26 Rabiulawal 1432H. [MOD] -
JASIN, 1 Mac: PAS sekali lagi mengingatkan Umno BN agar menghentikan sebarang provokasi dan berkempen secara sihat di Merlimau.
Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad mengingatkan demikian ekoran penemuan beberapa kain rentang berunsur fitnah terhadap PAS di sekitar kawasan ini awal pagi tadi.
Kain rentang fitnah itu bertulis "PAS Melaka menyokong penuh fahaman pluralisme agama Datuk Seri Anwar Ibrahim" dengan gambar Anwar dan "Undi PAS masuk syurga" dengan gambar Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.
"Petugas kita jumpa banner ni pagi tadi berhampiran lampu isyarat Merlimau pasir dan depan Politeknik kononnya kita yang buat.
"Kita harapkan mereka hentikan kerja ini dan bertanding secara sihat. Kita bagi peringatan, bertanding dalam bentuk yang sihat," kata beliau pada sidang media di markas induk PAS, dekat sini hari ini.
Selain itu, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Adly Zahari juga mengingatkan perkara yang sama berikutan tindakan cuba membakar pentas ceramah DAP dan cermin kereta yang diletakkan di hadapan bilik gerakan DAP dekat sini dipecahkan awal pagi tadi, dipercayai dilakuakn oleh Umno BN.
"Kita minta Umno BN hentikan politik samseng. Sebelum ini ada cubaan bakar pentas DAP, awal pagi tadi cermin kereta yang diletakkan di hadapan bilik gerakan DAP dipecahkan.
"Kita minta perbuatan ini dihentikan sebelum PAS sendiri mengambil tindakan kepada mereka yang buat perkara ini. Kita minta pihak polis tegas, SPR tegas, dan BN jangan buat provokasi," katanya.
Tambahnya, provokasi sedemikian hanyalah cubaan menakut-nakutkan pengundi agar tidak memilih Pakatan Rakyat.
"Politik samseng ini sudah mula digerakkan Umno untuk menakut-nakutkan rakyat seolah-oleh akan berlaku perkara buruk. Kita tak mahu dalam sistem demokrasi rakyat ditakutkan begini," katanya.
Awal pagi tadi, petugas di bilik gerakan DAP dekat sini menyedari kereta penduduk setempat yang diletakkan di hadapan bilik gerakan dipecahkan cerminnya (kanan).
Sehubungan itu, ketua publisiti DAP yang juga Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong menasihatkan pemilik kenderaan berkenaan membuat laporan polis.
Khoo yang ditemui selepas itu menyatakan rasa kesal dengan tindakan jahat yang menakutkan pengundi itu.
"Kita amat kesal dengan perbuatan ini. Jika Umno BN benar-benar yakin mereka boleh menang besar di sini, kenapa guna taktik kotor? Bertandinglah dengan baik," katanya.
Hazayani Zakaria
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan