumen perjanjian antara Apco Worldwide dan kerajaan Israel yang ditandatangani pada 1991 yang merupakan bukti pertalian erat kedua-dua pihak.

Beliau turut membaca satu perenggan daripada perjanjian itu sebelum menyerahkan kepada jurugambar media tempatan yang berebut-rebut mahu merakam dokumen berkenaan.

"Tarikh dokumen ini bila? Tahun 1991. Apa berlaku pada 1999? Ehud Barrack (Perdana Menteri Israel) anjur kempen One Israel. Pada 2009 pula, (Datuk Seri) Najib (Razak) memperkenal Satu Malaysia.

"Pada 1999 juga, Ehud kemuka slogan ‘People First’, Najib pula ‘Rakyat Didahulukan’. Kemudian, Ehud buat klinik untuk rakyat Israel. Najib buat apa? Klinik Satu Malaysia.

"Ke-be-tu-lan," sindir Anwar dengan disambut sorakan kira-kira 3,000 hadiri yang memenuhi lokasi ceramah di Merlimau Pasir di sini, malam tadi.

Anwar pada Disember tahun lalu digantung dari menghadiri sidang Parlimen selama enam bulan selepas mendedahkan persamaan slogan One Israel dan Satu Malaysia dengan mengaitkan peranan Apco, tanpa diberi peluang membela diri.

Turut digantung ialah Mohamed Azmin Ali (PKR Gombak) R Sivarasa (PKR Subang), dan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor).

Kerajaan Malaysia sebelum ini, walaupun menafikan slogan Satu Malaysia hasil ilham Apco, mengaku membayar RM70 juta kepada firma perunding antarabangsa yang didalangi pemimpin Israel-Zionis itu.

Antara pegawai kanan Apco ialah bekas Duta Israel ke Jerman, Shimon Stein yang berkhidmat dalam kerajaan Israel dan berperanan penting dalam pentadbiran dua bekas Presiden Amerika, Bill Clinton dan Jimmy Carter, selain menjadi bekas ahli lembaga pengarah Yayasan Jerusalem.

Pegawai kanan lain ialah Itamar Rabinovich, bekas duta Israel ke AS dan Ketua Perunding Israel dengan kerajaan Syria ketika Yitzak Rabin masih menguasai kerajaan Israel.

Selain bukti itu, Anwar pada ceramah berkenaan turut membawa salinan dokumen laporan Global Financial Integrity (GFI) yang menunjukkan aliran keluar wang haram dari Malaysia sebanyak RM888 bilion (AS$291 bilion) dalam tempoh sembilan tahun sejak 2000.
Beliau berkata, jumlah itu menyamai wang yang dilarikan dua diktator iaitu bekas Presiden Tunisa, Zainal Abidien Ben Ali mahupun bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak selepas diguling rakyat negara masing-masing.

Anwar juga kesal kerana Umno BN sehingga kini berdiam diri tanpa membuat sebarang siasatan, jauh sekali mengheret mereka yang terlibat ke muka pengadilan.

"Jika Pakatan Rakyat memerintah negara, kita akan menjalankan siasatan terperinci. Ini memalukan negara di mata dunia," katanya.

Laporan itu menunjukkan Malaysia berada di tangga kelima dari senarai panjang negara yang terlibat dalam pengaliran keluar wang secara salah seperti wang rasuah mahupun wang lari cukai.

Pada ceramah itu, Anwar turut mengulangi janji Pakatan Rakyat untuk menurunkan harga petrol sehari selepas menawan Putrajaya.

Turut menyampaikan ceramah malam tadi beberapa pimpinan Pakatan Rakyat termasuk calon PAS bagi Dun Merlimau, Yuhaizad Abdullah, Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Abdullah Sani.

Harakahdaily/-

Anak diktator Afrika tempah kapal RM1.6b

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

MALABO - Anak lelaki kepada Presiden Equatorial Guinea didakwa menempah sebuah kapal persiaran mewah bernilai jutaan dolar, sekali gus menjadi tanda tanya kepada masyarakat dunia, menurut media antarabangsa, kelmarin.

Teodorin Obiang, 41, yang hanya menerima gaji sebanyak AS$6,800 (RM20,700) sebulan sebagai Menteri Pertanian negara itu, dilaporkan menempah kapal mewah bernilai AS$380juta (RM1.6 bilion) itu daripada sebuah syarikat Jerman, Kusch Yacht.

Obiang juga mahu kapalnya dilengkapi dengan sebuah panggung wayang, restoran, bar dan kolam renang.

Namun, persoalan bagaimana beliau mampu membeli sebuah kapal mewah seperti itu mula timbul kerana harga kapal itu adalah hampir tiga kali ganda lebih banyak berbanding peruntukan tahunan untuk perubatan dan pendidikan penduduk di negara Afrika Barat yang miskin negara itu.

Pemerhati turut menuntut pentadbiran Amerika Syarikat supaya membekukan aset Obiang, termasuk sebuah rumah mewah bernilai AS$35 juta (RM106 juta) di Malibu, California, jet peribadi bernilai AS$33 juta (RM100 juta) dan beberapa kereta mewah miliknya atas dakwaan rasuah.

Sinar Harian/-

PAS beri jaminan khidmat terbaik

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 2 Mac: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberi jaminan, PAS akan memberikan tekanan yang sewajarnya agar masalah rakyat di Kerdau diselesaikan dengan baik jika calonnya terpilih dalam pilihan raya kecil ini.

"Sebagai pembangkang, kita akan membuat desakan agar segala masalah rakyat dapat diselesaikan dengan baik.

"Jika kita sebagai kerajaan, kita akan laksanakan sebagaimana kita mentadbir Terengganu sebelum ini serta juga lain-lain negeri Pakatan Rakyat," katanya dalam sidang media khas di pekan Kerdau lewat petang semalam.

Turut serta di sidang media itu adalah anggota Parlimen Serdang, Teo Nie Ching yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP yang ditugaskan khas di Kerdau.

Antara masalah yang dihadapi oleh penduduk Kerdau adalah geran tanah yang mereka tidak perolehi walaupun mereka tinggal dan membuka tanah di kawasan itu sejak sekian lama.

"Semasa kami mentadbir Terengganu dahulu, 60,000 lot tanah berjaya kita keluarkan geran untuk penduduk Melayu serta juga Cina dan India.

"Antaranya untuk penduduk Kampung Baru Air Puteh, Kemaman.

"Ia tidak berjaya diselesaikan selama 40 tahun oleh kerajaan negeri sebelum itu, tetapi kita berjaya selesaikannya selama 4 tahun sahaja," kata Abdul Hadi yang menjadi Menter Besar Terengganu dari 1999 hingga 2004.

Dalam sidang medianya, Abdul Hadi berkata, PAS menyertai pilihan raya ini atas nama Pakatan Rakyat menawar calon yang terbaik untuk rakyat Kerdau.

"Kita bekerjasama atas dasar muafakat antara PAS, PKR dan DAP. Kami buat secara muafakat mencari titik persamaan untuk melaksanakan konsep negara kebajikan.

"Projek yang kami hendak buat digambarkan melalui Buku Jingga yang telah kita lancarkan," kata Abdul Hadi.

Beliau juga memberikan jaminan, Pakatan Rakyat akan bebas dari rasuah dan penyelewengan sebagaimana yang telah terbukti di empat buat negeri Pakatan dan Terengganu sebelum ini.

Beliau juga berkata, kerjasamaa antara parti dalam Pakatan Rakyat sangat baik namun ia tidak terserlah kerana kongkongan media yang dibuat oleh BN.

"Saya yakin, jika media bebas dan membuat laporan yang adil, kerjasama antara kita akan menyerlah kerana sememangnya itu yang berlaku," kata Abdul Hadi.

Harakahdaily/-

Pas dakwa BN langgar peraturan pilihan raya

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH - Dewan Pemuda Pas negeri akan membuat laporan kepada polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terhadap Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya melanggar Akta Pilihan Raya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pelbagai janji dan peruntukan diberi oleh pemimpin BN, termasuk Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, Perdana Menteri itu pernah menyatakan beliau hadir di DUN Kerdau bukan untuk membeli undi, tetapi untuk menawarkan pembangunan.

”Najib secara terang-terangan berkata, bahawa ‘Saya bukan hendak beli undi, tetapi kalau kamu sokong kami, saya akan tambah lagi peruntukan esok atau lusa”.

”Ini menunjukkan beliau cuba membeli rakyat dengan pelbagai imbuhan dan projek segera,” katanya dalam sidang media, semalam.

Tuan Ibrahim mendakwa, tindakan tersebut menyalahi peraturan pilihan raya.

”Perdana Menteri juga secara terbuka meluluskan peruntukan untuk Dewan Terbuka Kampung Seri Kerdau, Balai Bomba Sukarela dan kuil bernilai hampir RM650,000.

”Ini tidak termasuk hamper serta makanan yang diedarkan di Kampung Baru Kerdau oleh Menteri Kesihatan,” katanya.

Tuan Ibrahim, yang juga Naib Presiden Pas berkata, Pas harap tindakan diambil oleh SPRM dan SPR kerana ia bertentangan dengan Akta Kesalahan (Perjalanan) Pilihan Raya 1960.

Pada 27 Februari lalu, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan hampir RM10 juta bagi projek pembangunan rakyat di DUN Kerdau.

Projek berkenaan melihatkan kerja menaikkan taraf pam di loji air Batu Sawar dan mengganti paip dari Rumpun Makmur ke Kampung Kerai yang bernilai RM9.25 juta.

Beliau juga mengumumkan projek membina dewan terbuka yang mengandungi gelanggang serbaguna bagi masyarakat Cina di Kampung Sri Kerdau, bernilai RM400,000, membina kuil bagi masyarakat India (RM100,000) dan Balai Bomba sukarela (RM150,000).

Sinar Harian/-

PAS tentang campur tangan tentera PBB di Libya

27 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 2 Mac: PAS menentang sekeras-kerasnya cadangan campur tangan asing dalam bentuk ketenteraan, terutamanya di atas nama Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam menyelesaikan masalah di Libya.

Presidennya, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan campur tangan pihak ketenteraan di atas nama Majlis Keselamatan itu sekalipun akan hanya membuka episod krisis perang yang tidak akan berkesudahan dan semakin menekan rakyat Libya.

Ini, katanya seperti mana campur tangan ketenteraan di Afghanistan dan Iraq yang belum menampakkan penyelesaiannya hingga kini, malah akan mewujudkan ketidakstabilan baru di negara Utara Afrika itu.

“Penyelesaian krisis di Libya boleh dirungkaikan dengan komitmen berterusan rakyat Libya untuk melakukan suatu perubahan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang menambah, dalam masa yang sama Pertubuhan Negara-Negara Persidangan Islam (OIC) dan Liga Arab juga mestilahmenunjukkan kewibawaan mereka dengan memainkan peranan sebagai perunding dalam isu tersebut untuk mengenakan tekanan terhadap Muammar Ghadafi supaya berundur.

Harakahdaily/-

01 Mac 2011

Khalil : Bangkit tolak sebarang bentuk kezaliman

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Oleh : Hafizi Pauzi

KERDAU, 1 Mac :- Ketua Penerangan Pas Perak, YB Drs. Khalil Idham Lim berkata rakyat Malaysia di Dun Merlimau dan Kerdau disarankan supaya sama-sama menyingkir sebarang bentuk kezaliman seiring dengan momentum dunia yang sedang menuju ke arah sifar pemerintah tidak adil.

Tambahnya, kezaliman terhadap rakyat yang berlaku di serata dunia adalah hampir sama coraknya, jika di timur tengah, dua rejim telah dapat digulingkan, ciri rejim tersebut hampir sama dengan regim BN di Malaysia .

Menurutnya yang juga Adun Titi Serong, jika di timur tengah rakyat di sana menolak kerajaan yang disifat kuku besi kerana pemerintah menggunakan seluruh proksi kerajaan untuk kepentingan sesetengah individu parti pemerintah untuk mengekalkan kuasa.

"Demikanlah apa yang berlaku di Malaysia bila UMNO dan BM mempergunakan semaksima mungkin segala agensi dan jabatan bagi memastikan kuasanya terus kekal" Katanya.

“Identiti pemerintah yang zalim ini mudah dikenal pasti, contohnya harga minyak, di Malaysia terlalu mahal sedangkan kita adalah negara pengeluar minyak,” jelasnya.

Dalam pada itu Khalil menjelaskan kereta nasional yang dibeli di pasaran Malaysia adalah antara tertinggi direkodkan, begitu juga harga kereta import, vios misalnya, di Negara jiran kita boleh dapatkannya dengan harga RM50 ribu sahaja, sedangkan di Malaysia perlu dibeli dengan harga RM90 ribu dan lebih.

“Banyak lagi kezaliman terhadap rakyat, misalnya demokrasi yang palsu tetapi dilaungkan ianya dilaksana dengan penuh adil dan saksama, walhal banyak hak demokrasi itu sendiri telah di cabul dengan sesuka hari umno bn,” katanya.

Khalil yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat menyatakan di RTM, TV3 dan radio yang menafikan hak negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat sehingga sekarang dengan mereka tidak diberi peluang walaupun hanya sekadar untuk mengucapkan selamat hari raya,”

“Rakyat secara umumnya tidak sedar mereka sedang dizalimi, maka usaha untuk menyedarkan hal ini perlu digiatkan lagi bagi memastikan isu ini sampai ke pengetahuan setiap lapis masyarakat, dengan itu agenda menjatuhkan BN dalam PRK Kerdau dan merlimau serta PRU ke 13 pasti akan berhasil ,” katanya ketika mengakhiri sesi temu bual.

Saman ekor: Ketahui hak anda

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
Zulhazmi Shariff

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)

BN Terus Ciplak Buku Jingga Pakatan Untuk Pilihan Raya Kecil

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PETALING JAYA 1 MAC : Pengumuman terbaru pimpinan Barisan Nasional (BN) tentang insentif tawaran baru untuk guru dan pembayaran CESS untuk peneroka FELDA menunjukkan BN terus menciplak dasar-dasar daripada Buku Jingga Pakatan Rakyat, kata Pengarah Komunikasi PKR Nik Nazmi Nik Ahmad.

"Januari lalu ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak secara terbuka menyifatkan bahawa Buku Jingga Pakatan adalah populis dan tidak bertanggungjawab, kami dimaklumkan bahawa beliau mengarahkan Unit Perancang Ekonomi untuk meneliti secara halus cadangan Buku Jingga sama ada boleh dilaksanakan atau tidak.

Justeru kita melihat bagaimana BN melaksanakan satu demi satu dasar-dasar yang menyerupai cadangan Buku Jingga. Ini termasuklah pembekuan dan penurunan kadar tol, insentif untuk guru besar-guru besar dan dasar perumahan negara," katanya.

Menurut Nik Nazmi tawaran baru untuk guru yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Merlimau termasuk insentif untuk guru besar-guru besar dan juga insentif untuk guru-guru berjumlah RM18.4 juta.

Di dalam Buku Jingga, Pakatan Rakyat telah mengumumkan elaun khas RM500 sebulan untuk semua guru-guru menjelang 100 hari pentadbiran Kerajaan Persekutuan Pakatan bagi menghargai peranan guru dan memulakan proses penstrukturan sistem pendidikan negara.

"Di Kerdau pula Najib mengumumkan bayaran CESS yang selama ini disekat daripada dituntut oleh peneroka FELDA boleh dituntut menerusi tiga pilihan. Bayaran CESS adalah wang yang ditolak daripada penjualan getah untuk proses penanaman semula.

Bayaran ini telah disekat apabila peneroka bertukar ke kelapa sawit pada 2004. Bayaran sebanyak RM5,000 dibuat pada Pilihan Raya Umum 2008 tetapi FELDA masih lagi berhutang sebanyak RM13,000 termasuk faedah kepada setiap peneroka terbabit," katanya.

Tambah Nik Nazmi Pakatan Rakyat mengumumkan bahawa FELDA Plantations akan dibubarkan dalam 100 hari pertama dan estet-estetnya akan dibahagikan kepada peneroka generasi kedua dan pertama FELDA.

Malang sekali ketika Najib menciplak Buku Jingga Pakatan secara senyap-senyap, beliau tidak berani untuk menerima cabaran Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membahaskan dakwaannya bahawa dasar-dasar Buku Jingga adalah populis dan tidak bertanggungjawab.

"Kami yakin perbahasan tersebut sekiranya diadakan di Kuala Lumpur, Kerdau ataupun Merlimau merupakan peluang terbaik untuk rakyat Malaysia menilai sendiri Buku Jingga." ujarnya.

Tv Selangor/-

Ulasan Cina Islam:

UMNO/BN terus melakonkan sesuatu yang boleh menarik sokongan rakyat kepada mereka dengan cara sekalipun. Setiap kali musim PRK dan PRU mereka terus menerus menabur mee segera dan janji manis demi kemenangan calon mereka.

Namun saya kira rakyat sudah faham dengan lakonan ini dan BN dan UMNO akan tetap disungkurkan dalam piliharaya Kerdau dan Merlimau serta PRU ke 13 nanti

Umno terdesak, ganggu ceramah PAS

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

TEMERLOH, 1 Mac: Umno disifatkan makin terdesak dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kerdau apabila bertindak mengganggu ceramah PAS setelah ceramah dianjurkan parti itu tidak mendapat sambutan.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Suhaimi Saad, berkata sudah dua malam berturut-turut ceramah anjuran PAS di Jengka 23 telah diganggu oleh pihak parti tersebut.

“Malam kelmarin semasa ceramah Mohammad Sabu, markas Umno yang berada tidak berapa jauh dari kawasan PAS telah memasang lagu dan berkaraoke sekuat-kuatnya sehingga mengganggu kira-kira seribu pendengar yang hadir.

“Malam tadi ceramah Bob Lokman yang dihadiri kira-kira seribu orang pula diganggu oleh tidak kurang 10 orang pemuda yang bermotosikal dengan membuat bising di kawasan ceramah yang mendapat permit polis.

“Saya difahamkan di markas mereka juga ada satu ceramah oleh pemimpin Umno, tapi oleh kerana kurang mendapat sambutan berbanding program PAS, mereka arahkan anak muda datang mengganggu,” ujarnya.

Menurut Suhaimi, selepas beberapa pemuda PAS menghampiri penunggang motosikal berkenaan, mereka pun lari dan kemudian datang lagi mengganggu.

DUN Kerdau mempunyai 13 pusat mengundi termasuk tiga kawasan Felda. Pemuda PAS Pahang menjadikan Jengka 23 sebagai pusat operasinya.

Tambah Suhaimi, selama ini tema kempen oleh calon PAS ialah berkasih sayang dan menolak provokasi, tetapi diambil kesempatan oleh Umno untuk menimbulkan provokasi dan suasana yang tidak selesa kepada penyokong PAS.

“Kita masih punya beberapa hari lagi untuk berkempen dan saya harap pihak berkuasa tidak berdiam diri kerana kita tidak mahu berlaku suasana yang tidak harmoni atau kekecohan dalam kempen pilihan raya ini,” katanya kepada Harakahdaily.

Harakahdaily/-
Oleh : Khairil Abdul Rahim.

‘Suasana macam zon perang’

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

Jurutera Malaysia trauma lihat polis Libya belasah penunjuk perasaan

SEPANG: “Saya tidak dapat melupakan peristiwa ngeri melihat penunjuk perasaan dan warga asing dipukul polis dan tentera Libya sehingga ada yang cedera parah di kepala dan pengsan ketika beratur memasuki terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli," kata jurutera sebuah syarikat pembinaan Malaysia yang berpangkalan di Libya, Shahrizal Zulkifli, 33.

Beliau yang menceritakan detik cemas itu berkata kejadian itu pada Jumaat lalu ketika beliau bersama 130 rakyat Malaysia serta rakyat negara lain beratur untuk memasuki terminal kerana mahu keluar dari negara bergolak itu berikutan rusuhan semakin memuncak.

“Lapangan Terbang Antarabangsa Tripoli menjadi seperti zon perang apabila polis dan tentera Libya mula memukul penunjuk perasaan dan warga asing yang tidak mempunyai tiket penerbangan tetapi mahu meninggalkan negara berkenaan sehingga ada di kalangan mereka berdarah di kepala, pengsan dan terpaksa dibawa ke hospital dengan ambulans,” katanya ketika ditemui sejurus tiba dengan pesawat sewa khas Penerbangan Malaysia (MAS) MH0015, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, jam 6.22 pagi semalam.

Shahrizal berkata, walaupun beliau bekerja di kawasan jauh dari lokasi rusuhan dan bandar, dia dapat dengar dengan jelas bunyi tembakan senapang dan letupan ketika rusuhan memuncak di ibu negara Libya.

Kakitangan Ranhill Berhad, P Maveen, 36, berkata walaupun menetap di luar ibu kota Libya, beliau dapat lihat banyak bangunan runtuh dan kelongsong peluru bertaburan di atas jalan ketika mereka mahu meninggalkan Tripoli Jumaat lalu.

“Saya nampak bangunan ditembak bertalu-talu dan kelongsong peluru bertaburan serta penunjuk perasaan dipukul ketika keluar ke bandar. Ia adalah satu pengalaman yang menakutkan kerana sebelum ini saya hanya mengetahui keadaan rusuhan melalui radio atau televisyen.

“Saya berada di Libya hampir empat tahun kerana bekerja dan berharap keamanan dapat dicapai kerana Libya adalah negara sangat baik untuk bekerja dan melancong. Sebaik saja pesawat tiba di KLIA, hati saya kian tenteram kerana tiada lagi bunyi tembakan,” katanya.

Penuntut Universiti Dakwah Islamiah Libya, Julisah Jamahat, 26, dari Sabah, berkata pihak universiti juga menasihati pelajar supaya memastikan bekalan makanan mencukupi kerana bimbang peniaga menaikkan harga ketika rusuhan berlaku.

“Saya tidak sempat membeli bekalan makanan di kolej kerana penuntut lain sudah berebut-rebut membeli barang keperluan,” katanya.

Sinar Harian/-
Oleh Haika Khazi

Pas yakin kebangkitan teknologi

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

PARIT BUNTAR - Pergolakan yang berlaku di Tunisia, Mesir, Libya dan beberapa negara Timur Tengah telah membuka mata dunia mengenai peranan suara rakyat, tidak terkecuali Malaysia.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Drs. Khalil Idham Lim berkata, bersandaran kekuatan suara itu, Barisan Nasional (BN) tidak perlu gentar sekiranya Pas sering menyampaikan informasi kepada rakyat Malaysia berhubung protes rakyat di timur tengah.

Menurutnya, Pas hanya menyampaikan berita berkaitan situasi terkini rakyat di Mesir, yang dianggap sekadar bersifat percambahan maklumat dan berita dunia.

“Pas hanya menggambarkan betapa pemimpin di Mesir ditolak rakyat kerana telah berlaku ketidakadilan.

“Berdasarkan pergolakan itu, kita ada juga menyatakan ciri pemerintah yang patut ditolak rakyat, hal ini perlu diketahui umum dan ia sama sekali tidak mempunyai maksud lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Khalil Idham yang juga Ketua Penerangan Pas Perak berkata, BN sepatutnya lebih terbuka dengan penyataan yang dikeluarkan Pas mengenai pergolakan itu.

Menurutnya, tidak mustahil, pilihan raya yang bakal tiba akan mencipta gelombang baru kebangkitan rakyat era teknologi moden.

“Pilihan raya adalah medan terbaik membuktikan kuasa dan suara rakyat, saya yakin dunia teknologi moden kini mampu membuat perubahan untuk memilih pemimpin yang benar-benar mampu memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat,” katanya.

Sebagai Ketua Penerangan Pas Perak, Khalil turut membidas kenyataan bahawa Malaysia, sebuah negara selamat dan paling kurang jenayah.

Menurutnya, berdasarkan fakta yang diterima, Malaysia merupakan sebuah negara yang berdepan dengan ancaman nilai keamanan dan keselamatan.

“Kita masih belum lupa kes pembunuhan jutawan kosmetik serta beberapa kes berprofil tinggi yang lain, masyarakat kini mahukan maklumat yang tepat,” katanya.

Kenapa Zambry takut isytihar harta

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

IPOH, 1 Mac: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kesal komen yang telah diberikan oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir di atas saranan mengisytiharkan harta semua Exco Kerajaan Negeri Perak.

Naib ketuanya, Salman Saleh berkata, ini sepertimana langkah Kerajaan Negeri Selangor bagi memberikan peluang kepada seluruh rakyat untuk menilai sendiri kedudukan sebenar harta setiap Exco Kerajaan Negeri tersebut.

Sepatutnya, kata beliau Zambry sebagai orang nombor satu menunjukkan contoh yang baik dikalangan semua Exco Kerajaan Negeri serta sebagai bukti bersihnya setiap Exco sedia ada.

“Siapakah yang mentadbir kerajaan negeri sekarang?

“Kenapa cuba memburukkan orang lain sedangkan perkara tersebut adalah untuk menunjukkan ketelusan kerajaan negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan di sini.

Katanya, DPPN Pk kesal sikap berdalih Zambry di dalam perkara itu.

Justeru, DPPN Pk mendesak agar Zambry dan semua exco mengisytiharkan harta mereka dengan segera.

Menurutnya, berdasarkan maklumat terkini dikatakan seorang Exco Kerajaan Negeri sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), sepatutnya Zambry berusaha membersihkan imej mereka dengan mengisytiharkan harta.

“Tetapi Datuk Seri Zambry bersikap angkuh dan tidak mengambil ikhtibar langsung,” ujarnya lagi.

DPPN Pk, tegasnya memberikan tempoh seminggu kepada Zambry untuk mengisytiharkan harta beliau dan seluruh Exco Kerajaan Negeri.

Tambahnya, jika Zambry dan Exco Kerajaan Negeri gagal mengemukakan atau mengisytihar harta untuk dinilai oleh rakyat, maka memang benarlah persepsi yang berlegar di kalangan rakyat ketika ini bahawa kepimpinan Barisan Nasional (BN) adalah di kalangan mereka yang tidak bersih.

Harakahdaily/-

Chegubard : Rosmah Lebih Teruk Dari Leila, Suzanne

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

SHAH ALAM 1 MAC : Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegubard, yakin bahawa terdapat persamaan yang jelas di atara Malaysia dengan negara Timur Tengah, Tunisia dan Mesir.

Menurut beliau, karektor isteri perdana menteri Malaysia, Rosmah Mansor yang mahu berperanan dalam tampuk pemerintahan, tidak ada bezanya dengan isteri Ben Ali dan Hosni Mubarak.

" Mereka ada Leila, kita ada Rosmah yang saling tak tumpah, sama dari segi pembaziran dan kesombongannya. Mereka juga menghina ulama di Tunisia, Ben Ali menyebut dengan jelas, dalam bulan puasa, siapa yang berpuasa akan mengganggu produktiviti negara.

" Sama juga di Malaysia, perdana menteri pernah menyebut untuk memotong peruntukan sekolah agama rakyat kerana kononnya tidak melahirkan anak Malaysia yang berdaya saing dari segi sains dan teknologi. Kononnya belajar agama ini ketinggalan zaman,"kata Chegurbard kepada Tv Selangor.

Malah menurut Chegubard, jika dibandingkan dengan Leila Trabelsi dengan Rosmah, isteri perdana menteri Malaysia itu katanya jauh lebih teruk.

"Kalau nak dibezakan Rosmah dan Leila, Rosmah jauh lebih teruk daripada Leila.

"Saya rasa (Rosmah) lebih daripada itu, sebab Leila tak ada pejabat di dalam pejabat presiden. Tetapi Rosmah Mansor ada pejabat di Jabatan Perdana Menteri dan ada bajet khusus kepada beliau untuk dibazirkan bagi memenuhi kehendak dia. Pergi ke luar negara, membazir dan duduk di sebuah hotel satu malam RM100 ribu, dia tak boleh jawab. Balik baik guna nama tuhan, biar Allah tentukan. Ini salah guna agama,"katanya.

Chegubard menambah, melalui Solidariti Anak Muda Malaysia atau SAMM, beliau akan terus menyuntik kesedaran rakyat Malaysia terhadap perkara ini.

"Rakyat wajib membuka mata tentang perkara ini. Ini kerana Rosmah sudah melampau sehingga boleh wakil negara bincang bagi pihak negara, Rosmah terlibat dalam pembelian senjata, Rosmah segala-galanya. Ini bukan setakat merisikokan ekonomi negara tetapi keselamatan dan keadaan hubungan dua hala Malaysia dan negara luar.

"Kita dari dulu pernah ada, Tun Rahah, Tun Siti Hasmah, mereka juga isteri PM, berada di sisi PM, tetapi rakyat, pembangkang tidak menyerang mereka kerana mereka menjalankan tanggungjawab sebagai isteri. Tetapi Rosmah sudah melampau sangat dengan membazirkan wang negara dan meletakkan negara dalam keadaan risiko,"tambahnya lagi.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia mempunyai persamaan dengan negara Tunisia mahupun Mesir sehingga menyumbang kepada kebangkitan rakyat di negara itu.

Persamaan yang dimaksudkan beliau ialah pentadbiran negara yang dikuasai oleh isteri-isteri pemerintah.

Keadaan yang sama kata Anwar turut berlaku di Mesir apabila isteri Hosni Mubarak, Suzanne juga turut mempunyai tabiat seperti Leila.

Suzanne katanya hanyalah seorang juru solek, namun apabila dia berkahwin dengan Hosni Mubarak, dia mengumpul harta dan kekayaan untuk anak-anak dan keluarganya.

Kekayaan yang dimiliki adalah hasil 'rompakan' wang rakyat.

Selepas kedua-dua pemerintah negara tersebut digulingkan, mereka kemudiannya bersama isteri dan anak-anak membawa keluar wang puluhan bilion US Dolar hasil
'rompakan' mereka.

Lantaran tidak tahan dengan pemerintahan diktator kedua-dua pemimpin yang sewenangnya memenuhkan kantung sendiri, akhirnya rakyat bangkit menentang pemimpin zalim itu.

Tv Selangor/-

Sultan saran segerakan jalan Kota Bharu-Kuala Krai

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

KOTA BHARU, 1 Mac: Sultan Kelantan, Sultan Muhammad Ke-V, menyarankan kerajaan Pusat melaksanakan segera projek jalan baru yang menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Krai.

Titah baginda, projek yang disenaraikan dalam RMK-10 termasuk jalan pesisir pantai yang disenaraikan itu demi keselesaan rakyat di negeri ini.

Baginda bertitah demikian sempena majlis pembukaan rasmi penggal keempat Dun Kelantan ke-12 tahun 2011, di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Pada masa yang sama baginda turut menyarankan jaringan lebuh raya yang cekap menghubungi negeri ini ke negeri lain perlu juga mendapat perhatian dari kerajaan Pusat.

Menurut baginda, Kelantan berpotensi untuk maju seiring dengan negara jiran dari segi kos modal serta sara hidup negeri ini yang masih rendah berbanding negeri lain di Negara ini.

“Kelantan juga mempunyai keluasan tanah yang boleh menampung keperluan sector perindustrian.

“Pada tahun 2012, Kelantan telah menerima pelaburan sebanyak RM2.54 billion iaitu lebih kurang 97 peratus pelabur swasta tempatan dan selebihnya pelaburan asing,” titah baginda lagi.

Menurut Sultan Muhammad lagi, kurangnya kemasukan pelaburan asing ke negeri ini juga disebabkan faktor logistik dan kekurangan system perhubungan khususnya lebuh raya yang cekap berbanding negeri-negeri lain.

Kerana itu, tambah baginda tumpuan pelaburan masih berlaku di Semenanjung Malaysia di bahagian pantai barat.

“Untuk itu beta menuyarankan perlu adanya jaringan lebuhraya yang cekap menghubungi negeri ini ke negeri-negeri lain,” ujarnya.

Pada masa yang sama Sultan Muhammad turut memberitahu baginda mendapat maklum reka bentuk terperinci dan pengambilan balik tanah bagi negeri Kelantan untuk projek ‘cenral spine road’ iaitu pembinaan jalan baru dan menaiktaraf jalan persekutuan laluan lapan dan sembilan bermula Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangi, Pahang akan dilaksanakan di bawah RMK-10.

“Kesemua projek yang dirancang amat perlu demi kepentingan rakyat serta kemajuan di negeri ini,” titah baginda.

Pada masa yang sama baginda turut melahirkan rasa gembira di atas usaha kerajaan negeri dalam membangun infrastruktur.

Tegas baginda, pada tahun 2012 sebanyak RM10juta telah diperuntukkan di bawah program kesejahteraan rakyat melalui JKR untuk pembangunan jalan dan jambatan baru.

Pada masa yang sama baginda turut mendedahkan beberapa projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada tahun ini antaranya pembinaan jalan raya bertingkat di Pasir Mas, projek jambatan merentasi Sungai Sat, Machang, projek menggantikan jambatan kayu di Pengkalan China, Bachok dan projek membina jambatan Kampung Tok Din, Pasir Putih bagi menggantikan jambatan lama.

Terdahulu Speaker Dun Kelantan, Datuk Nasharuddin Daud, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan timbalannya Datuk Ahmad Yaacob menyambut keberangkatan baginda untuk majlis perasmian pembukaan Dun.

Hadir sama, anggota-anggota exco kerajaan negeri Adun, anggota parlimen, pegawai kanan kerajaan negeri dan Persekutuan turut hadir pada majlis itu.

Salmah Mat Husain
Harakahdaily/-

Umno BN diminta hentikan politik samseng

26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -

JASIN, 1 Mac: PAS sekali lagi mengingatkan Umno BN agar menghentikan sebarang provokasi dan berkempen secara sihat di Merlimau.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad mengingatkan demikian ekoran penemuan beberapa kain rentang berunsur fitnah terhadap PAS di sekitar kawasan ini awal pagi tadi.

Kain rentang fitnah itu bertulis "PAS Melaka menyokong penuh fahaman pluralisme agama Datuk Seri Anwar Ibrahim" dengan gambar Anwar dan "Undi PAS masuk syurga" dengan gambar Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

"Petugas kita jumpa banner ni pagi tadi berhampiran lampu isyarat Merlimau pasir dan depan Politeknik kononnya kita yang buat.

"Kita harapkan mereka hentikan kerja ini dan bertanding secara sihat. Kita bagi peringatan, bertanding dalam bentuk yang sihat," kata beliau pada sidang media di markas induk PAS, dekat sini hari ini.

Selain itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Adly Zahari juga mengingatkan perkara yang sama berikutan tindakan cuba membakar pentas ceramah DAP dan cermin kereta yang diletakkan di hadapan bilik gerakan DAP dekat sini dipecahkan awal pagi tadi, dipercayai dilakuakn oleh Umno BN.

"Kita minta Umno BN hentikan politik samseng. Sebelum ini ada cubaan bakar pentas DAP, awal pagi tadi cermin kereta yang diletakkan di hadapan bilik gerakan DAP dipecahkan.

"Kita minta perbuatan ini dihentikan sebelum PAS sendiri mengambil tindakan kepada mereka yang buat perkara ini. Kita minta pihak polis tegas, SPR tegas, dan BN jangan buat provokasi," katanya.

Tambahnya, provokasi sedemikian hanyalah cubaan menakut-nakutkan pengundi agar tidak memilih Pakatan Rakyat.

"Politik samseng ini sudah mula digerakkan Umno untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-oleh akan berlaku perkara buruk. Kita tak mahu dalam sistem demokrasi rakyat ditakutkan begini," katanya.

Awal pagi tadi, petugas di bilik gerakan DAP dekat sini menyedari kereta penduduk setempat yang diletakkan di hadapan bilik gerakan dipecahkan cerminnya (kanan).

Sehubungan itu, ketua publisiti DAP yang juga Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong menasihatkan pemilik kenderaan berkenaan membuat laporan polis.

Khoo yang ditemui selepas itu menyatakan rasa kesal dengan tindakan jahat yang menakutkan pengundi itu.

"Kita amat kesal dengan perbuatan ini. Jika Umno BN benar-benar yakin mereka boleh menang besar di sini, kenapa guna taktik kotor? Bertandinglah dengan baik," katanya.

Hazayani Zakaria
Harakahdaily/-